Ketika Nabi Yusof berada dalam penjara, beliau mendengar cerita dua orang banduan yang turut berada dalam sel yang sama. Dua orang ini menceritakan mimpi aneh yang mereka hadapi. Seorang mimpi sedang perah anggur. Seorang lagi mimpi burung makan roti yang ada atas kepalanya. Mereka cuba bertanya mungkin Nabi Yusof tahu maksud mimpi tersebut.
Nabi Yusof menyatakan, bukan setakat mimpi mereka, bahkan menu yang bakal disajikan pada mereka dalam penjara itu sudah diketahui oleh baginda, sebelum makanan itu dihidangkan lagi. Ini membuatkan mereka tertarik dan kagum dengan kemahiran Nabi Yusof.
Namun Nabi Yusof tidak terus menta'bir mimpi tersebut. Baginda mulakan dulu dengan memperkenalkan Allah dan Islam. Baginda nyatakan, semua kemahiran adalah kurniaan tuhanNya, dan oleh kerana itulah, beliau meninggalkan agama yang karut dan mengikut agama asal Nabi Ibrahim, Ishak dan Yaakub.
Setelah berbicara berkait dengan islam, barulah Nabi Yusof menta'bir mimpi mereka. Bacalah surah Yusof bermula ayat 36 untuk mendalami episod ini.
Moralnya, Nabi Yusof mengajarkan kita seni dakwah yang hebat iaitu menggunakan kemahiran yang ada untuk mengajak orang kenal islam.
Saya percaya masing-masing ada kemahiran dan bakat tersendiri. Ada yang pandai berpidato, pandai menulis, pandai IT, masak, membaiki, bertukang, menyanyi, berlakon, mengajar, meniaga, mengira, mengurus, berceloteh, main bola, badminton dan sebagainya. Dan semestinya ada orang mengagumi kelebihan yang kita ada, terutamanya mereka yang tiada sudut kelebihan yang kita ada.
Walaupun dia hanya mekanik, dia pasti akan dikagumi oleh orang yang memerlukan khidmatnya. Walau dia hanya seorang suri rumah, pasti ada orang yang mengagumi masakannya. Hatta walau dia seorang peniaga, pasti dia ada pengalaman berharga yang tiada pada orang lain. Itulah daya tarikan yang kita ada.
Nabi Yusof ajar kita gunakan daya tarikan itu untuk perkenalkan islam. Kalau boleh sampaikan melalui lisan, itu yang terbaik. Tapi kalau tak mampu nak cerita, kita buat cara lain. Pasang audio kuliah di premis, tampal poster islamik, pakai t-shirt islamik, sediakan papan kenyataan untuk tampal poster program-program sekitar dan sebagainya.
Atau setidaknya, perkenalkan islam melalui personaliti kita. Jujur, amanah, bertolak-ansur, jaga waktu solat, menutup aurat, jaga batas pergaulan dan sebagainya.
Jangan tumpukan sasaran dakwah kita hanya kepada orang dewasa. Kalau kita tak pandai bawa Islam untuk dewasa, pasti ada remaja, budak, kanak-kanak ataupun bayi yang sukakan cara kita.
Jangan tumpukan masyarakat luar sahaja. Dalam rumah kita masih ramai yang belum tahu apa yang kita tahu.
Bila orang puji kita dengan kemahiran yang kita ada, jawablah dengan jawapan Nabi Yusof, "Inilah semua adalah kurniaan Allah padaku." Dan apabila orang kagum dengan personaliti kita, jawablah dengan hati yang ikhlas,
"Inilah yang Islam ajarkan padaku!"
Dakwah tidak semestinya ceramah.
Kredit untuk Nabi Yusof!
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....