Thursday, October 24, 2013

KEBERSIHAN DALAM ISLAM (النظافة في الإسلام)

SYLLABUS USRAH IDADIE 1
SIRI V

Islam adalah agama yang lengkap merangkumi segala aspek kehidupan manusia daripada sebesar-besar perkara melibatkan pemerintahan dunia, hinggalah ke sekecil-kecil perkara seperti adab di dalam tandas. Kerana itulah islam perlu difahami sebagai cara hidup (way of life).

Antaranya, Islam sangat mengutamakan soal kebersihan ummatnya, samada kebersihan dalaman atau luaran. Firman Allah taala :


 () يا أيها المدثر () قم فأنذر () وربك فكبر () وثيابك فطهر () والرجز فاهجر

1.Wahai orang yang berselimut (Nabi Muhammad)
2.Bangun, dan berilah peringatan
3.Dan pada tuhanMu, maka perbesarkanlah
4. Dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan.
5. Dan Segala kejahatan, maka hendaklah Engkau jauhi.                                    [Al-Muddatssir : 4-6]

Sabda Nabi S.A.W :

اَلطَّهُوْرُ شَطْرُ الْاِيْمَان       
“Bersuci (kebersihan) adalah sebagian dari iman” [HR. Muslim]



Nabi SAW semasa kecilnya telah dicuci hatinya oleh Malaikat Jibril. Sewaktu peristiwa Isra` dan Mikraj, hati baginda dicuci sekali lagi. Ianya sebagai simbol betapa islam amat mementingkan kebersihan diri dalaman serta luaran.

PERKARA-PERKARA YANG MESTI DIAMBIL PERHATIAN


  1. Kebersihan diri: kebersihan dimulai dari diri sendiri. Dalam solat contonya, kita diharuskan sentiasa berada dalam keaadaan suci dan bersih. Bersih diri, pakaian dan tempat.
  2. Kebersihan hati: Bersihkan hati dengan ikhlas. Sentiasa meletakkan Allah dihadapan setiap perkara yang dilakukan. Zikir,  Istighfar dan taubat jika melakukan kesilapan.
  3. Kebersihan harta: bersihkan harta dengan menunaikan kewajipan zakat dan bersedekah.
  4. Kebersihan persekitaran: bagi menjamin kehidupan yang normal dan sihat, kita haruslah sentiasa menjaga alam dari sebarang kekotoran terutamanya sampah.
MENJAGA KEBERSIHAN DIRI

Antara perkara yang mesti dijaga oleh seorang pelajar ialah :
1.       Usahakan untuk sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk.
2.       Pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih
3.       Mandi sekurang-kurangnya 2 kali sehari
4.       Tidak merendam baju terlalu lama sehingga mengeluarkan bau
5.       Pastikan seragam sekolah tidak dipakai seminggu berturut-turut. Sebaiknya pelajar menyediakan 2 helai seragam.
6.       Lipat atau sangkut pakaian yang telah dicuci dengan sebaiknya. Jangan biarkan pakaian yang kotor bercampur dengan pakaian yang bersih.
7.       Susun barang-barang keperluan diri dengan kemas.

MENJAGA KEBERSIHAN ASRAMA

Perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan asrama dalam keadaan yang bersih :
1.       Buat jadual tugasan bilik atau asrama.
2.       Buang sampah setiap hari
3.       Basuh pinggan selepas menggunakannya.
4.       Jangan buang sampah merata-rata.
5.       Pastikan jadual tugasan dipantau oleh ketua bilik atau asrama.
6.       Saling ingat-mengingatkan tentang kebersihan antara satu sama lain
7.       Pastikan ada jadual kelas dan sentiasa dipantau.

AKIBAT TIDAK MENJAGA KEBERSIHAN

1.       Makhluk halus amat sukakan kawasan kotor, lalu akan menyebabkan manusia sering mengalami gangguannya.
2.       Mengundang penyakit berbahaya seperti kudis buta, taun, keracunan makanan sehingga membawa maut.
3.       Ada habibat binatang dan tumbuhan akan terganggu lalu akan mengundang kepupusan.
4.       Pencemaran alam seperti pencemaran pemandangan, udara dan air.
5.       Boleh mengakibatkan kemalangan terutama apabila sampah dibuang di jalanraya melalui tingkap kenderaan.
6.       Hati menjadi keras untuk menerima perkara baik, dan sukar untuk memahami pelajaran.

KEBERSIHAN HATI
Kita biasa melihat orang yang sangat cerewet menjaga kebersihan dan penampilan diri tetapi membiarkan hati disalut kotoran dosa, harta pula dicari dari sumber yang tidak tahu halal dan haramnya. Untuk menjadi seorang muslim yang berkualiti, kita tidak boleh hanya menjaga kebersihan diri kerana Islam juga mengajar kita supaya membersihkan hati dan harta daripada kotoran dosa dan noda.

Walaubagaimanapun, luaran adalah gambaran bagi dalaman kita. Jika luaran kita bersih, belum tentu dalaman kita bersih. Tetapi jika luaran pun kita seorang pengotor, mustahil dalaman kita suci bersih.

Tiga perkara yang perlu diutamakan dalam pembersihan hati ialah menjauhi sifat Dengki, Riya` dan bangga diri.

Jadilah seperti air mutlak, sifatnya suci dan boleh menyucikan. Dengan diri yang suci dari kekotoran hati, kita juga mampu untuk menyucikan diri orang lain.

Firman Allah Taala :                        
إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِين
 “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. [Al-baqarah : 222]

Sumber:
Ihya’ Ulumuddin: Imam Ghazali
Bidayah Hidayah: Imam al-Ghazali

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH, MAAHAD DARUL QURAN, SESI 2013

2 comments:

  1. terima kasih....sy ambil sedikit drp isi di atas utk tugasan sy. halalkan ya

    ReplyDelete
  2. perkongsian yang menarik:-) terima kasih,,

    ReplyDelete

Guane gamok? komen skit....