Pertamanya ucapan syukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada yang berkenaan atas kesudian membaca surat ini sebagai sebuah pandangan dalam menentukan asnaf zakat kepada OKU. Suara ini ditulis hanyalah untuk menyahut tuntutan al-Quran supaya bertolong menolong dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan.
1. Pertamanya tentang prinsip bantuan yang diberikan, saya melihat matlamatnya haruslah membantu tidak hanya sekadar untuk mencukupkan bekalan semasa sahaja, tetapi haruslah bantuan tersebut mampu untuk membuatkan mereka keluar dari senarai layak menerima zakat. Dengan kata lain, bantuan haruslah digandakan agar mereka boleh menjadikannya sebagai modal perniagaan, membeli asset penjana pendapatan, ataupun supaya mereka terasa sudah tidak tergolong lagi dari kalangan yang memerlukan bantuan kebajikan.
2. Saya bersetuju dengan pandangan bahawa secara principal OKU memang layak untuk menerima bantuan, cuma untuk memasukkan mereka dibawah asnaf tertentu memerlukan perbincangan khusus supaya dapat didokumentasikan dan agar tidak berlaku masalah di kemudian hari.
3. Atas dasar kesan jangka masa panjanglah, saya terpanggil untuk mengemukakan pandangan dan cadangan agar OKU ini tidak terus dipandang OKU selama-lamanya bahkan mereka mampu hidup bersaing sama tinggi sama rendah bersama masyarakat normal yang lain. Dengan kata lain, pembahagian asnaf tersebut bakal menentukan had kelayakan penerimaan zakat untuk OKU dari semasa ke semasa.
4. Berhubung dengan pendapat untuk memasukkan mereka dibawah asnaf Riqab atas hujah mereka dikongkong masyarakat sehingga membataskan peluang mereka untuk menyara hidup, bagi saya cara ini tidak dapat membantu mereka keluar dari kongkongan tersebut selama-lamanya. Ini kerana setiap majikan pasti akan mengutamakan kesempurnaan fizikal untuk mengambil mereka bekerja. Dan bagi OKU kategori cacat kekal, sekaya manapun mereka, selagi persepsi masyarakat belum berubah selagi itulah mereka terus berada dalam belenggu penyisihan tersebut. Tujuan diberikan zakat kepada hamba (Riqab) pada zaman nabi dahulu adalah untuk membantu mereka menebus diri daripada tuan mereka dan bukan sekadar bantuan kebajikan berkala kerana itu sememangnya menjadi tanggungjawab tuan kepada hamba itu untuk menunaikannya. Jikalau diberikan sekalipun kepada hamba tersebut, bantuan tersebut akanm menjadi milik tuannya kecuali mereka diizinkan untuk bekerja atau hamba mukatabah, berdasarkan hukum hamba yang masyhur dalam kitab-kitab fikah.
5. Untuk tujuan fisabilillah pula, saya melihat mereka yang berpendapat untuk menyeneraikan mereka disini mengemukakan dua hujah berbeza. Pertamanya, atas alasan OKU yang menyebar agama boleh mengambilnya. Saya melihat ianya agak ekslusif kepada segolongan OKU yang mampu sahaja. Sedangkan OKU ini punya kekurangan yang rencam termasuklah kecacatan mental, suara, pancaindera yang membataskan mereka terlibat dalam gerakan pejuang agama. Sedangkan ramai lagi mereka yang ikhlas berjuang, menyebar dan mempertahankan agama ini dari berbagai cara pun belum mendapat bantuan zakat.
Untuk hujah kedua pula bahawa untuk mempertahankan akidah didada mereka, saya merasakan ianya adalah tidak tepat mengikut prinsip fisabilillah. Pejuang fisabilillah adalah mereka yang mempertahan akidah masyarakat umum dan menyebar akidah kepada orang awam dan bukan untuk diri sendiri. Jika kita maksudkan sedemikian, kita telah membuka skop asnaf fisabilillah dengan terlalu luas sehinggakan boleh disenaraikan sesiapa sahaja yang menjadi mad`u agama lain. Bimbang jika kita luaskan mereka yang kemudian akan menggunapakai hujah kita untuk meluaskan lagi kriteria penerima zakat sehingga tersimpang jauh dari prinsip asal.
Jika ianya diberikan kepada pertubuhan NGO kebajikan OKU dan bukan atas individu secara terus, atas alasan jihad untuk bersaing dengan NGO bukan islam lain, ini pula menyentuh sensitiviti agama lain yang mungkin akan melihat islam begitu radikal dan tidak boleh menerima sebarang bantuan tulus dari NGO bukan islam. Kita haruslah tidak bersangka buruk terhadap semua pertubuhan NGO bukan islam lain dengan menganggap mereka mempunyai agenda tersirat.
Lagi pula zakat itu adalah untuk kebajikan mereka yang memperjuangkan islam, dan bukannya sebagai pelembut hati supaya menerima islam, kerana itu adalah kriteria dari asnaf muallaf.
6. Cadangan saya adalah untuk meletakkan OKU samada dalam asnaf miskin atau fakir, yang ketiga barulah muallaf.
7. Miskin mengikut istilah yang saya pelajari adalah sifat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pendapatan (gaji + bantuan + sumber lain) mereka hanya cukup untuk keperluan asas harian sahaja seperti makanan, pakaian, air, elektrik dan kos pengangkutan. Mereka tidak berkemampuan untuk menyimpan simpanan untuk kecemasan walaupun sesen.
8. Fakir pula adalah pendapatan yang tidak cukup untuk menampung keperluan asas mereka. Keperluan asas itu termasuklah kos perubatan tetap yang terpaksa diikuti untuk menyembuhkan kecacatan atau untuk terus survive dalam tahap paling minima.
Kemungkinan punca OKU cenderung untuk menerima bantuan NGO bukan islam adalah kerana mereka memerlukan dan tergolong dalam kalangan fakir dan miskin. Keperluan adalah mengikut situasi seseorang. Walaupun mereka berpendapat mencecah RM2000 sebulan, tetapi apabila belanja bulanan yang diperlukan adalah sehingga RM3000, mereka tetap fakir.
Diingatkan sekali lagi, pembahagian bantuan zakat mestilah mengikut keperluan, berbeza dari individu ke individu. Mungkin golongan fakir wajar mendapat lebih bantuan dari kalangan fakir yang lain kerana mereka ditimpa kesusahan berganda.
9. Andai mereka sudah terkeluar dari asnaf fakir atau miskin, namun masih menerima sumbangan bukan islam kerana tawaran tersebut lebih menguntungkan, kita boleh golongkan mereka dibawah asnaf muallaf, kerana hati mereka boleh dilembutkan untuk menerima atau mempertahankan akidah dengan habuan material. Mungkin zaman Saidina Umar sudah tiada orang menerima islam atas dasar wang ringgit, tapi hari ini, zaman kembali berubah.
Secara peribadi saya merasakan OKU Malaysia masih belum dikategorikan disini, kerana mereka hanya terancam untuk menerima dakyah agama lain kerana kesempitan hidup. Tiada lagi kes mereka tertarik dengan agama lain kerana material yang berlebihan jika mereka tidak lagi fakir atau miskin.
10. Saya mengharapkan agar pihak berwajib mampu menyelasaikan permasalahan ini dengan ijtihad jamaie yang terbaik. Percayalah bahawa islam hanya terus hidup selari arus zaman kerana mempunyai sifat yang sentiasa ada ijtihad dan tajdid pejuang-pejuangnya. Sengaja tidak didatangkan rujukan untuk taarif serta hukum yang dinyatakan ini kerana penulis yakin pihak JAKIM lebih arif dengan apa yang saya kemukakan. Moga ianya sedikit sebanyak membantu melicinkan perbincangan besar dalam dunia islam hari ini.
Salam Ramadhan dan Selamat Hari Raya
Muhammad Marwan M.Shukrimun
Mantan Setiausaha Agung
Persatuan Pelajar Malaysia Syria
2010
Pandangan dilontarkan pada 2010 lg, tahniah.
ReplyDeletePandangan dilontarkan pada 2010 lg, tahniah.
ReplyDelete