Wednesday, February 5, 2014

KENYATAAN PRESIDEN: KAJANG HANYA PICISAN (BAHAGIAN 1)

Jumaat yang lepas, semasa Ayah Chik ada di Terengganu, saya sempat berbual dengan beliau.Pada masa itu saya masih belum memahami pendiriannya berhubung isu Kajang.

Ceritanya bermula apabila saya sedang menulis nota kuliah di atas bangsal tepi pantai, tiba-tiba Ayah Chik datang. Melihat kelibat sosok tegap berjubah kuning berdiri di hadapan, saya bingkas bangun dalam keadaan terkejut.

"Eh Ayah Chik, silakan. Eh, nanti kejap. Kotor ni berpasir. Saya sapu kejap."

"Tak apalah.. Pasir tak kotor." Jawabnya ringkas.

Pantas saya menyambar tangannya untuk dicium tanda hormat. Alangkah bertuahnya saya rasakan kala itu. Bagai bulan jatuh ke riba. Tidak ada perkara lain yang bermain dalam fikiran, melainkan memikirkan inilah peluang terbaik untuk bertanya isu mengenai Kajang.

"Deras air hari ni. Berus (pusaran air) banyak." Kata Ayah Chik memulakan bicara. Dengan penuh khusyuk saya mendengar bualannya seperti penduduk pesisir pantai yang lain. Bercerita mengenai air laut, nelayan, cuaca kapal dan sebagainya. Sekali-sekala saya bertanya ingin tahu.

Usai cerita laut, Ayah Chik buka cerita pula pasal politik antarabangsa. Kali ini lebih bersemangat dari cerita laut. Seolah-olah cerita-cerita laut hanya mukaddimah pembuka bicara.

"Payah sungguh orang-orang arab ni. Nak suruh orang dengar kata mereka saja. Kata kita tak mahu dengar." Antara keluhannya mengenai isu arab spring. Beliaulah antara personaliti utama yang terlibat dalam menangani masalah Timur Tengah secara diplomatik.

Katanya, barat sedang berusaha untuk mewujudkan persempadanan baru antara negara-negara Timur Tengah, berasaskan mazhab i'tiqad. Pertembungan Sunni Syiah antara medium utama yang digunakan mereka dalam merealisasikan usaha terbabit.

"Ustaz-ustaz kita yang tak faham serang habis-habisan Syiah. Digomol semuanya kafir tanpa tapis." Ujarnya kesal.

Saya kira pandangan itu ada betulnya. Kadang-kadang sifat mengutuk fahaman-fahaman syiah terlalu melampau sehingga menutup ruang mujadalah hasanah yang di ajar sunnah. Kita tak nafikan mereka sesat dalam pegangan dan silap dalam ijtihad. Tapi jangan sampai tindakan sesetengah penceramah yang lantang mengutuk sehingga membangkitkan api kebencian melampau antara dua belah pihak, sedangkan di sana terdapat musuh nyata yang tidak sekali-kali redha terhadap kita selagi kita tidak menurut mereka.

Beliau sebenarnya baru pulang dari Iran untuk membincangkan hal ini. Sekarang pimpinan baru mereka, Rouhani dalam keadaan tersepit dalam membawa agenda perubahan di Iran. Dulunya Ahmedinejad bersama Khomeini agak kuat berpegang dengan mazhab Syiah radikal mereka. Ayah Chik gelarkan mereka sebagai kumpulan berlatar belakang pengajian pondok dari Qom. Rouhani yang memenangi pilihanraya presiden baru-baru ini pula bersifat reformis/islahi tetapi pentadbirannya masih dibayangi saki baki pengikut tegar Ahmedinejad.

"Tapi benda-benda ni tak ada tertulis di internet kan.." Tambahnya. Kata-kata ini membuat saya teringat suatu masa dulu, masa dia berikan dua tulisan terbarunya berhubung nasionalis dan fiqh ibadah (kalau tak silap). Dia cadangkan saya publish jadikan buku untuk tambah dana PPMS (Persatuan Pelajar Malaysia Syria). Tapi saya agak cuai dan tak berapa endah cadangan itu. "Mungkin ayat sebentar tadi turut bermaksud cadangan untuk di tulis dalam internet." Getusku didalam hati.

Daripada isu laut, ke isu antarabangsa, turun isu sejarah nusantara, masuk bab fiqh waqi' sikit, balik semula ke sejarah antarabangsa. Saya dapat amati beliau amat suka berkongsi hal sejarah, dan sering mengaitkannya dengan fiqh. Mendengar perkongsiannya tak ubah seperti dalam kuliah subjek Tarikh Tasyri'.

"Orang-orang mengaji Timur Tengah balik tanah melayu, tengok orang buat amalan sembahyang hajat bila masuk rumah baru, terus dituduh bidaah. Dia tak tahu ulama'-ulama' dulu buat macam tu sebab amalan masyarakat sebelum ini buat jampi serapah bila naik rumah baru." Katanya. Saya setuju. Nak ubah masyarakat tak boleh drastik.

"Wali songo pernah ubah cerita wayang kulit jadi islamik. Dulu mainan wayang kulit ni penuh unsur khurafat dan pemujaan. Wayang-wayang tu bergerak tanpa sendiri." Tambahnya lagi. Luas sungguh lautan ilmunya.

Asyik bersembang, tengok jam dah pukul 7 malam! Saya mula kelam kabut. Ikut jadual hari itu saya kuliah maghrib di kampung. Perjalanan sahaja memakan masa setengah jam, sedangkan saya belum bersiap apapun. Nak tak nak, terpaksa minta diri dulu. Kebetulan pula seorang pak cik datang menyapa Ayah Chik. Ketika mereka bertanya khabar, saya mengambil peluang untuk angkat punggung. Ayat mohon izin berundur sudah di susun rapi di hemat.

Ketika saya bangun, Ayah Chik pandang saya semacam. Anak mata tepat memaku gerakku. Saya jadi kaku untuk bersuara minta izin. Macam saya ada buat salah besar. Mungkin sebab dia belum habis bercerita, saya dah potong stim. Rasa bersalah menyelubungi. Akhirnya saya hanya minta izin nak balik sahaja. Alasan-alasan yang  diatur tadi hilang entah kemana.

Saya terus mendapatkan isteri dan anak yang sedang sibuk menolong sanak saudara di atas. Sedang bersiap nak balik, tiba-tiba Ayah Chik melintas. Nampaknya dia lebih dahulu pulang walaupun mulanya saya yang terhegeh kata nak balik awal. Malunya kat ulama'! Masanya begitu berkat. Sedang saya masih lagi belum bertolak.

Belum sempat enjin motor dihidupkan,

To be continue....

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....