Saturday, February 1, 2014

MEMELIHARA HATI

SYLLABUS USRAH IDADIE 2
SIRI V

Hati yang difahami kita, dalam bahasa Arab disebut قلب)) iaitu anggota yang terletak di sebelah kiri dada dan merupakan bahagian terpenting bagi pergerakan darah. Qalaba dalam bahasa arab bermaksud membalikkan, sesuai dengan hati yang sifatnya sentiasa berbolak balik dan berubah-ubah. Kadang-kadang hati itu taat, kadang-kadang hati itu leka.

Hati adalah raja bagi seluruh jasad. Sabda Rasulullah SAW:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ‏.‏ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ ‏
Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia itu ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah seluruh jasadnya, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa ianya adalah hati. [HR Bukhari dan Muslim]



Hati juga adalah tempat jatuh pandangan Allah kerana ia tempat terletaknya niat seseorang untuk beramal. Walaupun amalan seseorang itu menepati semua syarat dan rukun sesuatu ibadah, ia tetap tidak akan mendapat pahala jika hatinya tidak ikhlas kerana Allah semata-mata. Sebaliknya jika seseorang berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan dengan ikhlas, dia akan mendapat pahala walaupun perbuatan itu tidak dilakukannya.


HATI YANG SIHAT
HATI YANG SAKIT
1.Sabar dalam segala kesusahan.
2.Berani dan tidak takutkan apa-apa selain Allah.
3.Syukur atas setiap kesenangan.
4.Zuhud iaitu tidak mencintai dunia.
5.Tawakkal iaitu redha dengan setiap ketentuan Allah.
6.Wara` iaitu menjauhi perkara yang syubhah.
7.Ingat kepada mati.
8.Takut kepada Allah.

1.Hasad dengki.
2.Riya` (tidak ikhlas)
3.Ujub (bangga diri)
4.Takabbur (sombong)
5.Panas baran.
6.Cinta dunia (harta, keturunan, pangkat)
7.Tamak
8.Bakhil


CARA MENJAGA KESUCIAN HATI.

1.Mengingati Allah
FirmanNya:
اَلَا بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ القُلُوبَ  
Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. [ar-Ra`d:28]

2.Menjaga amalan fardhu.
Firman Allah:
إنَّ الصلاةَ تَنْهَى عَن الفَحشَاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mugkar. [a-Ankabut:45]
3.Mohon doa agar sentiasa diterangkan hati.
Aisyah RA menceritakan bahawa rasulullah SAW selalu berdoa:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبَ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلى دِينِكَ
Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamamu.
Siti Aisyah bertanya Rasulullah mengapa baginda begitu mengulanginya. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya hati anak adam ibarat berada diantara dua jari Allah, Jika Dia kehendaki, Dia akan tetapkan atau balikkannya. [HR Ahmad]
4.Mengelakkan dari sumber yang haram dan menunaikan amanah.
5.Mengingati mati serta menziarahi kubur.
    Abu Darda` RA berkata: Jikalau hatiku tidak mengingati mati, aku bimbang ianya akan menyebabkan hatiku rosak.
6.Melazimi pengajian ilmu.
7.Sentiasa bertaubat.
Kata Ibnu Qayyim: Tertutupnya hati dengan dua perkara; dengan kelalaian dan dosa. Dan terbukanya hati kerana dua;
taubat dan istighfar.
8.Mendampingi ulama` serta mengambil tahu kisah-kisah kehidupan mereka.
Kata Jaafar bin Sulaiman: Sekiranya aku merasakan hatiku bermasalah, aku akan pergi kepada Muhammad bin Wasi` (seorang ulama`) untuk melihat wajahnya.
9.Sentiasa mengimpikan ganjaran akhirat dan tidak mengharapkan ganjaran dunia.
10.Banyakkan membaca quran. Firman Allah SWT:
أللهُ الذِي نَزّلَ أَحْسَنَ الحَدِيثَ كِتَابًا مُتَشَابِها مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنهُ جُلُودُ الذِينَ يَخْشَونَ رَبَّهُم ثُمّ تَلِينَ جُلُودُهم وقُلُوبُهم إلى ذِكْرِ اللهِ
Allah SWT telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran, yang bersamaan isi kandungannya antara satu sama lain, berbagai bentuk keterangan, yang menyeramkan kulit orang-orang yang takutkan Allah. Kemudian kulit dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah.[Az-Zumar:23]
11.Menambah amalan-amalan sunat.
12.Berbuat kebaikan sesama makhluk termasuk binatang.
13.Menziahari orang sakit atau orang ditimpa kesusahan seperti kematian keluarga, banjir, runtuh.

Kerana hati yan rosak, manusia boleh dihumban ke neraka walaupun telah melakukan amalan yang mulia. Rasulullah SAW pernah bercerita:

“Di hari kiamat nanti ada orang yang mati syahid diperintahkan oleh Allah SWT untuk masuk ke neraka. Lalu orang itu membantah lalu berkata: Wahai tuhanku, aku ini telah matisyahid dalam perjuangan membela agamaMu, mengapa aku dimasukkan ke dalam neraka?. Allah SWT menjawab: “Kamu berdusta dalam berjuang. Kamu hanya ingin mendapatkan pujian dari orang lain, agar dirimu dikatakan sebagai seorang yang berani.” [HR Muslim]

Sumber:
Ihya’ ulumuddin : Imam Ghazali
Quranic Group: Mohd Rafie Yusof/ Mohd Norhusairi Mat Hussin
‘Ilaj Qulubul Qasiyah: Khalid Saoud al-Bulihd
Empat Puluh Hadis Penawar Hati: Syieikh Ahmad Fahmi Zam-Zam al-Banjari

Disediakan oleh:

BADAN TARBIAH DAN DAKWAH, MAAHAD DARUL QURAN, SESI 2014

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....