Wednesday, February 5, 2014

KENYATAAN PRESIDEN: KAJANG HANYA PICISAN (BAHAGIAN 2)

Sebelum sempat enjin motor dihidupkan, salah seorang adik ipar Ayah Chik, yang juga bapa saudara saya menyapa.

"Guane, tak tanya ke pasal Kajang?" Soalnya. Baru saya teringat niat asal. Macamana boleh lupa nak tanya pasal Kajang. Silap saya juga terlalu asyik dengan isu lain.

Sepanjang perjalanan pulang, saya mengelamun. Isu Kajang bukan lagi bermain dalam fikiran. Saya lebih memikirkan raut wajah ulama' itu tatkala saya bangun mengundur diri sebentar tadi. Macam benar-benar terkejut. Rasa bersalah sangat-sangat. Mungkin banyak lagi perkongsian di dadanya yang ingin dicurah, tapi tak berkesempatan.

Tapi bila difikirkan balik, saya patut bersyukur dengan apa yang sudah dicerita. Tak apalah tak tahu isu Kajang pun. Mungkin Ayah Chik fikir ada perkara lebih penting untuk dikongsi daripada isu mengarut itu. Jiwa murabbi akan sentiasa fikir apa anak didik perlukan, bukan apa yang dimahukan.

Semalam apabila keluar kenyataan beliau selepas Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, menyerlahkan lagi keizzahan dirinya.

Dalam kalut ahli bawahan membicarakan isu Kajang ke sana ke mari, nampaknya perkara itu langsung tiada kedudukan dalam kotak pemikirannya. Dia lebih memikirkan tentang permasalahan umat antarabangsa. Matlamat utamanya bukan sekadar meletakkan islam berkuasa di Malaysia, tapi lebih jauh dari itu. Batang tubuhnya bukan milik ahli PAS sahaja. Dia milik umat islam sedunia!

Baru saya faham  kenapa dia sentiasa diusung ke sana ke mari. Dalam beberapa bulan ini sahaja, dia sudah ke Iran, Yaman, Britain, Indonesia dan macam-macam lagi. Itu belum lagi dikira delegasi antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia semata-mata mengutip butir-butir mutiara dari bibir insan mulia itu. Dunia terlalu memerlukan pandangan tajamnya.

Beliau antara rujukan Hamas dalam isu pertembungan dengan Fatah di Palestin. FJP juga merujuk kepada beliau semasa kempen pilihanraya di Mesir. Dalam isu kekecohan di Syria, dialah juga panel penasihatnya. Sungguh dunia tidak lagi bersedia untuk kehilangan sosok penting itu.

Kenyataan medianya jelas betapa pandangan politiknya melewati sempadan negara. Selain dari hanya menyentuh isu Kajang secara ringkas, isu kezaliman di Bangladesh yang dimuatkan sekali dalam kenyataan tersebut memberi signal bahawa isu Kajang tidak dapat memesongkan pedulinya terhadap dunia. Jika kedudukan presiden sebuah parti itu setinggi puncak gunung, tempat beliau sudah jauh ke bumbung langit.

Barulah saya faham, kenapa tidak dibangkitkan isu Kajang dalam perbualan kami tempoh hari. Ya, kita sebagai pejuang islam tidak harus terlalu terpengaruh dengan isu-isu semasa berbentuk siasah sehingga terkabur kerja dakwah dan tarbiah. Beliau tidak langsung terperangkap dalam isu-isu yang timbul.

Dalam isu syiah, pandangan beliau agak kontradik, tetapi sangat logik. Amat pelik apabila Amerika mengeluarkan kenyataan syiah adalah kumpulan bahaya. Tapi pemimpin-pemimpin bangsa arab sokong semacam kenyataan itu. Sebelum ini tiada pula kenyataan tegas pasal syiah. Nampak tak mainannya? Saya masih ingat dua tiga hari sebelum kejatuhan Dr. Mursi, Presiden Mesir itu mengeluarkan kenyataan mengutuk Syiah yang terlibat dalam keganasan di Syria dalam ucapannya.

Ketika Sultan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Mesir dari pemerintahan Syiah Fatimiyyah, beliau tidak membersihkan terus fahaman syiah dari Universiti al-Azhar, sebaliknya meluaskan pengajian fiqh dalam semua mazhab muktabar, termasuk mazhab-mazhab syiah sendiri.

Itu baru betul. Hasilnya, dengan dilakukan perbandingan antara pendapat mazhab, masyarakat dengan sendiri boleh membuat keputusan yang waras berkenaan syiah, tanpa perlu berkonfrantasi. Baginya, manusia adalah ciptaan fitrah. Biarkan fitrah suci mereka yang menentukan kebenaran atau kepalsuan. Jangan paksa orang terima keputusan kita, tapi bantu mereka untuk buat keputusan. Selagi al-Quran dan sunnah tidak mengisytiharkan secara jelas siapa sebenarnya musuh, mereka tetap dianggap mad'u. Hebat gaya kepimpinan anak didik Nuruddin al-Zinki itu.

Walaupun gaya kepimpinannya dianggap lunak dengan seteru sampai tahap menangguh peperangan dengan tentera salib sehinggalah Raja Richard benar-benar sembuh, tetapi cara itulah yang menyebabkan tanahnPalestin kembali ke pangkuan islam.

Sebelum kami berpisah, Ayah Chik sempat berpesan supaya merujuk buku 'Shantranjul Alam' (catur dunia), sebuah buku alih bahasa ke arab dari inggeris supaya lebih faham akan percaturan dunia ini. Akan ku tunaikan pesanan ini semampunya insyaAllah. Legasi beliau tetap perlu diteruskan.

Kepada ahli PAS, usah sesekali gusar dengan kenyataan media itu. Percayalah ia bukan dibuat tanpa sebab. Firasat ulama' tak terjangkau dek akalan awam. Jangan tunggu dia tiada baru nak sedari kebenaran tindak-tanduknya.

Kepada ahli PKR, sebagaimana kami kenal pimpinan kami, kenalilah pimpinan anda sedalamnya. Tak kenal maka tak cinta.

Kepada Ayah Chik, saya doakan Allah panjangkan umur Ayah Chik. Dikaulah panglima ummah penerus legasi sultan Salahuddin dalam misi menawan kembali Bumi Palestin.

Aminn...

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....