Sunday, February 9, 2014

DARI ULAMA KEPADA UMAT (BELASUNGKAWA TUAN GURU MURABBI, DATO' HJ HARUN TAIB)


"Mohon sahabat-sahabat doakan kesihatan kedua-dua ustaz Harun. Khabarnya dua-dua dah sedar." Pesan saya dalam usrah lepasan Maahad Darul Quran (MDQ) keluaran 2007. Kali ini giliran rumah seorang kawan dari Sungai Rengas sebagai penganjur. Kebetulan waktu itu Ust Harun Taib dan Ust Haron Din berada di hospital kerana masalah kesihatan.

Saya ceritakan pada sahabat-sahabat usrah tentang Tuan Guru Ust Harun Taib. Beliau seorang playmaker dalam PAS. Antara usaha yang paling sinonim dengan beliau ialah usrah. Melalui usrah, beliaulah orang yang membangunkan modul pembentukan insan dalam PAS sejak Dewan Pemuda menggagaskan penubuhan Dewan Ulama'. Nama-nama seperti Ustaz Yahya Othman, Ustaz Hasan Syukri, Ustaz Harun Taib, Ustaz Abu Bakar Chik dan Tuan Guru Presiden sendiri adalah pelopor institusi tarbiah dalam PAS. Buku-buku mereka menjadi rujukan hingga sekarang. Beliau juga antara pengasas MDQ dan sehingga sekarang masih menjawat jawatan pengerusi Lembaga Pengarah MDQ. 

Kewujudan usrah kami yang lebih dikenali dengan Usrah Geng Skoop sebenarnya hasil cetusan seorang teman rapat yang kini berada di Yaman. Baginya, perlu ada suatu mekanisme pengikat antara kami setelah setengah dekad meninggalkan Maahad. Tamat pengajian di MDQ, bukan semua kalangan kami memilih untuk menjadi 'orang agama'. Ada yang kini terlibat dalam perniagaan. Ada yang bekerja sendiri dan ada yang masih belajar. Dengan usrah,setidak-tidaknya ilmu yang kami pelajari di Maahad tidak hilang begitu saja.

Alhamdulillah, sejak akhir 2011 ukhuwwah kami kembali bertaut dengan usrah yang diadakan sebulan sekali. Pelaksanaan usrah kami rencam. Rehlah, futsal, bowling, Ifthar, jaulah semua sudah berjaya diadakan. Para isteri yang hanya bertugas di dapur turut mendapat manfaat dari usrah ini. Sekarang ini buku Dr Mustafa Sibaie bertajuk Kajian dan Pengajaran Sirah Nabi menjadi kurikulum.

Selesai berusrah jam 12 malam, terus bertolak ke rumah bersama isteri dan seorang anak kecil Sampai rumah kira-kira 12.15. Dalam keadaan mengantuk saya capai handphone. 

Sejurus membuka peti mesej, saya terpaku kaku. Dunia mula bertukar warna. Berulang kali saya baca mesej yang sama.

"Al-Fatihah, Tuan Guru Ustaz Harun Taib telah meninggal jam 12.02." Kata seorang rakan melalui Whatsapp.

Bagaikan halilintar memukul jiwa, saya tak pernah terfikir beliau akan dipanggil sebegitu cepat. Sebelum ini pun sudah berkali beliau dimasukkan ke wad, tapi pulih semula selepas itu.

Berita yang sukar dipercayai. Selesai saja kami berusrah, Tuan Guru terus dijemput pergi. Kalaulah benar usrah kami itu menjadi asbab kepada nyawanya terus bertahan, tak akan saya hentikan usrah itu selama-lamanya. Namun tuhan lebih mengetahui.

USRAH 

Bercakap mengenai usrah, Tuan Guru arwah adalah seorang yang memang cintakan usrah. Bapa saya salah seorang anak murid tegarnya. Semasa kecil, hampir tiap-tiap minggu kami anak beranak bertandang ke Kubang Lembek semata-mata mengikuti bapa berusrah. Kubang Lembek dah jadi rumah nombor dua kami.

Kali pertama berusrah dengannya, saya bersama kawan-kawan pelajar Syria. Oleh kerana kebanyakan kami bukan dari Terengganu, ramai yang sampai lewat sehingga lebih 1 jam. Bila kami masuk, muka beliau masam.

"Kata pukul 9, ni dah lebih sejam. Nanti saya ada program lain." Katanya dengan nada agak keras. Dengan mukanya yang mencatung, kami rasakan usrah ini pasti bakal berjalan dalam keadaan tidak tenang dan kelam kabut.

Sangkaan kami meleset. Bila mula berusrah, wajahnya mula berubah. Semakin dia berkongsi ilmu, semakin ceria rautnya. Akhirnya dia tak jadi ke programnya, dan terus bersama kami sehingga rapat ke Zohor.

Masih terngiang dalam kepala saat berusrah dengannya kira-kira sebulan lepas. Rupanya itulah pertemuan terakhir kami. Usrah hari itu berjalan seperti biasa. Memandangkan saya bawa mahasiswa yang belum pernah bertemu beliau, kami mulakan dengan sesi taaruf. Beliau mendengar dengan teliti setiap yang bertaaruf. Terlihat keterujaannya apabila bertaaruf dengan mahasiswa dari pantai barat, terutamanya Johor. Dalam keadaan diri yang uzur, kepalanya masih ligat memikirkan ruang untuk melebarkan sayap dakwah.

Semasa mentaaruf dirinya, beliau cukup zuhud. Tidak langsung menceritakan jasa-jasanya, selain menyebut jawatan kerana disyaratkan oleh pengerusi. Dia tampak lebih selesa berkongsi tentang pengajiannya dahulu, mungkin terkenang pengalaman dulu bila melihat anak-anak mahasiswa di hadapan.

Arwah adalah sahabat karib Ayah Chik sejak di bangku sekolah hinggalah ke Madinah dan Mesir. Isterinya, Ustazah Fatimah juga lepasan Mesir. Dia pernah bercerita dulu, kalau tak silap semasa saya di Syria, dia dan Ayah Chik saling berlumba-lumba untuk memiliki kitab-kitab terbaru yang dijual. Pantang ada terbitan baru, dua orang ini akan berusaha untuk mendapatkannya.Mahasiswa dulu tidak seghairah mahasiswa hari ini yang berlumba-lumba memiliki gajet terbaru. Selalu juga mereka berkongsi bahan bacaan, tidak seperti anak muda yang sibuk berkongsi item menerusi bluetooth.

Dalam usrah, beliau mulakan perkongsian mengenai sejarah kebangkitan islam daripada kedatangan nabi. Modul yang nabi guna dalam strategi mendaulatkan islam amat hebat, sehingga berjaya menembusi bumi Afrika sebelum hijrah lagi. Resepinya adalah pembinaan dalaman diri seorang muslim itu. Ia bermula dari rumah al-Arqam bin abi al-Arqam.

Disana mereka meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan islam, siapa Allah, apa tujuan mereka hidup, kemana mereka akan pergi dan sebagainya. Fatrah itu belum ada lagi syariat seperti puasa, zakat, halal haram makanan. Tetapi sahabat cukup menghayati erti islam. Ia terbukti melalui ucapan Jaafar bin Abi Talib ketika menghadap raja Najasyi, pemerintah Habsyah. 

Menurut fiqh harakah, matlamat amal islami mestilah bermula dengan pembentukan individu muslim, diikuti bayt muslim, kemudian mujtama' islami, daulah islamiah hinggalah kepada khilafah islamiah.

SOAL JAWAB

Tuan Guru tidak banyak bersyarah. Dia lebih suka berdialog. Macam-macam soalan kami ajukan. Walaupun kadang-kadang itu soalan berbentuk remeh temeh, tapi beliau jawab juga dengan penuh teliti.

"Macamana kami nak bahagikan masa antara kerja untuk islam dan pelajaran?" Soal seorang mahasiswa.

"Kadang-kadang orang menolak untuk terlibat dalam persatuan sebab mengganggu jadual belajar mereka. Padahal kalau mereka berhenti dari berpersatuan pun, jadual belajar itu tidak bertambah, sebaliknya dihabiskan untuk melancong, berhibur dan bersembang. " Tegurnya.

Saya membilang nama-nama pelajar cemerlang di beberapa kampus yang dikenali. Kebanyakan mereka adalah aktivis persatuan di kampus. Terbaru ialah sahabat saya di UKM, saudara Azan Safar. Walaupun menggalas tugas sebagai Presiden Gamis, pelajarannya tetap tip-top. Takkan kita dah lupa nama-nama seperti Anwar Ibrahim, Hasrizal Jamil, Zaharudin Abdurrahman, Zaharuddin Mohamad, Dr Ridhuan Mohd Nor dan ramai lagi? Mereka aktivis persatuan, mereka jugalah kebanggaan dekan.

Arwah juga salah seorang pelajar cemerlang Universiti al-Azhar. Semasa musim peperiksaan, orang lain sibuk mengulangkaji pelajaran, sedangkan beliau dilihat ulang-alik membimbit fail persatuan. Bila ditanya, beliau jawab, "Saya belajar bukan untuk peperiksaan saja."

"Di al-Azhar dulu, saya biasanya baca dahulu buku mata pelajaran sebelum ke bilik kuliah. 

To be continue.....

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....