Sunday, February 9, 2014

DARI ULAMA' KEPADA UMAT (BELASUNGKAWA TUAN GURU MURABBI DATO' HAJI HARUN TAIB)

Sambungan bahagian satu..

"Di al-Azhar dulu, saya biasanya baca dahulu buku mata pelajaran sebelum ke bilik kuliah. Mana yang tak faham saya tanda. Masuk ke bilik kuliah, saya tak baca buku mata pelajaran, saya baca buku haraki. Masuk bab yang saya tak faham barulah saya tumpukan perhatian pada pensyarah." Terang Ust Harun pada kami.

Tidak hairan ilmunya begitu luas. Beliau pernah berselisih pendapat dengan Dr Mustafa Masyhur, Mursyidul Am ke-6 Ikhwanul Muslimin berkenaan Taadud Jamaah. Beliau yang sependapat dengan Dr Fathi Yakan dari Lubnan amat-amat menentang keras pendekatan berbilang-bilang jemaah islam di suatu tempat. Baginya, ia hanya merugikan. Sebelum Dr Mustafa meninggal, setelah melihat kesan kepelbagaian jemaah di bumi Mesir, beliau akhirnya mengakui ijtihad Ustaz Harun adalah lebih tepat.

Namun kadang-kadang orang kita tidak terlalu menghargai mutiara berharga yang dimiliki. Mereka melihat pendapat yang disandarkan pada ulama' luar negara lebih kuat jika dibanding kenyataan-kenyataan ulama' sendiri. Padahal mereka semua setaraf sahaja. Sebab mereka petah berbahasa arab (dah memang orang arab), kita sanjung tinggi.

Bila sebut sahaja pandangan itu dari Dr Yusof Qardawi, semua terima tanpa bahas. Kalau ulama' kita, macam-macam dibahas. Padahal ulama' kita tu bentang kertas kerja pusing satu dunia. Macam juga bomoh di kampung sendiri, biasanya tak tersohor walaupun yang menerima rawatan datang dari seluruh Malaysia. Orang kita nak bomoh luar juga.

Arwah sering menegaskan, PAS bukan pecahan Ikhwanul Muslimin, PAS bukan Hamas, bukan Jihad Islami, PKS, Jamiat Islami atau Taliban. PAS adalah PAS. PAS ada pendekatan tersendiri, manhaj tersendiri. Bukan semua yang Ikhwan Muslimin lakukan, kita kena lakukan. Penegasan ini mengingatkan kembali jemaah-jemaah lain bahawa tiada nilainya mereka mengaku merekalah wakil tunggal Ikhwan di Malaysia.

"Orang selalu pertikai pendekatan kita tak sama dengan Mursi di Mesir, Erdogan di Turki dan Rashed Ghanoushi di Tunisia. Ada ke dalam syariat kita bahawa Mesir, Turki tu salah satu sumber hukum?" Tegasnya lagi. Kadang-kadang orang tak faham apa itu Fiqh Waqi'. Sarjana islam sendiri seolah-olah lupa sayu kaedah dalam Fiqh:

لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمانة والأمكانة. 
"Tidak dinafikan, hukum-hakam boleh berubah dengan berubahnya masa dan tempat."

Pepatah arab ada menyebut:
اهل مكة ادرى بشعابها
Penduduk Mekah lebih arif akan lorong-lorongnya.

Kerana itulah gerakan islam seluruh dunia sering mengadakan pertemuan, untuk berkongsi, bukan untuk menerima arahan dari mana-mana pihak. PAS banyak mencedok konsep tarbiyah yang diperkenalkan Ikhwanul Muslimin, tetapi bukan 100%. Ia diolah supaya menepati keadaan Malaysia.

Dalam dunia politik, PAS menjadi rujukan gerakan islam lain kerana lebih lama bergelumang dalam sistem demokrasi. Keahlian bukan islam sebagai pendokong parti adalah salah satu ijtihad yang belum didahului mana-mana gerakan dunia sebelum ini, begitu juga konsep tahaluf antara parti. PAS punya identiti tersendiri.

Satu lagi nasihat arwah dalam majlis itu saya masih ingat sampai sekarang:

"Orang kita faham zikir itu dengan lafaz-lafaz tertentu sahaja, dan dalam kedudukan tertentu sahaja. Kalau macam tu saya bukanlah orang yang kuat berzikir. Bagi kita pejuang islam, maksud mestilah diperluaskan. Setiap pekerjaan, bacaan dan tingkah laku yang membuat kita ingat Allah, semua itu adalah ZIKIR." Kami mengangguk tanda setuju. 

Terkadang orang lebih memamahami zikir dengan sebutan-sebutan semata-mata, sedang zikir bermaksud ingat. Apa guna mulut kumat kamit menyebut nama tuhan, sedang hati dan akal sentiasa memikirkan dunia.

Allah menyifatkan ahli zikir seperti FirmanNya:

رجال لا تلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكر الله
Rijal itu ialah mereka yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan perniagaan daripada mengingati Allah. (An-Nur:37)

Jika berniaga pun boleh ingat Allah, apatah lagi melakukan kerja-kerja untuk agamaNya? Orang berniaga yang ingat Allah, tujuan zahirnya dunia, tapi batinnya untuk akhirat. Orang yang bekerja untuk islam, zahirnya akhirat, batinnya juga akhirat.

Perbincangan semakin menarik. Justifikasi yang diberikan Tuan Guru mencerahkan lagi arah jalan dakwah yang kami rentasi. Ada seorang antara kami bertanya tentang Kubang Lembek dan KUDQI. Lantas beliau memulakan cerita.

"Sejak kemunculan Mageran pasca 13 Mei, mereka mengharamkan semua aktiviti parti politik di Malaysia, dalaman dan luaran. Hasil daripada itu pendokong PAS mula mengasaskan ABIM bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti di peringkat kampus. Tokoh paling terkehadapan waktu itu, Anwar Ibrahim dipilih mengepalai angkatan tersebut." Ujarnya. ABIM menjadi proksi PAS dalam meneruskan agenda dakwah dan tarbiyah.

"Bermula daripada itu aktiviti tarbiah mula subur di kampus-kampus. Aktivis PAS yang tidak lagi boleh bergiat dalam lapangan umum, mula menjadi penggerak tarbiah dalam ABIM. Ayah Chik, Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Ghani Shamsudin, Ustaz Tuam Ibrahim Tuan Man antara pelopor ABIM waktu itu."

"Pusat tarbiah pertama di Malaysia adalah Kubang Lembek. Disinilah tempat mencetak generasi-generasi pemimpin yang ada sekarang. Waktu itu kita berjaya menguasai semua maktab perguruan di Malaysia, dan hampir keseluruhan Universiti dan Kolej yang ada di Malaysia. Tiba sahaja musim cuti, mahasiswa ini akan berkampung di Kubang Lembek." Ujarnya. 

Kami begitu teruja mengetahuinya. Beliau membilang beberapa nama yang berada di persada politik tanah air hari ini, kebanyakannya kepimpinan PAS Pusat sekarang, ada juga yang berada dalam kerajaan, semuanya lahir dari Universiti Tarbiah Kubang Lembek.

"Ramai lah anak murid ustaz sekarang." Celah saya secara automatik akibat terlalu teruja.

"Itu bukan anak murid saya. Itu anak murid PAS." Jawabnya penuh tawadhu'. 

Tak sangka saya berada di sisi pencorak masa depan negara hari ini. Pemerintah berhabis juta ringgit untuk menyiapkan modul hala tuju masa depan negara, sedangkan arwah hanya bermodalkan fikiran dan keringat telah mendahului pemerintah.

Sebelum kami beredar,

To be continue again...

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....