Sunday, December 22, 2013

HUKUM UCAPAN MERRY KRISMAS/ SELAMAT HARI NATAL/ HAPPY HOLIDAY


Putaran waktu semakin menghampiri tarikh 25 Disember. Semakin ramailah bertanya soal keharusan mengucap tahniah sempena perayaan Krismas. Baik golongan berlatar agama, kurang beragama atau langsung tidak beragama, semua bersikap ingin tahu.

Masing-masing punya pandangan sendiri asalkan tidak terpesong dari nas syarak. Ulama yang berhukum haram kerana beralasan ia seolah mengiktiraf agama lain. Hukum sebegini nyata lebih mudah untuk diputuskan. Saya kira ini salah satu pendekatan ulama salaf yang lebih selamat.

Bagi mereka yang bergiat dalam ruang dakwah kontemporari, pandangan sebelum meletakkan hukum perlu lebih meluas. Di samping nas, soal siasah syariyyah dan fiqh waqi' juga harus diambil sebagai timbangan. Mereka harus melihat gaya ulama khalaf menangani permasalah pada zamannya yang lebih berhikmah. Kata ulama:
" Pandangan salaf adalah lebih selamat dan pandangan khalaf adalah lebih berhikmah".



Bagi saya, momokan Krismas sebagai perayaan agama nampaknya tidak lagi menjadi suatu realiti di kalangan masyarakat dunia. Kebanyakan masyarakat Kristian hari ini tidak merayakannya atas dasar patuh pada tuntutan agama, sebaliknya dijadikan sebagai hari kegembiraan dalam memenuhi fitrah diri semata-mata. Ibadat sudah bertukar menjadi adat.

Status Krismas sebagai perayaan keagamaan sendiri penuh keraguan. Masyarakat Rom merayakan 25 Disember lebih awal dari kelahiran Nabi Isa yang mereka dakwa. Bahkan dalam teks Bible yang terdahulu menyatakan Nabi Isa lahir pada awal Januari.

25 Disember disambut masyarakat Rom kerana ia bersempena permulaan matahari muncul dalam musim sejuk. Ketika gereja mula menguasai istana/pemerintahan, masyarakat masih mengamalkan adat menyambut perayaan itu, menyebabkan gereja mengambil kesempatan mengubah kepercayaan mereka untuk turut mengingati kelahiran Nabi Isa pada 25 Disember.

Di Amerika, ucapan Merry Krismas sudah sedikit demi sedikit dibuang dari pengamalan lalu diganti dengan ucapan Happy Holiday kerana melihat ia bukan lagi sebuah perayaan agama.  Presiden George W.Bush sendiri pernah mengirim 1.4 juta kad ucapan Happy Holiday.

Di Jepun, 25 Disember juga disambut meriah walau majoriti bukan kristian. Negara Komunis seperti Rusia dan China juga menyambut perayaan ini.

Disebabkan alasan-alasan ini, saya melihat sekadar ucapan Merry Krismas buat rakan-rakan kristian khususnya di Malaysia ini tidak melambangkan sebarang pengiktirafan buat kepercayaan mereka. Ramai kalangan mereka sendiri tidak memahami signifikan ucapan ini mengikut agama mereka.

Illah daripadan pengharaman ucapan itu adalah tidak mahu islam dilihat mengiktiraf agama lain. Inilah sebab Nabi berhasrat menambah hari kesembilan muharram dalam ibadat puasa asyura. Nabi juga mengubah gaya rambut dari belah tengah ke belah tepi selepas mengetahui ianya gaya penganut yahudi.

Hukum bukan taabbudi amat berkait dengan illah. Dimana ada illah, disitu ada hukum yang serupa.

Dalam isu ucapan Merry Krismas, saya melihat Illahnya sudah tiada. Ucapan itu tidak lagi difahami sebilangan besar penganut kristian sebagai pengiktirafan buat anutan mereka. Mereka tidak akan berbangga menjadi seorang kristian hanya dengan ucapan sebegitu, tidak seperti masyarakat islam yang begitu bangga apabila non-muslim pandai 'berbahasa islam' seperti ucapan Assalamualaikum dan InsyaAllah.

Tetapi haruslah diingat bahawa mengucapkan Merry Krismas hanya berniat untuk meraikan kegembiraan mereka, dan bukan menjadikannya salah satu dari perayaan kita. Sabda Rasulullah SAW: "Hanyalah amalan itu berdasarkan niatnya".

Jangan amalkan hias pokok krismas di rumah kita orang islam. Jangan amalkan memberi hadiah pada kanak-kanak bersempana tarikh itu, kerana jelas tegahan nabi "Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum itu, maka mereka termasuk dikalangannya".

Kalau kita masih menegah ucapan Merry Krismas, maka apa pula status amalan bercuti pada tarikh tersebut? Tidakkah ia juga dikira mengiktiraf mereka? Apa pula status menggunapakai kalendar Gregory yang didakwa bermula pada tahun Nabi Isa dilahirkan?

Perkara lain yang perlu di fikirkan juga adalah soal persepsi penganut agama lain terhadap islam. Jika mereka sama-sama meraikan perayaan kita, kenapa umat islam tidak boleh melakukan hal yang sama walaupun sedikit? Tidakkah kita akan dilihat kurang dari sudut moral? Sedangkan al-Quran ada menyebut: "Apabila kamu diberi penghormatan dengan sebuah penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau sekurang-kurangnya balaslah setaraf dengannya."

Saya terima dengan baik mereka yang terus berpegang dengan pendapat pengharaman sedemikian kerana perkara ini tidak qat'ie. Dilalah yang digunakan masih pada tahap zhon. Masing-masing yang layak adalah berhak untuk berijtihad selagimana tidak terbabas dari kaedahnya. Inilah rahmatnya islam. Wallahualam.

#Saya tidak layak berijtihad, saya hanya nukil dari pandangan ulama especially Dr Yusof Qardhawi. Saya mengalukan pandangan untuk mempercambahkan lagi pendapat.


#Untuk pandangan terdahulu, sila baca sini

Sumber:
Fatwa Muasarah: Dr Qardawi
http://quran.maktoob.com/vb/quran11639/
http://www.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&lang=A&Id=6067
http://islamqa.info/ar/ref/48966
http://indonesiaindonesia.com/f/14400-makna-natal/
http://takusahrisau.wordpress.com/tag/siapa-santa-claus/
http://ms.wikipedia.org/wiki/Krismas


No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....