Monday, November 25, 2013

6 CATITAN PEMERHATIAN MUKTAMAR AGUNG PAS Ke-59


1-Trend pemilihan dikalangan perwakilan telah berubah selari dengan perubahan passion calon untuk bertanding. Kempen menjadi faktor penting dalam memastikan kemenangan. Populariti juga menjadi faktor disamping faktor penyandang sesi lepas. Apa yang menarik adalah ahli semakin peka dan ternanti-nantikan penuh debaran siapakah pimpinan baru mereka. Jika dahulu, ahli tak kisah siapa di atas. Dalaman PAS mengalami kemajuan demokrasi disaat dalaman UMNO dan negara sendiri semakin terhakis.

2-Dengan kepimpinan baru ini, yang dilihat agak sengit persaingannya, yang menang tidak banyak majoriti dan yang kalah penuh bermaruah, ahli perlu bersedia untuk patuh dan setia pada kepimpinan mengikut syura ini.

Ada yang menganggap tidak perlu wala' kerana pemilihan meragukan. Mengambil teladan dari peristiwa khilafah Imam Ali bin Abi Talib Karramallahuwajhah, tanggapan tersebut amat perlu dihakis. Saidina Muawiyah dan penduduk islam di Syam juga tidak beri ketaatan pada Saidina Ali kerana menganggap pemilihan tidak sah kerana ada sahabat-sahabat tidak membuat pemilihan sewaktu pengundian jawatan khilafah disebabkan mereka berada di luar Madinah. Akibatnya, zaman Imam Ali menjadi zaman penuh kontroversi dan era gelap dalam khulafa arRasyidin. Perang sesama islam berlaku begitu marak. Kebencian yang tercetus mengakibatkan jemaah islam waktu itu berpecah belah, sehingga mewujudkan beberapa kumpulan baru yang tidak sealiran dengan ahlu sunnah wal jamaah.

Perkara ini sepatutnya menjadi tauladan buat seluruh ahli PAS. Jika benarpun ada yang tidak kena dengan tindakan sebahagian golongan, bahtera ini tetap perlu bergerak kehadapan.

3-Kesilapan dalam pemilihan; Syabas diucap kepada Jawatankuasa pemilihan yang berani mengaku salah dan meminta maaf. Itu menunjukkan kejujuran dan ketelusan. Khusus buat Pengarah JK Pemilihan ini, you are the man bro. Boleh kuat untuk naik umum kali kedua keputusan pemilihan walau dah banyak orang luar kondem. Semoga kesungguhan itu tuhan bayar cash di akhirat nanti.

Tahniah juga buat perwakilan yang tidak mempamerkan aksi baling kerusi atau hempas mikrofon walaupun pemilihan terpaksa dilakukan dua kali. Jumlah hampir 100% pemilih yang keluar memilih menunjukkan wala' dan taat mereka pada ketetapan jemaah.

Namun kesilapan itu juga harus kita kesali. Ia merupakan suatu yang amat sensitif. Kesalahan itu juga kalaupun ianya teknikal, tapi ia major. Kesannya besar. Sepatutnya ia menjadi fokus utama dalam post mortem Panitia Muktamar nanti. Perlu suatu jawapan konkrit dan tindakan 360 darjah untuk meyakinkan ahli dan pemerhati umumnya bahawa kesilapan sebegitu tidak akan berulang lagi.
4-Kesilapan itu juga membawa suatu hikmah yang besar kepada dalaman parti, terutama berkenaan isu ulama profesional. Sepatutnya kita boleh menyedari melalui takdir Allah ini bahawa tiada makhluk yang sempurna di dunia. Tiada yang special baik golongan agamawan ataupun bukan. latarbelakang pendidikan tidak menentukan kemampuan menggalas tugas dalam dunia politik, sebaliknya ia bergantung kuat dengan ketentuan Ilahi. Taqwalah qualification utama yang harus dilihat, bagi sebuah kumpulan islam. Masing-masing perlu pulang dengan istighfar dan muhasabah diri.

Dengan pemurnian yang dilakukan hampir semua yang menggulung perbahasan, saya kira ahli PAS sudah memiliki benteng yang kuat untuk menyanggah serangan-serangan orang luar dari memecah belahkan perpaduan PAS sekurang-kurangnya sehingga pemilihan akan datang.

5-Mr. Arrogant; sepanjang zaman, islam tidak akan sunyi dari diganggu jarum-jarum halus musuh. Sepanjang perjuangan nabi dari awal pembentukan kota Madinah sehinggalah baginda wafat, kelibat munafiqin yang berada dalam saf umat islam tidak pernah hilang. Ini dikuatkan lagi dengan sebuah surah bernama al-Munafiqoon.

Kalau kita belek hadapan al-Quran di awal surah al-Baqarah pun akan terjumpa pendedahan ini. Pointnya adalah jangan kita terlalu selesa berada dalam bahtera ini. Pendedahan al-Quran tentang Munafiq bererti golongan ini wujud hingga ke akhir zaman. Mungkin dulu kita tak dengar hal ini, melainkan setelah PAS semakin kuat. Zaman nabi juga begitu. Sebelum umat islam punya kuasa ketika di Mekah, tak siapa pun mahu take advantage.

Mr Arrogant tidak melabel mana-mana golongan, berbeza dengan istilah ulama profesional, kerana ulama itu merujuk kepada golongan agamawan, sementelah pula nama ulama' dipakai kepada sebuah sayap terpenting parti. Profesional pula adalah lawannya.

Begitu juga label Erdogan, yang membawa personaliti non-ulama, dan label UG, yang merujuk pada golongan yang menyokong cadangan Unity Goverment cetusan Presiden dahulu.

Mr. Arrogant adalah golongan sombong yang mencari jalan membawa PAS meninggalkan pengamalan Quran Sunnah secara halus. Dengan tidak merujuk kepada sesiapa dan latarbelakang mana, Mr Arrogant sememangnya wujud dalam mana-mana institusi islam dalam dunia ini. Mengabaikan kewujudan mereka bererti membiar PAS ini runtuh seperti runtuhnya Empayar Othmaniah ditangan orang kanan Othmaniah sendiri.

Namun ini bukan pula bermaksud menyuruh kita bersangka buruk sesama jemaah, tetapi lebih berwaspada dan sentiasa dalam keadaan sedar. Selagi al-Quran dan Sunnah menjadi panduan kita, insyaAllah kita tidak akan termakan dengan pembawaan mereka.

Kata Haji Mat Sabu, kalau BN sanggup berbelanja 46 billion untuk bina imej PM, tentu mereka tidak untuk membelanjakan 1-2 billion untuk pecahkan PR. Saya tambah, apalah sangat ratusan juta untuk upah orang masuk pecahkan PAS!

6-Isu konsert mungkin menjadi isu paling hangat buat pemerhati luar muktamar. Soal kewajaran penganjuran itu saya tidak mahu komen. Saya kira mafsadahnya lebih dari maslahahnya.

Apapun saya cukup tabik dengan DACS. Mereka begitu bertungkus lumus membawa anak muda pelbagai kecenderungan untuk menyertai PAS. Dah berapa ramai artis-artis berpengaruh jinak dengan PAS. Bukan sedikit ahli sukan berpengaruh mengheret peminat mereka turut sama menyumbang kuasa untuk PAS. Sepatutnya kita beri idea yang membina untuk DACS tarik lebih ramai golongan belia, bukan hanya kutuk yang salah semata-mata.

Cadangan saya, apa kata untuk tarik rockers-rockers kental ini, buat satu gig khusus untuk mereka. Anjurkan grand dengan bantuan DPPM biar boleh challenge populariti gig-gig anjuran lain. Gunakan khidmat otai-otai rock dan seni yang kita ada macam Ali XPDC, Sham Kamikaze, Renggo, Akil Hayy, mungkin Amy Search sekali, dan ramai lagi untuk sumbang idea dan pengaruh mereka sekali. Mungkin genre rock otai ini berbeza dengan punk rock atau heavy metal, tapi sekurang-kurangnya DPP boleh baca apa sebenarnya jiwa rockers ini perlu dan mahu.

Benda ni juga boleh dikembangkan memandangkan kita sudah punya keahlian yang cukup hebat untuk membentuk mementum baru dalam dunia seni tanah air. Mungkin boleh buat teater baru setanding Lawak Ke Der dengan Ustaz Azhar, Bob Lokman, Leman.

Kita juga punya kekuatan dalam bidang lakonan. Dari pengarah hingga pelakon, saya yakin DACS mampu buat kejutan besar untuk kita.

Mungkin juga boleh tubuh sebuah NGO yang tidak menampilkan imej kepartian untuk develop hal ini. Selain dari itu NGO juga boleh  berperanan menjaga kebajikan penggiat seni setanding Seniman yang kini mula dikotori kepartian. Pemergian Kumang masih belum terubat. Kisah penderitaan JM Aziz dan P.Ramlee dulu juga amat pilu untuk dikenang.

Selain dunia seni, dunia sukan juga harus diterokai. Dengan ketekukan jitu, tidak mustahil suatu hari nanti kita mampu lihat sebuah kelab bolasepak dokongan kita mampu bermain di Liga Super.

Apapun, seni memang cukup menghiburkan tetapi percayalah, seni yang paling halus dan paling exciting adalah seni dakwah!

Senarai AJK PAS Pusar sesi 2013-2015


No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....