ASAL-USUL/ SEJARAH PERMULAAN TAQWIM HIJRI
Mengikut sejarawan, taqwim hijri diasaskan oleh Umar al-Khattab pada tahun 17 hijra; , 6 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ideanya tercetus apabila Saidina Umar menerima surat dari salah seorang gabenornya, Abu Musa al-Asyari RA yang tidak bertarikh, membuatkan beliau sukar untuk mendokumentasikan surat tersebut. Lalu dikumpulkan ahli mesyuaratnya (ahli syura) untuk dicipta suatu tarikh bagi melicinkan pentadbiran (kerajaan Rom sudah mempunyai tarikh surat waktu itu mengikut perhitungan Masihi).
Perkara utama yang dibincang adalah tarikh permulaan kiraan tahun. Cadangan-cadangan yang dilontar adalah dari empat peristiwa iaitu:
1. Dari tahun kelahiran nabi SAW
2. Dari tahun diangkat Rasulullah SAW menjadi Nabi.
3. Dari tahun penghijrahan Rasulullah ke Madinah.
4. Dari tahun kewafatan baginda SAW.
Akhirnya Umar bersetuju dengan cadangan ketiga iaitu bermula tahun penghijrahan Rasulullah SAW kerana baginya, peristiwa hijrah adalah titik permulaan pemisahan hak dan bati
Perkara kedua yang rumit untuk dibincang ialah bulan manakah yang dipilih sebagai bulan pertama. Walaupun masyarakat arab sebelum ini belum mempunyai tarikh tahunan, tetapi mereka sudah mempunyai 12 nama bulan-bulan yang disepakati. Bulan-bulan ini dikira mengikut peredaran bulan mengelilingi bumi (calendar Gregory dikira mengikut peredaran bumi mengelilingi matahari).
Umar memutuskan supaya dipilih bulan Muharram walaupun hijrah nabi berlaku pada Rabiul Awwal kerana Muharram adalah bulan kebanyakan jemaah haji sampai dari perjalanan pulang setelah mengerjakan haji. Kebanyakan jemaah haji biasanya beroleh semangat baru untuk memperbaharui iman mereka setelah pulang dari haji. Para ulama mentafsirkan perbuatan umar ini kerana Nabi berazam untuk hijrah pada bulan Muharram kerana Baiah Aqabah bersama penduduk Madinah yang mengerjakan haji berlaku pada bulan Zulhijjah.
Maka dengan keputusan itu terasaslah tahun yang menjadi perkiraan seluruh hukum-hakam islam. Tarikh hijrah nabi 22 Rabiul Awwal adalah bersamaan dengan 24 September 622 Masihi.
TUJUAN/ MATLAMAT HIJRAH
Ramai pentazkirah mengimbas kembali pahit getir kesusahan nabi dalam perjalanan mereka berhijrah. Namun tulisan ini bukanlah untuk memperkatakan perkara yang sama. Sebaiknya kita melihat dengan skop yang lebih luas, iaitu apakah tujuan nabi berhijrah ke Madinah?
Tujuannya adalah jihad! Jihad bermaksud memerah kesungguhan dalam meninggikan kalimah Allah. Setelah 13 tahun bergelut dengan kerajaan Quraisy yang tidak sekali-kali membenarkan islam diamalkan di bumi Mekah, tuhan izinkan umat islam mencari negeri lain yang boleh diamalkan islam dengan lebih terbuka. Sebelum ini Allah telah mengizinkan umat islam untuk mencuba nasib berhijrah ke Habsyah dan Taif.
Ulama-ulama menegaskan wajib berhijrah sekiranya kita berada di bumi kuffar yang tidak membenarkan kita menunaikan kewajipan-kewajipan islam seperti solat dan sebagainya sehingga membahayakan diri.
Hayatilah Maal Hijrah sepertimana sahabat-sahabat sebelum diberi kemenangan untuk hijrah itu. Contohilah peribadi rijal mutarabbi zaman nubuwwah. Mereka bukan sahaja islam untuk diri mereka, mereka tidak hanya duduk beribadah siang malam, mereka tidak keras berada di mihrab semata-mata. Tetapi mereka juga berjuang! Mereka mempertaruh jasad, berhabis wang ringgit malahan nyawa dalam dalam mempertahankan islam!
Jihad! Itulah tujuan sebenar penghayatan Maal Hijrah
Perkara ini dapat difahami melalui hadis nabi sewaktu membuka kota Mekah:
لا هجرة بعد الفتح ولكن الجهاد ونية.
Tiada lagi hijrah setelah pembukaan Mekah melainkan jihad dan niat.Hijrah dahulunya adalah perkara wajib bagi umat islam sebelum pembukaan Mekah, tetapi selepas pembukaan, tiada lagi hijrah, yang tinggal hanyalah jihad dan niat. Mendatangkan jihad dan niat dalam kenyataan hijrah adalah satu perkara yang signifikan. Hijrah ke Madinah dahulunya adalah salah satu method jihad mempertahankan agama Allah yang tidak diterima kerajaan Mekah. Apabila Mekah diperintah oleh islam, tiada lagi bentuk jihad hijrah ke Madinah kerana islam sudah tidak terancam. Tetapi asas hijrah masih kekal sebagai kewajipan iaitulah jihad.
Bagi yang belajar usul fiqh, mereka boleh juga memahami nas ini melalui kaedah di bawah tajuk الأمر بعد الحظر (arahan setelah larangan).
MANIFESTASI/ PENGISIAN HIJRAH
Tiga perkara asas yang nabi lakukan sejurus sampai ke Madinah:
1. Membina masjid
Peranan masjid di zaman Rasulullah tidak sama dengan masjid hari ini. Masjid Nabawi bukan sahaja menjadi tempat solat, bahkan menjadi tempat menyampaikan semua ilmu dunia dan akhirat melibatkan ekonomi, kemasyarakatan, politik dan ketenteraan. Masjid Nabawi pernah menjadi mahkamah untuk memutuskan kes dua pihak yang bermasalah. Bahkan nabi pernah menjemput rombongan Kristian dari Najran berbahas tentang ajaran masing-masing di dalam masijd. Apabila tiba waktu ibadat Kristian, Rasulullah membenarkan satu sudut Masjidnya dijadikan tempat menunaikan ibadah rombongan tadi.
Alhamdulillah, walaupun masjid dimandulkan dari peranan asalnya yang teramat luas, kita melihat ulama-ulama mengambil insiatif dengan mendirikan sekolah-sekolah, pondok pengajian, markas tarbiah dan sebagainya bagi menggalas peranan masjid. Tetapi yang menjadi masalah apabila kesedaran masyarakat tentang kepentingan bangunan-bangunan ini seperti pentingnya masjid.
Ramai orang yang ringan tangan memberikan sumbangan untuk masjid dan surau sehinggakan kalau terjumpa wang tercicir juga diserahkan dalam tabung masjid (ini salah!). Tetapi apabila memohon derma untuk pusat pengajian dan markas tarbiah, payah untuk masyarakat memberi.
Sebenarnya peranan institusi-institusi ini adalah jauh lebih besar berbanding masjid pada hari ini. Sekolah dan pondok adalah pusat tarbiah yang melahirkan ulama`-ulama` yang menggalas tugasan para nabi memipin umat islam dalam urusan dunia mahupun akhirat. Merekalah yang akan memakmurkan masjid dan mendirikan masjid dan surau-surau baru.
Markas tarbiah lebih besar peranannya. Ianya adalah tempat bersidang, berkonvensyen, berseminar, bentang kertas kerja dan mengatur strategi mempertahankan islam dari serangan musuh. Banyak aktiviti pelbagai boleh dilakukan dengan markas tarbiah yang lengkap.
Pahala jariah dikira mengikut kadar penggunaan harta wakaf seseorang. Hari ini kita melihat pengguna masjid dan surau boleh dibilang dengan jari. Tetapi permintaan untuk sekolah dan markas tarbiah terlalu penuh saban tahun. Oleh itu, manakah sedekah jariah yang paling baik buat akhiratmu? Pilihlah dengan bijak.
2. Mempersaudarakan antara umat islam.
Nabi terlebih dahulu mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Mereka hidup dalam suasana yang harmoni. Ansar membenarkan Muhajirin tinggal sebumbung sampai ada yang sanggup menceraikan salah seorang isteri untuk diberikan pada Muhajirin. Malah pada peringkat itu harta pusaka boleh diwarisi walau tidak berkongsi darah daging yang sama.
Inilah penghayatan kedua hijrah. Kenang sentiasa kesusahan umat Islam lain samada dalam atau luar negara. Jangan fikir diri kita sahaja. Isu dalam negeri, keselamatan di Selangor amat membimbangkan. Setakat ini sudah dua kes pengawal keselamatan merompak premis jagaannya. Walaupun kita berada di Pantai Timur, tidak bermakna isu itu tidak penting buat kita. Masalah kemiskinan di Malaysia Timur (Sabah Sarawak) perlu dipedulikan jika tidak mahu diceroboh kali kedua.
Isu GST, kenaikan harga gula dan petrol serta isu TPPA mungkin tidak terkesan bagi golongan berada. Namun apakah nasib saudara seislam yang kurang berada?
Isu luar negara, Kegawatan Mesir, Syria dan beberapa negara umat islam lain. Adakah kita peduli?
Oraklah langkah dari sekarang. Bagi yang mampu, sumbanglah wang ringgit. Yang punya kesedaran intelektual, sampaikanlah maklumat kepada masyarakat. Yang tiada mampu, berdoalah sentiasa siang dan malam.
Jika tidak mampu menolong kawan, jangan pula menolong lawan. Sebaliknya lemahkan kekuatan musuh islam. Cara paling praktikal buat masyarakat biasa adalah boikot. Ini senjata yang amat ditakuti musuh. Lihat perbahasannya di sini.
3. Membentuk piagam Madinah.
Rasulullah menjemput seluruh pembesar Madinah termasuk orang Yahudi dan Non-Muslim lain kedalam Suruhanjaya Piagam Madinah bagi memeterai suatu Undang-undang negara yang perlu dipatuh bersama.
Peristiwa ini juga memberi penghayatan ketiga dalam episod hijrah, iaitu penegakan undang-undang islam. Kuasa!
Ingat hijrah, ingat kuasa Islam. Islam agama dan negara. Islam agama dan politik. Inilah sebenarnya maksud ucapan khalifa Umar; Hijrah adalah pemisah hak dan batil.
Kembalikan ruang kuasa islam. Hormatilah peruntukan perlembagaan Malaysia. Agama-agama lain bebas diamalkan walaupun islam agama rasmi. Tetapi kenapa agama islam tidak bebas? Kenapa tidak benarkan undang-undang jenayah islam dikenakan terhadap orang islam? Mengapa tiada hukuman undang-undang kepada umat islam yang tidak mahu membayar zakat dan masih melakukan maksiat riba?
Bahkan undang-undang negara sendiri tidak dihormati. Selain dari demokrasi tempang, doktrin pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman juga tercabul. Eksekutif memecat hakim negara. Eksekutif berbuat keputusan tanpa merujuk wakil rakyat dalam parlimen. Eksekutif songlap wang 12.5 billion, bebas. Rakyat curi dua ringgit kena dua tahun penjara.
Hayatilah maksud-maksud hijrah setepatnya. Demi jihad, ukhuwwah, tarbiah dan kuasa!
SALAM 1435 HIJRAH
SALAM 1435 HIJRAH
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....