Sunday, February 9, 2014

DARI ULAMA KEPADA UMAT (BELASUNGKAWA TUAN GURU MURABBI, DATO' HJ HARUN TAIB)


"Mohon sahabat-sahabat doakan kesihatan kedua-dua ustaz Harun. Khabarnya dua-dua dah sedar." Pesan saya dalam usrah lepasan Maahad Darul Quran (MDQ) keluaran 2007. Kali ini giliran rumah seorang kawan dari Sungai Rengas sebagai penganjur. Kebetulan waktu itu Ust Harun Taib dan Ust Haron Din berada di hospital kerana masalah kesihatan.

Saya ceritakan pada sahabat-sahabat usrah tentang Tuan Guru Ust Harun Taib. Beliau seorang playmaker dalam PAS. Antara usaha yang paling sinonim dengan beliau ialah usrah. Melalui usrah, beliaulah orang yang membangunkan modul pembentukan insan dalam PAS sejak Dewan Pemuda menggagaskan penubuhan Dewan Ulama'. Nama-nama seperti Ustaz Yahya Othman, Ustaz Hasan Syukri, Ustaz Harun Taib, Ustaz Abu Bakar Chik dan Tuan Guru Presiden sendiri adalah pelopor institusi tarbiah dalam PAS. Buku-buku mereka menjadi rujukan hingga sekarang. Beliau juga antara pengasas MDQ dan sehingga sekarang masih menjawat jawatan pengerusi Lembaga Pengarah MDQ. 

Kewujudan usrah kami yang lebih dikenali dengan Usrah Geng Skoop sebenarnya hasil cetusan seorang teman rapat yang kini berada di Yaman. Baginya, perlu ada suatu mekanisme pengikat antara kami setelah setengah dekad meninggalkan Maahad. Tamat pengajian di MDQ, bukan semua kalangan kami memilih untuk menjadi 'orang agama'. Ada yang kini terlibat dalam perniagaan. Ada yang bekerja sendiri dan ada yang masih belajar. Dengan usrah,setidak-tidaknya ilmu yang kami pelajari di Maahad tidak hilang begitu saja.

Alhamdulillah, sejak akhir 2011 ukhuwwah kami kembali bertaut dengan usrah yang diadakan sebulan sekali. Pelaksanaan usrah kami rencam. Rehlah, futsal, bowling, Ifthar, jaulah semua sudah berjaya diadakan. Para isteri yang hanya bertugas di dapur turut mendapat manfaat dari usrah ini. Sekarang ini buku Dr Mustafa Sibaie bertajuk Kajian dan Pengajaran Sirah Nabi menjadi kurikulum.

Selesai berusrah jam 12 malam, terus bertolak ke rumah bersama isteri dan seorang anak kecil Sampai rumah kira-kira 12.15. Dalam keadaan mengantuk saya capai handphone. 

Sejurus membuka peti mesej, saya terpaku kaku. Dunia mula bertukar warna. Berulang kali saya baca mesej yang sama.

"Al-Fatihah, Tuan Guru Ustaz Harun Taib telah meninggal jam 12.02." Kata seorang rakan melalui Whatsapp.

Bagaikan halilintar memukul jiwa, saya tak pernah terfikir beliau akan dipanggil sebegitu cepat. Sebelum ini pun sudah berkali beliau dimasukkan ke wad, tapi pulih semula selepas itu.

Berita yang sukar dipercayai. Selesai saja kami berusrah, Tuan Guru terus dijemput pergi. Kalaulah benar usrah kami itu menjadi asbab kepada nyawanya terus bertahan, tak akan saya hentikan usrah itu selama-lamanya. Namun tuhan lebih mengetahui.

USRAH 

Bercakap mengenai usrah, Tuan Guru arwah adalah seorang yang memang cintakan usrah. Bapa saya salah seorang anak murid tegarnya. Semasa kecil, hampir tiap-tiap minggu kami anak beranak bertandang ke Kubang Lembek semata-mata mengikuti bapa berusrah. Kubang Lembek dah jadi rumah nombor dua kami.

Kali pertama berusrah dengannya, saya bersama kawan-kawan pelajar Syria. Oleh kerana kebanyakan kami bukan dari Terengganu, ramai yang sampai lewat sehingga lebih 1 jam. Bila kami masuk, muka beliau masam.

"Kata pukul 9, ni dah lebih sejam. Nanti saya ada program lain." Katanya dengan nada agak keras. Dengan mukanya yang mencatung, kami rasakan usrah ini pasti bakal berjalan dalam keadaan tidak tenang dan kelam kabut.

Sangkaan kami meleset. Bila mula berusrah, wajahnya mula berubah. Semakin dia berkongsi ilmu, semakin ceria rautnya. Akhirnya dia tak jadi ke programnya, dan terus bersama kami sehingga rapat ke Zohor.

Masih terngiang dalam kepala saat berusrah dengannya kira-kira sebulan lepas. Rupanya itulah pertemuan terakhir kami. Usrah hari itu berjalan seperti biasa. Memandangkan saya bawa mahasiswa yang belum pernah bertemu beliau, kami mulakan dengan sesi taaruf. Beliau mendengar dengan teliti setiap yang bertaaruf. Terlihat keterujaannya apabila bertaaruf dengan mahasiswa dari pantai barat, terutamanya Johor. Dalam keadaan diri yang uzur, kepalanya masih ligat memikirkan ruang untuk melebarkan sayap dakwah.

Semasa mentaaruf dirinya, beliau cukup zuhud. Tidak langsung menceritakan jasa-jasanya, selain menyebut jawatan kerana disyaratkan oleh pengerusi. Dia tampak lebih selesa berkongsi tentang pengajiannya dahulu, mungkin terkenang pengalaman dulu bila melihat anak-anak mahasiswa di hadapan.

Arwah adalah sahabat karib Ayah Chik sejak di bangku sekolah hinggalah ke Madinah dan Mesir. Isterinya, Ustazah Fatimah juga lepasan Mesir. Dia pernah bercerita dulu, kalau tak silap semasa saya di Syria, dia dan Ayah Chik saling berlumba-lumba untuk memiliki kitab-kitab terbaru yang dijual. Pantang ada terbitan baru, dua orang ini akan berusaha untuk mendapatkannya.Mahasiswa dulu tidak seghairah mahasiswa hari ini yang berlumba-lumba memiliki gajet terbaru. Selalu juga mereka berkongsi bahan bacaan, tidak seperti anak muda yang sibuk berkongsi item menerusi bluetooth.

Dalam usrah, beliau mulakan perkongsian mengenai sejarah kebangkitan islam daripada kedatangan nabi. Modul yang nabi guna dalam strategi mendaulatkan islam amat hebat, sehingga berjaya menembusi bumi Afrika sebelum hijrah lagi. Resepinya adalah pembinaan dalaman diri seorang muslim itu. Ia bermula dari rumah al-Arqam bin abi al-Arqam.

Disana mereka meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan islam, siapa Allah, apa tujuan mereka hidup, kemana mereka akan pergi dan sebagainya. Fatrah itu belum ada lagi syariat seperti puasa, zakat, halal haram makanan. Tetapi sahabat cukup menghayati erti islam. Ia terbukti melalui ucapan Jaafar bin Abi Talib ketika menghadap raja Najasyi, pemerintah Habsyah. 

Menurut fiqh harakah, matlamat amal islami mestilah bermula dengan pembentukan individu muslim, diikuti bayt muslim, kemudian mujtama' islami, daulah islamiah hinggalah kepada khilafah islamiah.

SOAL JAWAB

Tuan Guru tidak banyak bersyarah. Dia lebih suka berdialog. Macam-macam soalan kami ajukan. Walaupun kadang-kadang itu soalan berbentuk remeh temeh, tapi beliau jawab juga dengan penuh teliti.

"Macamana kami nak bahagikan masa antara kerja untuk islam dan pelajaran?" Soal seorang mahasiswa.

"Kadang-kadang orang menolak untuk terlibat dalam persatuan sebab mengganggu jadual belajar mereka. Padahal kalau mereka berhenti dari berpersatuan pun, jadual belajar itu tidak bertambah, sebaliknya dihabiskan untuk melancong, berhibur dan bersembang. " Tegurnya.

Saya membilang nama-nama pelajar cemerlang di beberapa kampus yang dikenali. Kebanyakan mereka adalah aktivis persatuan di kampus. Terbaru ialah sahabat saya di UKM, saudara Azan Safar. Walaupun menggalas tugas sebagai Presiden Gamis, pelajarannya tetap tip-top. Takkan kita dah lupa nama-nama seperti Anwar Ibrahim, Hasrizal Jamil, Zaharudin Abdurrahman, Zaharuddin Mohamad, Dr Ridhuan Mohd Nor dan ramai lagi? Mereka aktivis persatuan, mereka jugalah kebanggaan dekan.

Arwah juga salah seorang pelajar cemerlang Universiti al-Azhar. Semasa musim peperiksaan, orang lain sibuk mengulangkaji pelajaran, sedangkan beliau dilihat ulang-alik membimbit fail persatuan. Bila ditanya, beliau jawab, "Saya belajar bukan untuk peperiksaan saja."

"Di al-Azhar dulu, saya biasanya baca dahulu buku mata pelajaran sebelum ke bilik kuliah. 

To be continue.....

Wednesday, February 5, 2014

PRK KAJANG: ANWAR SEDANG MENGGALI KUBUR KARIER PKR

Mengamati suasana politik hari ini melalui manhaj kepimpinan gaya
Rasulullah, membentuk satu pandangan bahawa tindakan PKR
dalam percaturan kerusi Kajang yang dianggap sebagai batu
loncatan ke kerusi MB sebenarnya bakal menguburkan parti itu
dari persada politik tanahair.

Saya juga yakin kepimpinan PAS menyedari hal ini dan saya
rasakan Tuan Guru Presiden bakal mengeluarkan kenyataan
untuk bekerjasama memenangkan Anwar dalam PRK nanti.

Kita tengok peristiwa Perjanjian Hudaibiah, di mana musyrikin
merangka suatu peraturan baru untuk menghalang islam masuk
ke Kota Mekah, dengan syarat-syarat yang jelas berat sebelah.
Semua sahabat akui ianya merugikan islam, tetapi Rasulullah
berpandangan jauh ke depan. Beliau terima juga syarat
perjanjian walaupun ramai sahabat tidak berpuas hati termasuk Saidina
Abu Bakar dan Saidina Ali.

Hasilnya, musyrikin terjerat dengan undang-undang sendiri.
Bertitik tolak dari peristiwa itu, Mekah berjaya ditawan tanpa
mengangkat senjatapun!

Anwar menganggap cara ini mampu melonjakkan dirinya terus
ke kerusi empuk MB. Tanpa dia sedar, tindakan itu bakal
mempalit reaksi negatif penyokong dan pendokong PKR sendiri.
Keadaan bakal bertambah parah. Bisul dalaman makin
membengkak. Anwar sedang meletakkan dirinya bersaing
dengan orang bawahan sendiri yang menjatuhkan kalibernya
sebagai orang paling berpengaruh dalam PKR.

TSKI bakal bertindak di luar jangka, perancangan bersifat rahsia
bakal terbongkar dari mereka yang tidak puas hati dengan
pengunduran TSKI walaupun secara terhormat. Akhirnya, Anwar
hilang bisa, hilang pengaruhnya.

DAP semakin memandang serong tindakan bersifat peribadi ini
yang membelakangi komponen PR lain. Walaupun pemimpin
DAP kelihatan akur, itu hanya mujamalah politik. Hakikatnya
akar umbi parti itu sangat tidak berpuashati dengan tindakan
bodoh meletak jawatan itu. Dalam keghairahan jentera
pembangkang memainkan isu kangkung, PKR pula beri modal
sate kepada musuh. Dalam semangat keharmonian menyambut
tahun baru cina, Anwar menyerabutkan kepala.

Akhirnya rakyat dari jauh memerhati gelagat badut-badut yang
membuat pentas politik seperti pentas sarkas itu. Sekali sekala
menghiburkan, lama kelamaan membosankan. Pentas itu bukan
untuk mereka lagi.

Waktu itu tiada lagi akan bersimpati. Kita hanya perlu
membiarkan mereka hanyut di bawa arus perubahan mood
rakyat. Adakalanya perpecahan mereka adalah yang terbaik
untuk rakyat. Kita hanya perlu thiqah dengan apapun pendirian
Presiden.

Percayalah jika benar Presiden meminta kita bantu PRK ini,
keputusan itu tidak dibuat atas dasar malu alah atau semata-
mata menjaga hubungan dalam PR. Lupakah kita Presiden
adalah seorang yang tegas? Dalam isu kerusi bertindih,
Presiden tekad untuk tidak mengundurkan 3 wakil PAS menjadi
calon termasuk isu Kota Damansara. Hasil ketegasan itu telah
menyebabkan PAS memperoleh kerusi terbanyak di Selangor,
yang memberi kuasa menentukan MB.

Jangan bimbang reaksi DAP. Mereka kenal siapa ikhlas siapa
berpura-pura. Pakatan Rakyat tidak akan tumbang dengan
hanya PKR yang berkubur.

RAHMAT UNTUK SEMUA

KENYATAAN PRESIDEN: KAJANG HANYA PICISAN (BAHAGIAN 2)

Sebelum sempat enjin motor dihidupkan, salah seorang adik ipar Ayah Chik, yang juga bapa saudara saya menyapa.

"Guane, tak tanya ke pasal Kajang?" Soalnya. Baru saya teringat niat asal. Macamana boleh lupa nak tanya pasal Kajang. Silap saya juga terlalu asyik dengan isu lain.

Sepanjang perjalanan pulang, saya mengelamun. Isu Kajang bukan lagi bermain dalam fikiran. Saya lebih memikirkan raut wajah ulama' itu tatkala saya bangun mengundur diri sebentar tadi. Macam benar-benar terkejut. Rasa bersalah sangat-sangat. Mungkin banyak lagi perkongsian di dadanya yang ingin dicurah, tapi tak berkesempatan.

Tapi bila difikirkan balik, saya patut bersyukur dengan apa yang sudah dicerita. Tak apalah tak tahu isu Kajang pun. Mungkin Ayah Chik fikir ada perkara lebih penting untuk dikongsi daripada isu mengarut itu. Jiwa murabbi akan sentiasa fikir apa anak didik perlukan, bukan apa yang dimahukan.

Semalam apabila keluar kenyataan beliau selepas Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, menyerlahkan lagi keizzahan dirinya.

Dalam kalut ahli bawahan membicarakan isu Kajang ke sana ke mari, nampaknya perkara itu langsung tiada kedudukan dalam kotak pemikirannya. Dia lebih memikirkan tentang permasalahan umat antarabangsa. Matlamat utamanya bukan sekadar meletakkan islam berkuasa di Malaysia, tapi lebih jauh dari itu. Batang tubuhnya bukan milik ahli PAS sahaja. Dia milik umat islam sedunia!

Baru saya faham  kenapa dia sentiasa diusung ke sana ke mari. Dalam beberapa bulan ini sahaja, dia sudah ke Iran, Yaman, Britain, Indonesia dan macam-macam lagi. Itu belum lagi dikira delegasi antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia semata-mata mengutip butir-butir mutiara dari bibir insan mulia itu. Dunia terlalu memerlukan pandangan tajamnya.

Beliau antara rujukan Hamas dalam isu pertembungan dengan Fatah di Palestin. FJP juga merujuk kepada beliau semasa kempen pilihanraya di Mesir. Dalam isu kekecohan di Syria, dialah juga panel penasihatnya. Sungguh dunia tidak lagi bersedia untuk kehilangan sosok penting itu.

Kenyataan medianya jelas betapa pandangan politiknya melewati sempadan negara. Selain dari hanya menyentuh isu Kajang secara ringkas, isu kezaliman di Bangladesh yang dimuatkan sekali dalam kenyataan tersebut memberi signal bahawa isu Kajang tidak dapat memesongkan pedulinya terhadap dunia. Jika kedudukan presiden sebuah parti itu setinggi puncak gunung, tempat beliau sudah jauh ke bumbung langit.

Barulah saya faham, kenapa tidak dibangkitkan isu Kajang dalam perbualan kami tempoh hari. Ya, kita sebagai pejuang islam tidak harus terlalu terpengaruh dengan isu-isu semasa berbentuk siasah sehingga terkabur kerja dakwah dan tarbiah. Beliau tidak langsung terperangkap dalam isu-isu yang timbul.

Dalam isu syiah, pandangan beliau agak kontradik, tetapi sangat logik. Amat pelik apabila Amerika mengeluarkan kenyataan syiah adalah kumpulan bahaya. Tapi pemimpin-pemimpin bangsa arab sokong semacam kenyataan itu. Sebelum ini tiada pula kenyataan tegas pasal syiah. Nampak tak mainannya? Saya masih ingat dua tiga hari sebelum kejatuhan Dr. Mursi, Presiden Mesir itu mengeluarkan kenyataan mengutuk Syiah yang terlibat dalam keganasan di Syria dalam ucapannya.

Ketika Sultan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Mesir dari pemerintahan Syiah Fatimiyyah, beliau tidak membersihkan terus fahaman syiah dari Universiti al-Azhar, sebaliknya meluaskan pengajian fiqh dalam semua mazhab muktabar, termasuk mazhab-mazhab syiah sendiri.

Itu baru betul. Hasilnya, dengan dilakukan perbandingan antara pendapat mazhab, masyarakat dengan sendiri boleh membuat keputusan yang waras berkenaan syiah, tanpa perlu berkonfrantasi. Baginya, manusia adalah ciptaan fitrah. Biarkan fitrah suci mereka yang menentukan kebenaran atau kepalsuan. Jangan paksa orang terima keputusan kita, tapi bantu mereka untuk buat keputusan. Selagi al-Quran dan sunnah tidak mengisytiharkan secara jelas siapa sebenarnya musuh, mereka tetap dianggap mad'u. Hebat gaya kepimpinan anak didik Nuruddin al-Zinki itu.

Walaupun gaya kepimpinannya dianggap lunak dengan seteru sampai tahap menangguh peperangan dengan tentera salib sehinggalah Raja Richard benar-benar sembuh, tetapi cara itulah yang menyebabkan tanahnPalestin kembali ke pangkuan islam.

Sebelum kami berpisah, Ayah Chik sempat berpesan supaya merujuk buku 'Shantranjul Alam' (catur dunia), sebuah buku alih bahasa ke arab dari inggeris supaya lebih faham akan percaturan dunia ini. Akan ku tunaikan pesanan ini semampunya insyaAllah. Legasi beliau tetap perlu diteruskan.

Kepada ahli PAS, usah sesekali gusar dengan kenyataan media itu. Percayalah ia bukan dibuat tanpa sebab. Firasat ulama' tak terjangkau dek akalan awam. Jangan tunggu dia tiada baru nak sedari kebenaran tindak-tanduknya.

Kepada ahli PKR, sebagaimana kami kenal pimpinan kami, kenalilah pimpinan anda sedalamnya. Tak kenal maka tak cinta.

Kepada Ayah Chik, saya doakan Allah panjangkan umur Ayah Chik. Dikaulah panglima ummah penerus legasi sultan Salahuddin dalam misi menawan kembali Bumi Palestin.

Aminn...

KENYATAAN PRESIDEN: KAJANG HANYA PICISAN (BAHAGIAN 1)

Jumaat yang lepas, semasa Ayah Chik ada di Terengganu, saya sempat berbual dengan beliau.Pada masa itu saya masih belum memahami pendiriannya berhubung isu Kajang.

Ceritanya bermula apabila saya sedang menulis nota kuliah di atas bangsal tepi pantai, tiba-tiba Ayah Chik datang. Melihat kelibat sosok tegap berjubah kuning berdiri di hadapan, saya bingkas bangun dalam keadaan terkejut.

"Eh Ayah Chik, silakan. Eh, nanti kejap. Kotor ni berpasir. Saya sapu kejap."

"Tak apalah.. Pasir tak kotor." Jawabnya ringkas.

Pantas saya menyambar tangannya untuk dicium tanda hormat. Alangkah bertuahnya saya rasakan kala itu. Bagai bulan jatuh ke riba. Tidak ada perkara lain yang bermain dalam fikiran, melainkan memikirkan inilah peluang terbaik untuk bertanya isu mengenai Kajang.

"Deras air hari ni. Berus (pusaran air) banyak." Kata Ayah Chik memulakan bicara. Dengan penuh khusyuk saya mendengar bualannya seperti penduduk pesisir pantai yang lain. Bercerita mengenai air laut, nelayan, cuaca kapal dan sebagainya. Sekali-sekala saya bertanya ingin tahu.

Usai cerita laut, Ayah Chik buka cerita pula pasal politik antarabangsa. Kali ini lebih bersemangat dari cerita laut. Seolah-olah cerita-cerita laut hanya mukaddimah pembuka bicara.

"Payah sungguh orang-orang arab ni. Nak suruh orang dengar kata mereka saja. Kata kita tak mahu dengar." Antara keluhannya mengenai isu arab spring. Beliaulah antara personaliti utama yang terlibat dalam menangani masalah Timur Tengah secara diplomatik.

Katanya, barat sedang berusaha untuk mewujudkan persempadanan baru antara negara-negara Timur Tengah, berasaskan mazhab i'tiqad. Pertembungan Sunni Syiah antara medium utama yang digunakan mereka dalam merealisasikan usaha terbabit.

"Ustaz-ustaz kita yang tak faham serang habis-habisan Syiah. Digomol semuanya kafir tanpa tapis." Ujarnya kesal.

Saya kira pandangan itu ada betulnya. Kadang-kadang sifat mengutuk fahaman-fahaman syiah terlalu melampau sehingga menutup ruang mujadalah hasanah yang di ajar sunnah. Kita tak nafikan mereka sesat dalam pegangan dan silap dalam ijtihad. Tapi jangan sampai tindakan sesetengah penceramah yang lantang mengutuk sehingga membangkitkan api kebencian melampau antara dua belah pihak, sedangkan di sana terdapat musuh nyata yang tidak sekali-kali redha terhadap kita selagi kita tidak menurut mereka.

Beliau sebenarnya baru pulang dari Iran untuk membincangkan hal ini. Sekarang pimpinan baru mereka, Rouhani dalam keadaan tersepit dalam membawa agenda perubahan di Iran. Dulunya Ahmedinejad bersama Khomeini agak kuat berpegang dengan mazhab Syiah radikal mereka. Ayah Chik gelarkan mereka sebagai kumpulan berlatar belakang pengajian pondok dari Qom. Rouhani yang memenangi pilihanraya presiden baru-baru ini pula bersifat reformis/islahi tetapi pentadbirannya masih dibayangi saki baki pengikut tegar Ahmedinejad.

"Tapi benda-benda ni tak ada tertulis di internet kan.." Tambahnya. Kata-kata ini membuat saya teringat suatu masa dulu, masa dia berikan dua tulisan terbarunya berhubung nasionalis dan fiqh ibadah (kalau tak silap). Dia cadangkan saya publish jadikan buku untuk tambah dana PPMS (Persatuan Pelajar Malaysia Syria). Tapi saya agak cuai dan tak berapa endah cadangan itu. "Mungkin ayat sebentar tadi turut bermaksud cadangan untuk di tulis dalam internet." Getusku didalam hati.

Daripada isu laut, ke isu antarabangsa, turun isu sejarah nusantara, masuk bab fiqh waqi' sikit, balik semula ke sejarah antarabangsa. Saya dapat amati beliau amat suka berkongsi hal sejarah, dan sering mengaitkannya dengan fiqh. Mendengar perkongsiannya tak ubah seperti dalam kuliah subjek Tarikh Tasyri'.

"Orang-orang mengaji Timur Tengah balik tanah melayu, tengok orang buat amalan sembahyang hajat bila masuk rumah baru, terus dituduh bidaah. Dia tak tahu ulama'-ulama' dulu buat macam tu sebab amalan masyarakat sebelum ini buat jampi serapah bila naik rumah baru." Katanya. Saya setuju. Nak ubah masyarakat tak boleh drastik.

"Wali songo pernah ubah cerita wayang kulit jadi islamik. Dulu mainan wayang kulit ni penuh unsur khurafat dan pemujaan. Wayang-wayang tu bergerak tanpa sendiri." Tambahnya lagi. Luas sungguh lautan ilmunya.

Asyik bersembang, tengok jam dah pukul 7 malam! Saya mula kelam kabut. Ikut jadual hari itu saya kuliah maghrib di kampung. Perjalanan sahaja memakan masa setengah jam, sedangkan saya belum bersiap apapun. Nak tak nak, terpaksa minta diri dulu. Kebetulan pula seorang pak cik datang menyapa Ayah Chik. Ketika mereka bertanya khabar, saya mengambil peluang untuk angkat punggung. Ayat mohon izin berundur sudah di susun rapi di hemat.

Ketika saya bangun, Ayah Chik pandang saya semacam. Anak mata tepat memaku gerakku. Saya jadi kaku untuk bersuara minta izin. Macam saya ada buat salah besar. Mungkin sebab dia belum habis bercerita, saya dah potong stim. Rasa bersalah menyelubungi. Akhirnya saya hanya minta izin nak balik sahaja. Alasan-alasan yang  diatur tadi hilang entah kemana.

Saya terus mendapatkan isteri dan anak yang sedang sibuk menolong sanak saudara di atas. Sedang bersiap nak balik, tiba-tiba Ayah Chik melintas. Nampaknya dia lebih dahulu pulang walaupun mulanya saya yang terhegeh kata nak balik awal. Malunya kat ulama'! Masanya begitu berkat. Sedang saya masih lagi belum bertolak.

Belum sempat enjin motor dihidupkan,

To be continue....

Saturday, February 1, 2014

MEMELIHARA HATI

SYLLABUS USRAH IDADIE 2
SIRI V

Hati yang difahami kita, dalam bahasa Arab disebut قلب)) iaitu anggota yang terletak di sebelah kiri dada dan merupakan bahagian terpenting bagi pergerakan darah. Qalaba dalam bahasa arab bermaksud membalikkan, sesuai dengan hati yang sifatnya sentiasa berbolak balik dan berubah-ubah. Kadang-kadang hati itu taat, kadang-kadang hati itu leka.

Hati adalah raja bagi seluruh jasad. Sabda Rasulullah SAW:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ‏.‏ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ ‏
Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia itu ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah seluruh jasadnya, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa ianya adalah hati. [HR Bukhari dan Muslim]



Hati juga adalah tempat jatuh pandangan Allah kerana ia tempat terletaknya niat seseorang untuk beramal. Walaupun amalan seseorang itu menepati semua syarat dan rukun sesuatu ibadah, ia tetap tidak akan mendapat pahala jika hatinya tidak ikhlas kerana Allah semata-mata. Sebaliknya jika seseorang berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan dengan ikhlas, dia akan mendapat pahala walaupun perbuatan itu tidak dilakukannya.

Sunday, December 22, 2013

HUKUM UCAPAN MERRY KRISMAS/ SELAMAT HARI NATAL/ HAPPY HOLIDAY


Putaran waktu semakin menghampiri tarikh 25 Disember. Semakin ramailah bertanya soal keharusan mengucap tahniah sempena perayaan Krismas. Baik golongan berlatar agama, kurang beragama atau langsung tidak beragama, semua bersikap ingin tahu.

Masing-masing punya pandangan sendiri asalkan tidak terpesong dari nas syarak. Ulama yang berhukum haram kerana beralasan ia seolah mengiktiraf agama lain. Hukum sebegini nyata lebih mudah untuk diputuskan. Saya kira ini salah satu pendekatan ulama salaf yang lebih selamat.

Bagi mereka yang bergiat dalam ruang dakwah kontemporari, pandangan sebelum meletakkan hukum perlu lebih meluas. Di samping nas, soal siasah syariyyah dan fiqh waqi' juga harus diambil sebagai timbangan. Mereka harus melihat gaya ulama khalaf menangani permasalah pada zamannya yang lebih berhikmah. Kata ulama:
" Pandangan salaf adalah lebih selamat dan pandangan khalaf adalah lebih berhikmah".



Monday, November 25, 2013

6 CATITAN PEMERHATIAN MUKTAMAR AGUNG PAS Ke-59


1-Trend pemilihan dikalangan perwakilan telah berubah selari dengan perubahan passion calon untuk bertanding. Kempen menjadi faktor penting dalam memastikan kemenangan. Populariti juga menjadi faktor disamping faktor penyandang sesi lepas. Apa yang menarik adalah ahli semakin peka dan ternanti-nantikan penuh debaran siapakah pimpinan baru mereka. Jika dahulu, ahli tak kisah siapa di atas. Dalaman PAS mengalami kemajuan demokrasi disaat dalaman UMNO dan negara sendiri semakin terhakis.

2-Dengan kepimpinan baru ini, yang dilihat agak sengit persaingannya, yang menang tidak banyak majoriti dan yang kalah penuh bermaruah, ahli perlu bersedia untuk patuh dan setia pada kepimpinan mengikut syura ini.

Ada yang menganggap tidak perlu wala' kerana pemilihan meragukan. Mengambil teladan dari peristiwa khilafah Imam Ali bin Abi Talib Karramallahuwajhah, tanggapan tersebut amat perlu dihakis. Saidina Muawiyah dan penduduk islam di Syam juga tidak beri ketaatan pada Saidina Ali kerana menganggap pemilihan tidak sah kerana ada sahabat-sahabat tidak membuat pemilihan sewaktu pengundian jawatan khilafah disebabkan mereka berada di luar Madinah. Akibatnya, zaman Imam Ali menjadi zaman penuh kontroversi dan era gelap dalam khulafa arRasyidin. Perang sesama islam berlaku begitu marak. Kebencian yang tercetus mengakibatkan jemaah islam waktu itu berpecah belah, sehingga mewujudkan beberapa kumpulan baru yang tidak sealiran dengan ahlu sunnah wal jamaah.

Perkara ini sepatutnya menjadi tauladan buat seluruh ahli PAS. Jika benarpun ada yang tidak kena dengan tindakan sebahagian golongan, bahtera ini tetap perlu bergerak kehadapan.

3-Kesilapan dalam pemilihan; Syabas diucap kepada Jawatankuasa pemilihan yang berani mengaku salah dan meminta maaf. Itu menunjukkan kejujuran dan ketelusan. Khusus buat Pengarah JK Pemilihan ini, you are the man bro. Boleh kuat untuk naik umum kali kedua keputusan pemilihan walau dah banyak orang luar kondem. Semoga kesungguhan itu tuhan bayar cash di akhirat nanti.

Tahniah juga buat perwakilan yang tidak mempamerkan aksi baling kerusi atau hempas mikrofon walaupun pemilihan terpaksa dilakukan dua kali. Jumlah hampir 100% pemilih yang keluar memilih menunjukkan wala' dan taat mereka pada ketetapan jemaah.

Namun kesilapan itu juga harus kita kesali. Ia merupakan suatu yang amat sensitif. Kesalahan itu juga kalaupun ianya teknikal, tapi ia major. Kesannya besar. Sepatutnya ia menjadi fokus utama dalam post mortem Panitia Muktamar nanti. Perlu suatu jawapan konkrit dan tindakan 360 darjah untuk meyakinkan ahli dan pemerhati umumnya bahawa kesilapan sebegitu tidak akan berulang lagi.

Sunday, November 3, 2013

RESPON TERAKHIR BUAT YB KS

Terima kasih sekali lagi kepada YB KS atas kesudian membalas tulisan saya dan Imran. Semoga pengorbanan masa dan fikiran untuk sebuah artikel balas itu mendapat balasan setimpalnya dari Allah.

Alhamdulillah, bagi saya tulisan YB KS itu telah jelas menunjukkan titik perbezaan antara kita dan bagi saya, kita telah berjaya tanganinya secara sihat. Saya juga rasakan perkara ini tidak perlu dipanjangkan lagi dan harus diakhiri dengan ukhuwwah.

Sebagai penutup memandangkan YB sendiri menyatakan ia respon terakhir bagi saya, mungkin ada beberapa point sebagai nota untuk YB.

1. Pertembungan idea

Saya berpendapat untuk jawatan timbalan presiden memerlukan seorang pakar politik serta pakar agama. YB pula hanya meletakkan pakar politik sebagai syarat tunggal dan bakinya hanya nilai tambah. OK. Kita berhak untuk berbeza.

Saya melihat demikian kerana PAS adalah sebuah gerakan islam (bukan parti politik semata) berbeza dengan negara lain yang memisahkan secara terpaksa antara gerakan mereka dan parti seperti Ikhwanul Muslimin Mesir yang bertanding atas tiket Freedom and Justice Party. YB pula melihat PAS memainkan peranan secara core bussiness di lapangan politik.

2. Perjanjian hudaibiah

Jika YB bawa fakta bahasa untuk menyangkal hujah saya, maka YB terlebih dahulu perlu melihat lafaz 'man' dihadapan. Man dalam bahasa arab adalah lafaz nakirah yang umum meliputi mufrad,muthanna atau jamak dan muzzakkar atau muannas.

Satu lagi, kebanyakan ayat al-Quran datang dalam lafaz muzakkar. Contohnya ayat:

وأقيموا الصلاة
Dan dirikanlah oleh kamu akan solat.

Bentuk arahan itu menggunakan dhamir muzakkar, apakah itu bererti wanita tidak wajib mendirikan solat?

Contoh ayat lain:
ولا تشرك بالله
Dan janganlah kamu mengsyirikkan Allah

Adakah larangan yang mengguna dhamir muzakkar bermaksud wanita boleh untuj syirikkan Allah?

Saya boleh terima ini sebagai perbezaan pandangan antara ulama', jika YB boleh datangkan sumber pendapat tersebut dan tidak hanya copy gambar pernyataan sebaris yang entah dari mana datangnya.

Ini sahajalah yang saya fikir boleh untuk ditulis sebagai menyahut hasrat YB untuk menghentikan perbahasan kita. Jika dipanjangkan lagi, mungkin akan mempengaruhi perwakilan yang akan menjadi pemilih pada Muktamar nanti. Keduanya, mungkin secara tidak sedar kita akan membuka rahsia-rahsia parti yang sulit terutamanya melibatkan nama-nama individu. Lagipun YB antara kepimpinan utama parti. Bimbang pendapat peribadi disalah ertikan sebagai mewakili parti.

Saya harapkan kita boleh ber'wacana' lagi dalam isu seterusnya tanpa menyentuh aspek senoriti dan jawatan.

Sebelum terlupa, takziah saya ucapkan andai laporan dalam Malaysian Insider berhubung keputusan mahkamah terhadap YB itu benar. Saya doakan YB terus istiqamah memacu PAS dengan panduan al-Quran dan sunnah setepatnya dan menyingkirkan segala panduan yang tidak menepati keduanya.

Terima kasih, Allahu Akbar!

Saturday, November 2, 2013

HIJRAH ; ASAL USUL , TUJUAN DAN MANIFESTASINYA.



ASAL-USUL/ SEJARAH PERMULAAN TAQWIM HIJRI

Mengikut sejarawan, taqwim hijri diasaskan oleh Umar al-Khattab pada tahun 17 hijra; , 6 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ideanya tercetus apabila Saidina Umar menerima surat dari salah seorang gabenornya, Abu Musa al-Asyari RA yang tidak bertarikh, membuatkan beliau sukar untuk mendokumentasikan surat tersebut. Lalu dikumpulkan ahli mesyuaratnya (ahli syura) untuk dicipta suatu tarikh bagi melicinkan pentadbiran (kerajaan Rom sudah mempunyai tarikh surat waktu itu mengikut perhitungan Masihi).

Perkara utama yang dibincang adalah tarikh permulaan kiraan tahun. Cadangan-cadangan yang dilontar adalah dari empat peristiwa iaitu:

1. Dari tahun kelahiran nabi SAW
2. Dari tahun diangkat Rasulullah SAW menjadi Nabi.
3. Dari tahun penghijrahan Rasulullah ke Madinah.
4. Dari tahun kewafatan baginda SAW.

Akhirnya Umar bersetuju dengan cadangan ketiga iaitu bermula tahun penghijrahan Rasulullah SAW kerana baginya, peristiwa hijrah adalah titik permulaan pemisahan hak dan bati

Friday, November 1, 2013

BEBERAPA HUKUM DAN PANDUAN MUSAFIR



1. Azan – Wajib azan jika ingin mendirikan sembahyang di tempat yang tidak ada azan sebelumnya (hutan/ highway).

2. Tidak tahu kiblat/ kiblat sering berubah-ubah (seperti dalam kenderaan) – solat wajib pada waktunya. Solat dibolehkan mengikut kemampuan. Harus solat diatas kerusi kapal terbang walaupun tidak menepati kiblat. Tidak perlu qadha kerana solat itu sah.

3. Tiada air untuk mengambil sembahyang – Solat wajib pada waktunya. Boleh dilewatkan sedikit jika masih dalam usaha mencari air. Jika tiada, bertayamum dengan tanah yang suci. Tidak perlu ulang kecuali apabila berjumpa air semasa masih berada dalam waktu solat menggunakan tayamum tersebut.

4. Jarak musafir yang membolehkan jamak dan qasar – 83KM jarak jalan.

5. Had minimum untuk qasar dan jamak – Sebaik sahaja keluar dari permukiman (kampung).

6. Had maksimum untuk qasar dan jamak – Sebelum masuk kembali ke permukiman (kampung).

7. Musafir lebih dari tiga hari – Harus untuk si musafir mengamalkan keringanan-keringanan syarak walaupun lebih dari tiga hari jika masih belum tentu tempoh musafir.

8. Keringanan syarak dalam musafir ( dengan syarat tidak bermusafir untuk melakukan maksiat)

  • Solat empat rakaat boleh dipendekkan (qasar) kepada dua rakaat
  • Puasa Ramadhan boleh ditinggalkan dan diganti pada hari lain.
  • Menyapu air pada khuf dalam tempoh tiga hari.
  • Menghimpunkan (jamak) dua waktu sembahyang dalam satu waktu iaitu waktu zohor bersama asar, dan Maghrib bersama Isyak.