Thursday, October 24, 2013

KEBERSIHAN DALAM ISLAM (النظافة في الإسلام)

SYLLABUS USRAH IDADIE 1
SIRI V

Islam adalah agama yang lengkap merangkumi segala aspek kehidupan manusia daripada sebesar-besar perkara melibatkan pemerintahan dunia, hinggalah ke sekecil-kecil perkara seperti adab di dalam tandas. Kerana itulah islam perlu difahami sebagai cara hidup (way of life).

Antaranya, Islam sangat mengutamakan soal kebersihan ummatnya, samada kebersihan dalaman atau luaran. Firman Allah taala :


 () يا أيها المدثر () قم فأنذر () وربك فكبر () وثيابك فطهر () والرجز فاهجر

1.Wahai orang yang berselimut (Nabi Muhammad)
2.Bangun, dan berilah peringatan
3.Dan pada tuhanMu, maka perbesarkanlah
4. Dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan.
5. Dan Segala kejahatan, maka hendaklah Engkau jauhi.                                    [Al-Muddatssir : 4-6]

Sabda Nabi S.A.W :

اَلطَّهُوْرُ شَطْرُ الْاِيْمَان       
“Bersuci (kebersihan) adalah sebagian dari iman” [HR. Muslim]



Nabi SAW semasa kecilnya telah dicuci hatinya oleh Malaikat Jibril. Sewaktu peristiwa Isra` dan Mikraj, hati baginda dicuci sekali lagi. Ianya sebagai simbol betapa islam amat mementingkan kebersihan diri dalaman serta luaran.

Saturday, October 19, 2013

FIQH SIASAH SEKULARISME

Semua orang tau, nak belajar fiqh ibadat kena la belek kitab fiqh karangan ulama2 fiqh seperti kitab imam nawawi, imam syafie, imam abi syuja'. Mane boleh paham quran dan hadis ikut sedap akal kita saja. Nanti jadi Muktazilah dan Zohiriah pulak.

Tapi, kenapa bila bicara soal siasah syariyyah, terutama bab pemilihan pemimpin mereka tak belek kitab2 imam al-mawardi,kitab imam haramain, aljuwaini, tapi terus berikan pandangan ikut akal sahaja? 

Soal ulama atau bukan ulama sebagai pemimpin, jgn bersuara dulu sebelum rujuk pd sumber hukum hakam kita. Kalau nak rujuk pun tak mampu, tak menjadi satu dosa kalau kita tidak bersuara dalam hal ni.

Jaga-jaga. Manhaj orientalis sedang menular

Wednesday, October 9, 2013

KHUTBAH HARI RAYA AIDIL ADHA 2013/ 1434 H: ROH TARBIAH DALAM IBADAH HAJI DAN KORBAN.


YANG PERTAMA

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر،

ألله أكبر كبيرا و الحمد الله كثيرا

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام، وفضلنا على كثير من الأمم.

فنحن قوم أعزنا بالإسلام، فإذا ابتغينا الإسلام بغيره أذلنا الله

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ونبيورسوله

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد الأشرف، الرحمة للعالم، الصادق في الكلام،المنقذ من الظلام، سيد السلام، والقائد للدعاة وذي الهمم، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه ألى يوم القيام،

 أما بعد.

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، فتزوده، فإن خير الزاد التقوى.

Wahai hamba-hamba Allah yang dirahmati sekalian! Saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri, supaya bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya diiringi rasa takut kepada Allah di mana jua kita berada.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Alhamdulillah, Allah SWT masih berikan kesempatan kepada kita,untuk sama-sama berada pada hari yang penuh barakah ini. Hari yang Allah SWT syariatkan untuk kita sama-sama bergembira disamping mengenang harga sebuah pengorbanan yang ditunjukkan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu terutama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihima salam.

Tahniah dan syabas kita ucapkan di kejauhan ini pada saudara mara yang diberi kemuliaan oleh Allah SWT untuk melakukan ibadah haji di tanah suci mekah. Sempurnalah bagi mereka rukun islam kelima. Sabda Rasulullah SAW:

من حج لله فلم يرفث ولم يفسق، رجع كيوم ولدته أمه

Barangsiapa yang mengerjakan haji, dalam keadaan dia tidak bercakap keji dan berbuat kesalahan, nescaya dia akan pulang seperti hari dia dilahirkan ibunya. [HR Bukhari dan Muslim]

Semoga Allah juga bakal mengurniakan pada kita keizinan untuk menurut jejak langkah mereka-mereka yang sedang beribadah di tanah suci ketika ini.

Ibadah haji yang mereka tunaikan itu adalah selaras dengan tuntuan Allah SWT menerusi FirmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 196:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ 

Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah.


Allah SWT tidak akan sekali-kali mengsyariatkan sesuatu perkara melainkan disana ada kebaikan untuk manusia baik dunia dan akhirat. Ia termasuklah pengsyariatan haji. Para alim ulama menyatakan antara hikmah perintah haji dilakukan adalah untuk mentarbiah diri umat islam itu sendiri.

Tuesday, October 8, 2013

RESPON KEDUA BUAT YB KHALID SAMAD

Terima kasih tidak terhingga pada YB KS atas respon terhadap pandangan saya. Ternyata YB amat terbuka dalam membincangkan perkara ni walaupun kita saling tidak mengenali.

Pada mulanya apabila saya dapat tahu respon saya tempohari dijawab oleh YB (sini), saya amat bersyukur kerana respon itu tidak dibakulsampahkan. Dan saya tidak berfikir untuk membalasnya sekali lagi. Cukuplah mesej pertama saya didengari oleh YB.

Setelah membaca tulisan tersebut, dirasakan ada maklumat yang perlu untuk dibahaskan. Oleh kerana tulisan ini turut dibaca oleh pelayar maya, ada baiknya untuk saya percambahkan lagi perbincangkan demi manfaat bersama.

1.QIYAS

Terima kasih atas penjelasan beserta contoh yang YB terangkan. Pada mula saya membaca artikel pertama YB, saya cuba untuk tidak memahami maksud qiyas YB dengan cara sedemikian kerana saya fikir tak mungkin ini yang YB maksudkan. Ianya tidak layak bagi seorang yang hebat seperti YB.

Alasan paling mudah, jika sekadar pilih dari sudut keahlian yang YB maksudkan, kenapa sampai perlu dikait dengan pemilihan Khalid al-Walid? Sedangkan ia turut boleh dikaitkan dengan jawatan Gabenor kepada Saidina Ali, jawatan Imam pada Abu Bakar, jawatan panglima perang orang lain. Kenapa Khalid al-Walid yang kontroversi itu menjadi pilihan?

BERPENGETAHUAN TINGGI (مثقف الفكر)

SYLLABUS USRAH IDADIE 3
SIRI V

Islam adalah agama yang amat mementingkan ilmu sehingga mengsyaratkan keilmuan dan kefahaman sebagai asas untuk diterima segala amalan. Bahkan enam rukun iman yang menjadi tonggak kepercayaan umat islam itu juga merupakan ilmu yang wajib ada pada seseorang sebelum bergelar muslim.

Islam juga meletakkan golongan berilmu lebih tinggi dari manusia lain. Firman Allah SWT:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الأَلْبَابِ
 [الزمر:9]
Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.

‏‏يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ‏ ‏
[‏المجادلة‏:‏ 11]
Allah SWT mengangkat mereka yang beriman dan berilmu dikalangan kamu dengan beberapa darjat.

Justeru itu, perlulah bagi seorang muslim itu menyusun manhaj pembelajaran mereka sebaiknya supaya mereka mampu untuk menjadi pejuang agama Allah yang berperanan dan tidak ditipu oleh muslihat musuh.

CABANG ILMU PENGETAHUAN
1. Pengetahuan islam
2. Pengetahuan sejarah
3. Pengetahuan bahasa dan sastera
4. Pengetahuan sains sosial
5. Pengetahuan sains tulen.
6. Pengetahuan isu semasa.



Pengetahuan yang paling penting adalah pengetahuan islam yang merangkumi ilmu tauhid, al-quran, hadis, fiqh, akhlak, dan sebagainya. Itulah asas sandaran bagi segala ilmu pengetahuan yang lain. Namun sebelum memahami pengetahuan ini mereka perlu terlebih dahulu menguasai pengetahuan bahasa terutamanya bahasa arab seperti Nahu, Sorof, Balaghah dan Adab supaya dapat memahami al-Quran, Hadis dan kitab-kitab ulama dahulu dengan baik.

Disamping itu umat islam juga perlu mempelajari ilmu-ilmu moden seperti
1. Pengetahuan sejarah; bertujuan supaya mereka
memahami sebab-sebab kemajuan dan kejatuhan sesebuah bangsa
melihat kebenaran cerita-cerita al-Quran dan janji-janji Allah kepada sesebuah kaum.
Menjadi rujukan penting untuk memahami realiti semasa
Mengambil semangat & mencontohi perjuangan tokoh-tokoh dahulu dalam mempertahankan islam
2. Pengetahuan sains sosial; iaitu berkaitan undang-undang, ekonomi, psikologi, kebudayaan supaya:
Memahami cara berfikir golongan bukan agamawan
Mampu membandingkan sistem ciptaan manusia dengan sistem ciptaan Allah.
3. Pengetahuan sains tulen; melibatkan ilmu kajian tentang hukum alam semulajadi seperti matematik, fizik, kimia, biologi, geografi, ilmu falak dan teknologi supaya para agamawan:
Tidak ketinggalan dengan arus semasa yang boleh menjatuhkan keizzahan.
Menangkis dakwaan kajian-kajian songsang yang menyalahi fakta al-Quran seperti teori Darwin.
Membawa manusia memahami agama dengan fakta sains.
4. Pengetahuan isu semasa antaranya
perkembangan negara umat islam lain
perkembangan musuh islam dunia
perkembangan agama-agama semasa
perkembangan badan-badan politik semasa
perkembangan gerakan islam semasa
perkembangan ideologi moden
perkembangan ajaran-ajaran sesat
perkembangan masyarakat setempat

Sebenarnya mempelajari ilmu pengetahuan moden terutama bahasa inggeris dan ilmu-ilmu diatas adalah dituntut amat dalam islam, sebagaimana dalam satu athar:

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Ilmu kebijaksanaan itu adalah barangan tecicir milik orang islam, maka dimana sahaja mereka jumpainya, mereka lebih berhak mengambilnya. [Riwayat Tirmizi]

Kata Saidina Umar RA:
من تعلم لغة قوم أمن مكرهم
Barang siapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu, maka mereka telah selamat dari muslihatnya

USRAH SEBAGAI MEDAN PENGUMPULAN MAKLUMAT
Untuk memahami kesemua perkara ini adalah agak mustahil bagi seorang manusia biasa, jika sekiranya dia mencarinya sendirian. Oleh itu mereka perlu mengusahakannya secara berkumpulan. Disinilah perlunya kepada usrah di setiap peringkat.

Dengan berusrah, seseorang itu boleh membahagikan tugasan sesama mereka untuk mempelajari bidangan ilmu-ilmu yang pelbagai, lalu dibentangkan dalam usrah tersebut. Cara itu mampu menjimatkan masa seseorang daripada menghabiskan masa yang lama membaca dan mengkaji semua ilmu-ilmu diatas satu persatu sehingga membantutkan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W bersabda :
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةِ أَشْيَاءَ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ. 
[رواه مسلم]
 “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

Sumber:
Thaqafah ad-Daiyah – Dr Yusof al-Qardawi

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH, MAAHAD DARUL QURAN, SESI 2013

Thursday, October 3, 2013

ISU SEBENAR BUKAN ULAMA VS PROFESIONAL?

Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini terutamanya oleh Ust Mokhtar Senik, pertembungan sebenar adalah pro-ulama dengan anti ulama' kerana ada kalangan bukan ulama yang bersama dengan aspirasi agamawan. Sebaliknya wujud juga golongan bertaraf ulama' tidak bersama aspirasi tersebut. Ia bukan golongan ulama vs golongan profesional seperti yang digembar gemburkan selama ini.

Lalu apakah hakikat sebenar pertembungan yang berlaku dalam PAS ini? Kenapakah mereka bertembung?

Untuk memahami hakikat ini, kita perlu membelek kembali lipatan sejarah sedari penubuhan PAS. Penubuhan Parti Islam Semalaysia ( dahulunya Persatuan Islam Se-Tanah Melayu) adalah kesinambungan daripada gerakan-gerakan islam sebelumnya ditanah melayu seperti Sarekat Islam dan Hizbul Muslimin Malaya.

Gerakan-gerakan islam ini pula ditubuhkan bertujuan untuk menggalas peranan khilafah setelah pemerintahan Khilafah Uthmaniah Turki dilemahkan oleh kuasa imperialis barat. Walaupun kuasa politik islam hilang, tugas menjaga kepentingan umat islam seperti pendidikan, dakwah, amar makruf nahi mungkar, jihad, kebajikan dan sebagainya tidak berakhir begitu sahaja.

Ulama' mujaddidin waktu itu berijtihad bahawa untuk mengembalikan semula khilafah islamiah dan membawa gagasannya, tidak dapat tidak perlunya kepada kuasa politik, lalu mewajibkan gerakan islam mendaftarkan diri sebagai sebuah parti, maka tertubuhlah PAS.

Perlu disedari walaupun PAS itu adalah sebuah parti politik, ia bukan semata-mata berpolitik, tetapi hakikatnya sebuah 'gerakan islam' yang turut menggunapakai wasilah selain politik dalam usaha meneruskan kewajipan-kewajipan islam. Orientasi sebenar PAS adalah tarbiah (pendidikan), dakwah, dan siasah (politik).

Konflik awal telah berlaku dikalangan penyokng PAS yang terkeliru dengan nama PAS yang didahului dengan perkataan 'parti'. Tidak sedikit yang memahami perjuangan PAS adalah sekadar terlibat dalam bidang politik. Ramai juga yang beraliran kiri menyertai PAS sebagai proksi untuk menghapuskan aliran liberal bawaan british yang memonopoli kerajaan waktu itu.

Dato' Mustafa Ali, bekas Ketua
Dewan Pemuda Pas tahun 1982

Setelah beberapa dekad, usaha memurnikan pemikiran sebegini telah berhasil. Gagasan kepimpinan ulama' hasil desakan Dewan Pemuda di zaman Dato' Mustafa Ali berjaya memahat wawasan pengasas PAS terdahulu dalam jiwa-jiwa ahli. Zaman itulah kita boleh melihat agenda tarbiah merupakan makanan asasi bagi ahli. Cawangan subur dengan usrah. Masjid dan surau dimakmurkan. Institusi pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hingga sarjana tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ahli-ahli sanggup berjalan melewati kilometer untuk mendengar amanat-amanat tuan guru dan ulama'. Prestasi ukhuwwah, pengorbanan, thiqah dan wala' berada tahap tertinggi yang pernah dicapai.

Aura ini tidak hanya berlaku dalam masyarakat biasa. Ia turut terbias ke universiti dalam dan luar negara. Mahasiswa begitu pro-aktif membawa kesedaran tarbiah walaupun bukan dalam aliran agama. Kegemilangan zaman ini telah melahirkan tokoh-tokoh politik negara yang ada sekarang. Di luar negara, mahasiswa Timur Tengah dan Barat juga tidak terkecuali.

Walaupun kesedaran islam ini begitu pesat, ia tidak dapat lari pertembungan pendapat. Selain daripada ahli PAS, kebanyakan mahasiswa dan pemikir berpendapat politik demokrasi Malaysia bukanlah ruang yang baik untuk islam. Bahkan ramai juga yang berpendapat menyertai politik adalah satu bidaah yang tidak diharuskan agama. Antara kumpulan yang tidak sependapat dengan ijtihad PAS ini diperingkat awalnya adalah ABIM, IRC dan kumpulan ekstremis yang mengamalkan pendekatan muwajahah bilquwwah.

Apabila generasi idealistik ini tamat pengajian dari kampus, mereka membaca suatu hakikat baru apabila menempuh medan masyarakat, iaitu perlunya pengaruh politik dalam menyebarkan idea mereka kepada umum.

Ringkas cerita merekapun membuat permohonan untuk menyertai PAS yang dahulunya dianggap 'musuh ketat' dari sudut fikrah. Kepimpinan PAS begitu mengenali individu-individu yang berada dalam jemaah yang bertembung dengan fahaman PAS ini, tetapi dasar keterbukaan PAS dalam menerima ahli membuatkan kepimpinan meluluskan jua permohonan ahli mereka. Kepimpinan waktu itu bersangka baik bahawa mereka akan mengikut sesi pentarbiahan PAS dari bawah kembali untuk memahami hakikat perjuangan gerakan tersebut.

Namun ia bukanlah seperti yang diharap. Mereka yang sebelum ini telah melalui percambahan fikrah dari anutan sebelumnya cukup payah menundukkan diri menerima konsep yang dibawa PAS. Pada mereka, PAS tidak lain melainkan sebuah parti yang berjuang demi kuasa politik sama seperti parti-parti yang lain. Mereka juga menghantar wakil untuk berada dalan parti-parti politik lain termasuk UMNO, dan terkini PKR.

Lalu perjuangan mereka didalam PAS tidak lain selain memastikan PAS berjaya di persada politik, secara tidak langsung mengepikan aspek tarbiah dan dakwah. Mereka seolah-olah meletakkan kuasa politik sebagai syarat utama sebelum dakwah dan tarbiah. Selagi kuasa belum diperoleh, kerja tarbiah dan dakwah kepada masyarkat tidak menjadi wajib selain kepada ahli mereka sendiri.

Apabila golongan ini berada dalam PAS, mereka sedaya upaya meraih sokongan ahli supaya diangkat menjadi pemimpin parti. Ditambah dengan sikap tawadhu' sesetengah pemimpin dari kalangan agamawan, kerja-kerja pendakian mereka untuk ke kemuncak jawatan bertambah mudah.

Bermulalah zaman malap bagi sebuah gerakan islam induk Malaysia. Tarbiah tidak lagi menjadi agenda wajib cawangan. Dakwah pada rakyat bukan lagi suatu kelaziman. Ceramah-ceramah umum tidak lagi bercakap soal iman, syurga neraka, ayat-ayat Quran hanya sekadar pembuka majlis, sirah-sirah anbiya' sudah dianggap suatu retorik yang membosankan. Core businessnya hanya bercakap soal strategi politik, pendedahan urus tadbir kerajaan, isu-isu semasa dan sewaktu dengannya.

Alhamdulillah, ada yang menyedari perkara ini. Gerakan memperbetulkan kembali allignment perjuangan mula dipergiat. suara-suara mengadu ketandusan tarbiah bergema dalam siri-siri muktamar dan ijtima negeri. Peranan ulama' kembali didamba bagi meniupkan angin kesedaran islam yang hampir menyembah bumi.

Pertembungan agresif tercetus apabila 'orang baru' dalam PAS itu tidak senang dengan kesedaran ini. Maka wujudlah program-program membawa dua fikrah berbeza ini kepada masyarakat terutamanya ahli PAS. Program semakin rancak menjelang pemilihan parti. Ada yang mengimport pemain-pemain luar parti untuk membantu merelevankan gagasan yang dibawa. Taktik kotor dan sabotaj juga terpilih menjadi senjata untuk bertahan dan menyerang.

Untuk kembali pada landasan asal, tarbiah adalah bengkelnya. Hidupkan kembali usrah, liqa fikr, tamrin, nadwah dan sewaktu dengannya. Itulah paksi syakhsiah muslim sejati.

Ada yang menafikan perkara ini. Mereka lihat realiti PAS semakin gagah mendaki ke puncak politik. Sokongan pihak luar semakin bertambah, keahlian berduyun-duyun. Kerusi-kerusi DUN bertambah setiap kali PRU walaupun diakui tarbiah semakin pupus. Bagi mereka tarbiah bukanlah faktor utama kekuatan PAS.

Benar, PAS akan tetap gagah sebagai sebuah parti politik tanah air. Tapi sebagai sebuah gerakan islam, PAS amat tenat. Aspirasi politik semakin utuh, tapi kesedaran Islam semakin luruh. Peranan khalifah yang mati tidak lagi diwarisi. Yang diperjuangkan sekarang hanyalah kuasa, kuasa dan KUASA!

Jika tiada sebarang langkah untuk memandang cermin sisi dan belakang diambil, kemungkinan gerakan islam ini akan terus mati.

Justeru itu memahami susur pertembungan secara adil adalah perlu. Ia bukan melibatkan perbezaan profesion semata-mata. Ia adalah pertembungan fikrah! Antara fikrah sebuah gerakan, dan sebuah parti.

Disebelah pihak memang meletakkan ulama' sebagai pemuka hadapan, disamping tidak melupakan peranan profesional lain dibelakang. Di sebelah pihak yang lain juga melibatkan peranan ulama', tetapi lebih sekadar tempat bertanya apabila berhadapan pihak satu lagi.

Pertembungan ulama profesional hakikatnya tidak wujud. Ia hanyalah satu propaganda untuk memburukkan golongan yang ingin mengembalikan asolah dakwah, seolah-olah mereka ini tamakkan jawatan. Sebelum pemilihan 2011, agamawan dan profesion bekerja secara kolektif di bawah kepimpinan yang satu. Tiada blok profesional yang tidak sebulu dengan ulama'. Pernah ketiga-tiga Naib Pres, bukan dikalangan ulama', tetapi itu tidak menjadi isu kerana yang bukan ulama' bersama membawa aspirasi asal.

Siapa pun boleh jadi driver walaupun tidak tahu jalan, asalkan orang yang tahu membaca peta tidak diingkari. Kadang-kadang skil pemanduannya lebih mantap berbanding pembaca peta. Tetapi jika driver yang dilantik senang-senang mengubah arus panduan peta walaupun ia memiliki skil pemanduan yang hebat, sudah tiba masanya stereng itu bertukar tangan.

Membantutkan perjalanan? Tak mengapalah. Untuk bertukar pemandu memang perlu berhenti sekejap. Itu lebih baik dari tersasar jauh dari destinasi asal.

Tuesday, October 1, 2013

HAPPY BIRTHDAY UMI!

Terlewat post..bukan lupa tapi semput bermasa..


KRONOLOGI:

11/2/13

1pm:

waktu itu umi baru balik dari mesyuarat. Marah-marah sebab umah bersepah. Biasalah tengah letih. Mula melangkah masuk rumah dia tanya menantunya balik ke tidak? sugul muka bila jawapan yang diterima adalah tidak.

2pm:

Tengah layan FB, tiba-tiba terbaca ucapan birthday edi kepada Ummi..Baru tahu hari ini hari jadinya. Rasa bersalah menyelubungi. Hari pentingnya disambut dengan rumah bersepah, anak menantu tiada di rumah, dapur masih tak berasap.

Terus turun ke dapur melihat apa yg berlaku. Masih tak tahu macamana nak memaknakan hari ini. Tengok umi sedang panaskan lauk-pauk yang ada. Kebetulan hari itu bawa balik keropok lekor untuk santapan. Kata umi "Siapa wat balik kuih birthday ummi ni." Sambil menyuap kedalam mulut, dia menyanyi "Happy birthday to me..happy birthday to me.." Rasa nak menitis airmata. Bersalahnya aku. Hari dah melewati separuh usia tapi aku masih belum tahu cara ucap birthdaynya. Adik2 pula bila umi balik hanya tunggu umi ke dapur sediakan makanan. Sepatutnya anak2 la yg layan dia hari ni. tapi alMaklumla, yg perempuan hanya athirah di rumah.

3pm:

ALI AL-ASYMAWI; KISAH SEBUAH KESETIAAN (WALA).

Satu kisah yang diceritakan oleh YDP Kuala Nerus sewaktu belajar di USA dahulu amat menarik untuk dikongsi. Ia mengajar erti ukhuwwah/ persaudaraan, thiqah/ kepercayaan, dan wala`/ kesetiaan. Kisahnya berkenaan dengan salah seorang pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Beliau bernama Ali Asymawi, antara enam orang pengasas gerakan rahsia yang ditangkap pada awalnya atas tuduhan percubaan menghidupkan kembali gerakan Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir. Turut ditangkap bersama beliau adalah al-Shuhada' Syed Qutb, Maryam Jameelah dan Abdul Fattah Ismail.

Asymawi (berdiri) dan Syed Qutb
(depan sekali) sewaktu perbicaraan
Setelah perbicaraan, mereka berenam dihukum penjara selama enam belas tahun. Namun secara tiba-tiba kerajaan Mesir telah membebaskan Ali Asymawi berseorangan enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman.

Dari satu sudut berita itu diterima dengan penuh syukur. Ianya mungkin satu bukti kekuasaan Allah mengatasi keputusan makhlukNya. Tetapi dari sudut yang lain, pembebasan tersebut telah menimbulkan kecurigaan di kalangan kepimpinan IM. Kenapakah kerajaan Mesir boleh membebaskan beliau seorang sedangkan yang lain masih menjalani hukuman? Apakah jasa atau khidmat yang mungkin diberikannya kepada kerajaan Mesir sebagai bayaran pembebasannya?

Andaian demi andaian menjengah kepala ahli Ikhwan lain.
Curious...

Antara percaya atau tidak, akhirnya IM mengambil keputusan untuk meminggirkan beliau daripada jemaah. Satu keputusan yang cukup berat untuk diambil bagi sebuah gerakan Islam. Tetapi itulah hakikat apabila berpegang kepada prinsip agama. Menjaga maslahah jemaah lebih penting dari maslahah individu. Nabi juga pernah meminggir sahabatnya yang enggan keluar ke perang Tabuk.