Thursday, December 15, 2011

ILHAM HUMAIRA; ikatan sebuah istikharah (bab IV)

Bab 4: عسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم
“Syukran Muallim.” Ilham menyambut duit baki pulangan pemandu teksi sebanyak 25LS dengan penuh tertib. Langkahnya diatur menuju Kedutaan Besar Malaysia Syria. Hari ini ada perjumpaan Exco Persatuan Pelajar Malaysia Syria bersama Duta berhubung isu keselamatan Syria. 

Memang bumi ini subur dengan berbagai konflik dan masalah. Kali ini isu pelajar yang diserbu oleh ejen risikan pihak berkuasa Syria. Kebobrokan rejim diktator Basyar Asad yang sanggup melakukan apa saja demi survival politiknya mengundang bahaya kepada pelajar asing di Syria. Polisi ketat yang dikenakan terhadap semua warga asing ke Syria memang menjadi amalan sosialis arab kebanyakan. Ditambah pula dengan kedudukan Syria yang berjiran dengan Negara haram Israel, tidak hairanlah pihak keselamatan Syria menjadi pihak teratas dalam herarki organisasi pentadbir Syria. Manusia manapun jika berjiran dengan perompak besar akan meletakkan keutamaan pada perihal keselamatan. 

Semua tindakan dan keputusan keselamatan tidak boleh dibantah oleh mana-mana Kementerian sekalipun. Ia bertindak bagaikan Majlis Syura cuma bezanya pihak keselamatan boleh berpandangan dan bertindak sekaligus dan Majlis Syura hanya bertindak sebagai badan legislatif yang menentukan dasar serta prinsip semasa dengan tidak mencampuri urusan eksekutif.

Sedang khusyuk mendengar Taklimat dari Dato` Duta, tiba-tiba poket seluar Ilham bergetar. Telefon bimbitnya menerima sekeping mesej dari Humaira, juga seorang exco yang tadinya berada bersama dalam bilik mesyuarat namun keluar tergesa-gesa kira-kira setengah jam selepas taklimat bermula. “Salam ustaz, Ustazah Ning kena tangkap di Imegresen, sekarang di Marjeh”.


“Betul ke apa yang aku baca ni?”Muka Ilham tiba-tiba berubah ton warna. Dadanya berombak deras. Tangannya ketar membelek beberapa kali mesej dari Humaira itu, takut-takut tersilap baca.

Punggung Ilham terasa panas. Bilik berhawa dingin dengan kerusi fabrik lembut itu semakin tidak selesa untuk didiami. Terus dia meminta izin untuk keluar menelefon Humaira untuk mendapatkan kepastian. Ternyata itulah yang terjadi. Ning ditangkap ketika sedang melakukan urusan memohon visa keluar ke Jordan bersama Abang Fakhrul,buahatinya. Apa kesalahan yang mengheret dia ke tahanan masih belum dapat dikenalpasti.

Ilham tiba-tiba panik, tidak tahu apa harus dilakukan. Mujurlah Humaira agak tenang dengan berita tersebut. Dia meminta Ilham menunggu sehingga habis perjumpaan itu untuk memberitahu exco-exco tertinggi akan hal tersebut. Kalut Ilham sedikit reda dengan ketenangan Humaira. Hairan! Sepatutnya lelaki yang bertindak menenangkan wanita yang biasanya cepat panik.

Usai perjumpaan, Ilham meluru ke arah Presiden dan Setiausaha Agung untuk menceritakan berita tergempar ini. SU Agung terus menelefon Abang Fakhrul bagi mendapatkan berita terkini. Ilham memberikan semua nombor telefon keluarga Ning pada PPMS untuk makluman awal kepada mereka. Abang Fakhrul lagi panik. Dia juga nyaris-nyaris ditangkap kerana bertindak terburu-buru menyelamatkan Ning. Tindakan bodohnya melarikan fail rekod Ning di tengah-tengah pejabat Imegresen dilihat oleh seorang pegawai Imegresen. Mujurlah ada seorang lelaki yang mengenali beberapa ‘orang dalam’ di imegresen, akhirnya Abang Fakhrul dibebaskan.

Persolannya, kenapa Ilham begitu terkejut? Bukankah dia sudah melupakan Ning? Bukankah hubungan mereka sudah berkubur hampir suku tahun? Dan persoalan kedua, kenapa Humaira memberitahu Ilham? Kenapa tidak terus memaklumkannya kepada exco tertinggi PPMS?

Persoalan-persoalan ini bermain di benak Ilham. “Kenapa aku yang merisauinya? Bukan ke dah ada orang yang memikirkan tentangnya? Adakah aku masih sayangkannya? Apalah yang sedang dilakukan Ning sekarang. Harap-harap dia tak terseksa.”

Ilham mengambil keputusan untuk menelefon Ning. Alhamdulillah panggilannya dijawab. Ning teresak-esak menangis mengadu kepada Ilham. Hibanya perasaan Ilham saat itu. Ingin saja dia berlari mendapatkan Ning yang sedang diseksa batin dan zahirnya. Apalah yang mampu dilakukan oleh seorang gadis melayu tika berhadapan dengan polis-polis arab yang berkali ganda besar daripadanya. Ilham terus berlakon tenang demi untuk menenangkan Ning. Doa tidak putus-putus dipanjatkan kehadrat Pencipta Mesej-mesej penyuntik semangat agar Ning terus tabah menghadapi ujian hidup ini tanpa jemu dihantar kepada Ning.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....