Monday, December 26, 2011

HAMA; MEMALI SYRIA

2ND PENANG BRIDGE

3 hari berkelana ke Utara Malaysia memang banyak menambah pengalaman di dada kecil ini. Sesampai diri di sana, tanpa disedari mood penulis tiba-tiba berubah. Semangat membela islam dirasakan segar kembali. Padahal tujuan kedatangan hanyalah menziarahi kakak ipar di Bukit Mertajam, Penang. Mungkin kerana disapa bayu dari pusara Syuhada Memali. Entah kenapa hati ni sentiasa mengenangkan tragedi penuh menyayat hati itu. Ingin sahaja penulis berkongsi perasaan ini bersama pembaca.

Menyaksikan tragedi Memali yang berlaku di daerah Baling, ceruk negeri Kedah akhir tahun 1985, dan jika membandingkannya dengan susur galur kebangkitan arab di beberapa buah Negara masa ini, amatlah banyak persamaan yang boleh dikaitkan. Samada di Mesir dengan kejatuhan rejim yang telah menzalimi pejuang Ikhwanul Muslimin berdekad lamanya, ataupun Libya yang menjadi gelaran kepada watak penting peristiwa Memali, ataupun Yaman yang merekod kepatuhan jelata pada kepimpinan Masyaikh, mahupun Syria. Namun, mungkin kerana jiwa penulis yang merasa dekat dengan salah sebuah negara arab sosialis, maka pilihannya untuk membuat perbandingan adalah peristiwa ratahan darah umat islam di sebuah daerah (baca: Muhafazoh) di tengah Syria iaitu Hama.

Hama adalah sebuah daerah yang menghubungkan antara Homs dan Halab, dua buah daerah yang mempunyai kapasiti penduduk terpadat dan termaju selepas Damsyik, ibunegaranya. Ianya terkenal dengan binaan roda air gergasi yang mengairi taman bunga Noria di sebelahnya. Di sana juga merupakan kilang utama yang memproduk sebilangan besar ulama`-ulama` Syam mahupun antarabangsa dari dulu hingga kini. Antara yang terkenal adalah Syeikh Said Hawa, Mustafa Sibaie dan Ali Tantawi. Hama begitu kaya dengan hasil material dan juga rohani.

RODA AIR HAMA, SYRIA 
TAMAN NORIA, HAMA, SYRIA (2008)

Walaubagaimanapun, Hama telah mencatat satu memori hitam dalam kotak sejarahnya. Indah kincir air dengan taman ala-ala eropah Naira disebelah tasik buatan itulah sebenarnya bersemadi jasad manusia yang terkorban kerana memperjuangkan kebenaran.

Titik hitam itu bermula semenjak 1970 lagi. Kebangkitan penduduk Hama yang belatarbelakang Sunni konservatif menentang kebobrokan kerajaan haram Assad menjadi perhatian dunia kala itu. Ramai ulama`-ulama` yang berpencak di masjid-masjid dan dataran orang ramai mengutuk dan mengkritik kerajaan yang giat berusaha memadamkan identiti islam di tanah Syria.

Penentangan demi penentengan yang dilakukan telah menerima reaksi negatif dari penguasa Syria. Seluruh kekuatan militari dihalakan ke Hama. Tangkapan, penyeksaan, buang daerah serta pembunuhan telah dibayar kepada mereka. Dan kemuncaknya berlaku pada Februari 1982, apabila Hama telah dikepung oleh tentera Syria selama 27 hari dan berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai yang begitu tragis sekali. Bedilan kereta perisai dan berbagai senjata api milik tentera Assad telah mengorbankan 40 000 nyawa rakyat biasa, dengan kediaman mereka musnah teruk sekelip mata. Sebagai ganti, rejim Assad telah membina taman khas di atas tapak kezaliman mereka itu.

Kezaliman tidak terhenti setakat itu. Mereka yang mendekam di penjara terus diseksa bagai binatang buas. Tangkapan yang dilakukan semenjak kemunculan Ikhwanul Muslimin tahun 1970 dijadikan karung tinju dan dinding skuasy. Ramai yang telah melarikan diri ke luar Syria. Ada yang mendapat suaka politik di beberapa buah Negara lain, terutamanya benua eropah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kini Hama kembali lagi memimpin angin arab spring di Syria. Ogos 2011 menjadi tarikh pekat dengan merah darah rakyat biasa sekali lagi. Awal Ramadhan 1432 di sambut dengan pembantaian tak berperikemanusiaan rejim Bashar. Sekatan terhadap protes setengah juta penduduk Hama dilakukan dengan hujanan peluru kereta kebal, gas beracun, bom, penembak tepat dan infantri. Hingga hari ini, lebih 5000 orang direkod syahid dalam pertempuran tersebut, majoritinya dari Bandar Hama sendiri. Sehingga ke hari ini kemelut masih belum berakhir.

Jika kita imbas senario yang berlaku, bumi bertuah kita juga pernah terpalit dengan kejadian seumpama ini. Memali, atau lebih segnifikannya Kampung Charok Putih di daerah perkampungan Baling, Kedah menerima nasib yang sama daripada penguasa pengat Malaysia. Seruan jelas menentang amalan kufur tinggalan penjajah era 80an dilayan dengan tragedi berdarah yang menggugurkan 14 orang syuhada`.

DI PUSARA SYUHADA` MEMALI

Mereka dihukum akibat memperjuangkan kebenaran, akibat menyampaikan keindahan islam yang syumul, akibat membenci permainan zionis, akibat menentang dasar zalim amalan pemerintah. Kononnya mereka adalah pemberontak komunis paling dikehendaki. Ironinya komunis ini tidak mempunyai sebarang senjata api, sebarang kelengkapan berperang dan terdiri dari wanita, kanak-kanak dan orang tua yang lebih tulang dari isi. Tudung, serban, jubah nipis yang membalut aurat dituduh menyembunyikan agenda komunis.

Kerana lantang menentang ISA dan tidak mahu menyerah diri, Langit Memali 19 November 1985 menjadi saksi bisu merah daratan dengan cucuran darah segar Syuhada` yang dibedil dengan senjata Polis Diraja Malaysia. 14 pewaris Anbiya` gugur menyahut seruan Ilahi di hujung senjata anjing barat.

Memali, seperti daerah-daerah lain di Kedah terkenal dengan amalan agama yang kuat di kalangan penduduknya. Setiap perkara yang dibawa diteliti sehalusnya mengikut mikroskop islam. Ulama` menjadi pemimpin terlantik yang dipatuhi setiap tutur tintanya. Mereka tidak akan mudah terpedaya dengan keindahan dan tipudaya kebendaaan.

AsSyahid Ibrahim Mahmud a.k.a. Ibrahim Libya a.k.a. Ustaz Man adalah hero dalam peristiwa ini. Kerana beliaulah Kampung tak berdosa ini dikepung. Kerana beliaulah lutut pemerintah khususnya UMNO Kedah terketar-ketar membilang ajal. Disebabkan beliau jugalah nama Memali mekar di bibir pejung-pejuang mutakhir ini yang rindukan syahid sepertinya.

Beliau adalah ulama` amilin. Tugas beliau adalah menyampaikan kebenaran islam. Jasa beliau adalah mendirikan sebuah pusat didikan bernama Madrasah Islahiah Diniyah. Pengorbanan beliau adalah meninggalkan gaji puluhan ribu di kota metropolitan Kuala Lumpur demi anak bangsa Baling. Amal Jamaie beliau adalah dibawah perhubungan PAS Kedah. Dan harga yang beliau bayar adalah nyawa!

Itulah serba sedikit gambaran dua buah daerah dari dua buah negara dua kaum berbeza. Apa yang menyatukan dua cerita ini adalah nasib mereka. Pengamal agama dan pejuang islam dilenyapkan dengan serangan terancang oleh pemerintah dari bangsa sendiri. Tahanan penjara dalam peristiwa tersebut dikenakan seksaan yang sama, malah jika dikira lebih teruk dari yang syahid awal. Disana termasuklah ibu mengandung, anak kecil, remaja belasan, warga emas dan warga OKU.

Malangnya, perjuangan mereka tidak sedikit pun lenyap. Setiap roh yang dijemput ke Syurga diganti dengan 10 lagi jasad baru. Hari ini kita melihat Hama masih berkeras menolak rejim Assad. Hari ini juga kita melihat kebangkitan kepimpinan ulama` yang tidak pernah kalah hampir dua dekad di Baling. Semua itu adalah jasa keringat pejuang terdahulu. Perjuangan mereka semakin membuahkan hasil dengan kerajaan Syria yang semakin tertekan dan kerajaan Malaysia yang semakin terdesak.

Dua kisah ini hanyalah part of the story dalam  log jangka hayat bumi. Semenjak zaman purba lagi telah tercatat nasib golongan zalim yang dihancurkan pemerintahan mereka. Firaun, Namrud, Kaum Ad, Thamud, Hitler, Soviet Union, dan banyak lagi pemerintahan telah menerima balasan mereka. Pemerintahan zalim hari ini juga pasti menerima kehancuran yang telah mereka tempah.

Bermula dengan Tunisia, singgah ke Mesir, hinggap pula di Libya, menyapa Yaman dan kini menuju Syria. Cahaya Muhammad yang dulunya bermula dari Timur Tengah kini kembali lagi menyinari bumi. Nusantara ini juga sedang membooking giliran untuk melihat pewaris Muhammad membawa kembali sinaran tersebut. Tunggulah kau wahai si zalim!

Apa yang penulis pohon hanyalah berharap kepada yang membaca makalah ini untuk membuka mata seluasnya, melakukan perbandingan apa yang berlaku di Malaysia dengan apa yang sedang dan telah berlaku di tempat lain serata bumi ini. Benar sirahnya berbeza dari sudut watak, lokasi dan skrip. Namun, pembawakan, idea, maksud yang terkandung mengulang mesej yang sama. Jangan biarkan kita ditipu dengan media sempit pemerintah semata-mata, sebaliknya bukalah mata seluasnya menilai sendiri kedudukan tanah air kita bersama negara orang lain. Kita tidak akan tahu kita tinggi kecuali setelah melihat orang lain. Kita tidakkan tahu hitamnya kita kecuali setelah berada dikalangan orang putih. Mata sendiri tidak mampu melihat wajah kita melainkan jika kita menghadap cermin. Cari dan beleklah cermin itu sendiri.

Buat pelajar Syria khususnya yang mengetahui di sebalik tabir indah taman Naria di Hama, sepatutnya terlebih perlu mengetahui tragedi Memali dan memainkan peranan membela mereka mengikut kapasiti masing-masing. Jika bukan kita pelajar agama yang mempunyai ikatan tidak langsung dengan Syuhada` Memali yang juga pelajar agama, siapa lagi? Buat apa sibuk mengutuk Assad andai kerabat sendiri malu untuk dibela?

Jihad di negara orang itu Fardhu Kifayah, sedangkan Fardhu Ainnya adalah laman tumpah darah kita sendiri. Syahid bukan hanya dimata pedang, bukan hanya di muncung senapang, bukan hanya di rantai roda kereta perisai, tapi buat sekalian umat islam yang gugur kerana cuba meninggikan agamanya.

No comments:

Post a Comment

Guane gamok? komen skit....