2 bulan yang berlalu dirasakan begitu lambat berdetik. Hari-hari Ilham walaupun mampu meneruskan kehidupan seharian tetap tidak tenang sepert sediakala. Hatinya terus mengenang Ning. Hiba yang berkelumang pada dirinya semakin hari semakin membuak-buak. Kerap juga Ilham cuba menghubungi Ning lantaran tidak mampu menanggung rasa yang amat menyeksa diri itu namun tetap tidak mendapat respon.
Walaupun ramai teman-teman yang menasihati agar diakhiri hubungan tersebut demi menjaga kesucian ilmu, namun ia bukanlah semudah ungkapan. Hubungan yang dianggap cinta pertamanya itu telah Ilham serahkan seluruh jasad untuk mempertahankannya. Belum pernah selama ini Ilham luahkan perasaannya cintanya kepada sesiapapun walaupun hubungan seumpama itu bahkan lebih dahsyat daripada itu telah banyak dijalinkan bersama perempuan-perempuan lain. Baginya, itu adalah cinta monyet semata-mata, berbeza dengan cinta sejati yang dia curahkan pada Ning. Sudah sampainya masanya dia berfikir untuk serius dalam hubungan, dan Ning lah pilihannya.
Silih hari Ilham keluar masuk kafe siber semata-mata untuk online takut-takut Ning online sama. Penantian penuh kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil. Sekuntum senyuman mekar di bibir Ilham tatkala melihat ID Ning berstatus Available dengan ikon kuning smiley pada senarai kenalan Ilham. Seolah-olah program jejak kasih, Ilham terus membuzz Ning beberapa kali dan menegur dengan salam. Pada awalnya tiada respon, namun setelah Ilham menyatakan rasa rindu yang teramat sangat ditambah dengan pohonan maaf atas segala kesilapan lalu, akhirnya Ning respon.
Tatkala itu jugalah degupan jantung Ilham menjadi laju dan pandangannya berpinar bak puting beliung. Ning meminta untuk Ilham tidak lagi menaruh harapan padanya kerana dia sudah punya pengganti dan sedang berbahagia di alam percintaan sekarang. Dalam kekecewaan Ilham bertanyakan kenapa berlaku semua itu. Di mana janji-janji mereka yang dulu, di mana kata bahawa dia tidak akan cari yang lain jika tak mampu mengahwini Ilham. Setiap jawapan yang diterima tidak menunjukkan langsung Ning berpura-pura, ternyata dia memang sedang melayari bahtera kebahagiaan.
“Kanda gembira mendengar Ning bahagia. Memang itu yang kanda harapkan. Kini Kanda sedar Kanda tak mampu beri kebahagiaan yang Ning cita-citakan itu. Tapi Kanda tak kisah siapapun yang buat Ning bahagia. Kanda amat lega mendengar khabaran ini. Jangan bimbang lagi pasal Kanda, kanda ingin tumpukan soal pelajaran dahulu, dan kanda akan terus menunggu Ning hingga akhir hayat ini, kanda tak paksa Ning terima Kanda, tapi kanda tak mampu cari pengganti. Teruskan khabaran bahagia Ning pada Kanda supaya kanda sentiasa tenang. Harap Ning maafkan kesilapan kanda yang dulu dan terimalah kanda kembali walaupun sebagai sahabat biasa. Jagalah hubungan baru Ning dengan sebaiknya. Kanda akan terus mendoakan kebahagiaanmu.” Pandai sungguh Ilham berbohong. Mesej offline ini dihantar sebaik Ning meninggalkan laman chat tersebut.
Tiba-tiba Ilham jadi hilang arah. Dia terus berjalan meninggalkan kafe siber yang penuh memori tragis itu. Dunia dirasakan seolah-olah memulaukan dia. Hiruk pikuk kesibukan kota damsyik langsung tidak melunturkan kesedihan yang ada. Langkahnya sumbang, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan namun dia tetap berjalan tanpa arah tujuan. Hatinya kini sudah tiada. Akalnya tidak mampu lagi berfikir. Yang dia tahu hanyalah menyerah diri pada takdir, andai ajalnya sampai saat itu, mungkin itulah yang terbaik bagi dirinya untuk meloloskan diri dari semua kesengsaraan.
Ungkapan gembira yang dinyatakan pada Ning dek melihat Ning bahagia hanyalah untuk menutup tirai hubungan mereka. Ilham tidak mahu Ning merisaukannya walaupun terpaksa berbohong. Ilham yang memang terkenal dengan senyumannya kini tak mampu lagi berbuat demikian. Wajahnya sugul, peredaran darahnya tak menentu. Bahang panas mentari Julai di Damsyik tidak sedikitpun terasa. Derianya solah-olah tidak berfungsi lagi.
Akhirnya Ilham mengambil keputusan untuk singgah di rumah Pak Natsir di pasar Sarijeh setelah penat berjalan kaki dari Sinaah...
Bersambung ke Bab 3
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....