Bab 6: ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين
Syria memang terkenal dengan tahap pengajian dan level penilaian yang tinggi. Kesungguhan tanpa belah bahagi berserta pengorbanan jitu amat dituntut demi menjamin kejayaan di bumi ini, lebih-lebih lagi di Fatah Islami. Pengamalan sistem Azhar lama yang hanya memperkenalkan satu ujian penilaian sepanjang setahun pengajian amat menguji setiap pelajar di sana. Bayangkan kitab setebal 400 mukasurat perlu dihadam untuk menjawab satu kertas soalan. Ada diantaranya kitab-kitab lama yang begitu ‘tradisional’ gaya bahasanya. Bayangkan pula jika setahun ada hampir 20 matapelajaran. Ini bermakna tempoh peperiksaan memerlukan pelajar menghadam sebanyak 8000 mukasurat. Wau! Novel kesukaan pun belum tentu dapat kita baca jika setebal itu, inikan pula buku bernuansa akademik yang perlu ditelaah sebaiknya dan bukan hanya sekadar membaca seperti gaya membelek akhbar. Sedangkan pelajar arab sendiripun belum tentu dapat melepasi ujian-ujian penilaiannya, inikan pula kudrat melayu yang tidak seberapa.
Dalam kesibukan berhempas pulas mengenal loghat arab untuk memahami syarahan lecturer (tanpa kursus intensif bahasa arab), Tiba-tiba ruang akal yang disediakan untuk mengisi ilmu telah terisi dengan permintaan Taufiq. Kalut dibuatnya. Nak ditelan mati mak, diluah mati bapak. Dia tahu berpasangan itu adalah tuntutan agama, dan menuntut ilmu juga tuntutan agama. Dua-dua sama penting.
Humaira masih belum mengerti maksud hubungan yang ingin dijalin. Padanya, setiap lamaran yang diterima adalah khitbah yang bermaksud perjanjian untuk berkahwin. Dalam masyarakat melayu ianya disebut bertunang walaupun kebanyakan orang meletakkan syarat tunang adalah mengadakan majlis penyarungan cincin. Dan jika dia menerima, Humaira harus mempersiapkan diri mulai saat itu dengan bekalan yang secukupnya untuk menjadi isteri orang.
Taufiq adalah seorang lelaki yang berkalliber, pidatonya memukau audiens, lunak suaranya mengalun wahyu menggamit suasana, kepimpinannya mewarna gagasan PPDQ, juga antara pelajar cemerlang di Darul Quran. Dia rapat dengan keluarga Humaira. Sering juga beliau menghubungi keluarga Humaira dan bertanya khabar semasa berada di Yaman.
Sebagai seorang pelajar agama, proses memetik bunga dilakukan secara penuh beradab. Taufiq meminta untuk menghantar ibubapanya berjumpa dengan keluarga Humaira.
Tatkala membaca mesej tersebut, Humaira tergamam. Gelap seketika dunia. Perasaan Humaira bertukar menjadi takut. Walaupun Taufiq menggunakan bahasa berlapik namun ia tidak mampu membuatkan Humaira tidak terkejut. 30 minit Taufiq terbiar keseorangan menanti respon. Dia tidak tahu apa harus dilakukan. Selama tujuh tahun dididik menyelesaikan masalah dalam PPDQ, belum pernah pengalaman mengajarnya berhadapan dengan situasi seperti ini.
Buat pertama kalinya dia harus meletakkan dua perkara besar diatas neraca pertimbangan. Satunya Pembelajaran yang belum stabil, satu lagi jodoh ikatan. Membayangkan soal pelajaran, dia semakin takut. Sudahlah dari awal kedatangan Humaira bersama rakan sekapal, mereka disambut dengan pelbagai kritikan dan nasihat pedas senior-senior yang tidak bersetuju dengan pilihan mereka.
Senior-senior menyarankan agar mereka melalui terlebih dahulu ke kelas bahasa arab selama setahun sebelum mendaftrkan diri ke peringkat ijazah. Rakan-rakan termasuk Humaira pula hanya mengikut arahan guru-guru di Darul Quran yang meminta untuk terus mendaftarkan diri seawal kaki melangkah persempadanan syam.
Ya, keadaan gamat itu masih belum reda. Mereka seolah-olah dipandang serong oleh senior sehingga ada yang mencetuskan perbalahan dan perang mulut. Di saat inilah mereka-mereka yang tidak sependapat dengan senior harus membina kesatuan demi menguatkan antara satu sama lain. Bukan untuk memusuhi, cuma ingin membuktikan kaki yang masih bertatih di tanah Syam ini mampu mendaki kejayaan setinggi puncak Qasiyun kelak.
Setelah beberapa kali menepuk dada, Humaira akhirnya membalas bicara Taufiq. Berat bagi dirinya untuk menghampakan harapan orang, kerana sejak dari kecil dia dididik oleh seorang ibu yang amat pantang untuk menghampakan hasrat seseorang.
Humaira bukan seorang yang memilih,bukan jua jual mahal dan sombong, tetapi semangat cintakan ilmu yang berkobar-kobar sehingga meniup roh beliau untuk berhijrah ke bumi Syam ini tidak mampu diusik oleh perkara lain, termasuklah soal jodoh.
Mungkin kerana terkejut, Humaira terus memberikan jawapan untuk keputusan besar itu. Dia tidak punya pengalaman menghadapi perkara sebegini. Setidak-tidaknya ia perlu difikirkan beberapa hari sebelum membuat sebarang keputusan, namun itulah Humaira. Dunia ini masih terlalu baru untuk gadis sesuci dirinya.
Dengan penuh sopan, Humaira memberitahu bahawa dia belum bersedia. Terlalu banyak yang perlu dikejar buat masa ini. Ribuan maaf dipanjat kepada Taufiq kerana terpaksa mengecewakan beliau.
Alhamdulillah, selesai satu masalah walaupun dia terpaksa mengecewakan seseorang. Mungkin itulah aulawiyyat yang harus dipilih kala itu. Ia tidak bermaksud menolak terus Taufiq, cuma diminta supaya biarlah Humaira berada dalam keadaan yang lebih bersedia. Bagi Taufiq, harapan itu masih ada.
Taufiq akur. Dia kenal benar siapa Humaira. Ketegasan gadis kecil itu memang menjadi bualan pelajar lelaki sezamannya. Tiada guna Taufiq merayu lagi andai itu muktamad daripada Humaira. Manusia hanya mampu mencuba setelah difikirkan suatu perkara itu terbaik bagi dirinya. Percaturan sebenar hanya terletak pada ketentuan pemilik segala jiwa ini.
Humaira sendiri tidak memiliki hati perasaannya. Pemilik sebenar hati Humaira adalah Allah taala semata-mata. Dia juga pemilik hati Taufiq. Andai dia tidak membenarkan dua hati ini bertaut, tiada kuasa yang mampu membantahnya. Inilah yang difahami oleh Taufiq menjadikannya tenang menerima jawapan Humaira.
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....