Bab 5: أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Deringan telefon yang membingit menyedarkan Ilham. Beliau yang tidak rehat dari pagi tadi tanpa sedar terlena di kelas. Panggilan itu datangnya dari Humaira. Dia memberitahu Ning akan dihantar pulang esok hari. Mata Ilham kembali segar. Lega bercampur sayu kini mendiami sanubari beliau. Sayu mengenang gadis yang pernah bertakhta dihatinya bakal pulang esok hari.
Ning akan dihantar pada jam 3 petang setelah urusan tiketnya diselesaikan oleh Abang Fakhrul sementara dia masih dalam tahanan.
Begitulah nasib rakyat Malaysia jika ditahan, selagi tidak mempunyai tiket pulang, mereka tidak akan dilepaskan. Mereka akan terus ditahan didalam penjara bawah tanah Bab Musolla bersama rakyat asing lain yang turut ditahan kerana pelbagai kes. Ngeri Ilham membayangkan keadaan Penjara tersebut yang dikhabarkan amat kotor, panas dan gelap. Tidur ditemani lopak air, tikus, serangga serta bau busuk yang tidak terperi. Berkongsi pula bilik dengan kaum-kaum lain yang berbagai ragam dan karenah, kebanyakannya daripada Benua Afrika. Macamana ada yang boleh bertahan sehingga berbulan-bulan lamanya meringkuk di sana.
Tanpa disedari Ilham mengadu perasaan hatinya pada Humaira. Humaira hanya mampu mengucap nasihat sabar dan kuatkan semangat. Kira-kira lima minit setelah panggilan dihentikan singgah pula sekeping mesej dari Humaira mempersembah kata-kata yang mengundang ketenangan dan harapan baru kepada Ilham. Tak sangka gadis kecil molek dengan gaya muslimah berhijab itu mampu melemahkan badai yang berhalilintar di lubuk hati Ilham.
“Terima kasih ustazah.” Hanya itu mampu Ilham balas.
Tidak dinafikan lagi Humaira adalah seorang gadis hebat semenjak di bangku persekolahan lagi. Walaupun berlatar belakang pendidikan sekular, Humaira mudah untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan pengajian agama. Di awal tahun ketiga persekelohan beliau sudah menjawat jawatan Exco Persatuan Pelajar Darul Quran sebaris dengan kakak-kakak yang dua kali lebih senior daripadanya.
Memang Darul Quran menekankan aspek pembinaan kepimpinan dalam pentarbiyahannya. Nama Darul Quran bukan bermaksud sebuah institusi yang mencetak para-para Huffaz semata-mata, tapi lebih kepada melahirkan generasi yang celik al-Quran, tahu makna yang dituntut,berakhlak dengan akhlak Quran dan beramal dengan ajaran alQuran secara menyeluruh. Antara yang dipersembahkan alQuran adalah manhaj kepimpinan nabawi (dan itulah yang menjadi aplikasi penting di Darul Quran). PPDQ sebagai sebuah organisasi yang dijawat oleh beberapa pelajar terpilih melalui sistem pilihanraya dijadikan platform untuk mengasah bakat kepimpinan yang ada di samping program-program lain yang dianjur.
Humaira memang sinonim dengan tugas tarbiyah yang menjadi salah satu elemen dalam perjuangan islam selain dakwah dan siasah. Tarbiyah adalah pendidikan dan pembentukan modal insan. Ia menekankan soal penyucian jiwa,pemikiran(fikrah) dan penampilan. Sesiapa yang mendakwa islam wajib menerima tarbiyah. Tanpa tarbiyah manusia pasti hanyut. Untuk melahirkan manusia bertaqwa dan menjalankan semua perintah Allah bukan semudah membaca teori semata-mata. Ia mesti melalui proses pentarbiyahan yang panjang. Tarbiyah seorang muslim itu adalah sepanjang hayatnya.
Tidak hairanlah Humaira mempunyai pekerti dan syahsiah yang tinggi. Tugas mentarbiyah memerlukan dia menjadi contoh terbaik sebagai ikutan. Humaira disegani ramai kenalannya. Sikapnya yang tidak mudah bertolak ansur soal hukum dan penampilan seorang muslimah yang amat dititikberatkan menjadi sebab mengapa orang mudah terpesona dengan dakwahnya dan terkesan dengan tarbiyahnya.
Beliau amat berbeza dengan Ilham yang terlalu nakal ini. 7 tahun zaman persekolahan di Darul Quran dipenuhi dengan lagak penuh ngeri dan buruk Ilham. Bilik disiplin pun jemu melihat muka Ilham yang sering ulang-alik saban tahun. Berbagai hukuman sudah dirasai daripada rotan, botak kepala, hinggalah gantung sekolah namun semua itu bagaikan tidak mengajar apa-apa pada Ilham.
Jiwa muda menguasai dirinya. Berapa ramai Ustaz-ustazah yang mengeluh dengan perangainya hinggakan Ilham pernah di cop sebagai perosak semua rakan sebayanya. Tarbiyah langsung tidak dikenalinya. Baginya semua itu karut belaka.
Entah mengapa Ilham boleh tenang dengan nasihat wanita kecil molek itu. Rasa kehilangan yang menyelubungi diri Ilham sejak sekian lama dibius dengan hanya sepotong ayat dari Humaira. Timbul juga perasaan untuk mencari pengganti kepada Ning dengan seorang yang seperti Humaira, namun itu tak mungkin akan menjadi realiti. Mereka hidup dari 2 planet yang berbeza.
الطيبات للطيبين والطيبون للطيبات,الخبيثات للخبيثين والخبيثون للخبيثات . Inilah firman Allah yang menjadi pegangan Ilham. Beliau hanya layak untuk wanita jalanan. Gadis-gadis bertudung labuh tidak diciptakan Allah untuk dirinya. Beliau juga tidak mahu menodai kesucian hati gadis-gadis yang memegang status ustazah ini dengan tangan kotornya walaupun beliau juga dari Darul Quran. Rasanya alQuran pun malu jika mendapat tahu orang seperti Ilham ada kaitan dengannya.
Tetapi manusia tetap manusia. Tidak terlepas dari ujian Allah sebagai seorang hamba. Humaira juga menerima tarbiyah dari Allah SWT dalam bentuk ujianNya. Rakaman liku hidupnya memang panjang untuk depertayang kembali, cuma ada satu episod yang menarik untuk ditatap,iaitu kisah cinta sesama hamba dalam hidupnya.
Sudah lumrah orang yang kuat berpegang pada agama, soal berpasangan memang cukup anti sebelum sampai masanya. Humaira memang sentiasa menjaga hatinya dari terjerumus ke lembah maksiat. Dia sengaja menyibukkan diri dengan kerja-kerja tarbiyah supaya dia sentiasa dalam lingkungan jagaan islam. Jika tidak syaitan tidak akan membuang masa untuk mengisi kekosongan watu yang Humaira ada dengan perkara-perkara mungkar.
Alhamdulillahlah semua yang itu terjaga sepanjang zaman remaja Humaira di pentas persekolahan. Namun air tidakkan selalu tenang. Ada sahaja ribut yang mendatang menyentak hidupan bumi supaya senantiasa beringat. Langit juga takkan selalu cerah. Pasti ada awan hitam mendepa sirna, semua itu membuktikan kekuasaan Allah bagi hambanya yang berfikir.
Episod suramnya bermula kira-kira selepas empat bulan menebar lembaran hidup di bumi barakah ini. Seperti Ilham, niat suci untuk melakukan kebaikan pasti akan diuji. Itulah prasyarat yang ditetapkan Rabbul Izzati untuk hambanya yang mencita maqam orang beriman. Tanpa ujian, orang itu belum benar-benar beriman.
Buat pertama kali dalam hidunya dia dilamar seorang jejaka. Nass, rakan sekolah Humaira yang sama-sama menamatkan pengajian di Darul Quran pada tahun 2007 telah meminta untuk dipintal ikatan janji bersama. Bagi seorang yang belum pernah menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya, sudah tentu perkara tersebut mengganggu konsentrasi pembelajaran.
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....