Monday, June 9, 2014

KHINZIR DALAM MASYARAKAT (KHUTBAH JUMAAT 13/6/2014 MASJID KAMPUNG BATIN)

KHUTBAH  PERTAMA

الحمد لله الذي لم يتخذ ولدا ولم يكن له شريك في الملك ولم يكم له ولي من الذل وكبره تكبيرا

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له. له الملك وله الحمد وهو قاهر فوق عباده وهو السميع البصير

وأشهد أن محمدا عبده ورسوله هو الإمام المتقين وسيد الدعاة والمجاهدين وهو المبعوث رحمة 
للعالمين

اللهم صل وسلم وبارك على حبيبنا وشفيعنا وقدوتنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه إلى يوم الدين. أما بعد

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، وتزودوا، فإن خير الزاد التقوى.
Wahai hamba-hamba Allah sekalian, saya berpesan pada diri dan sidang jemaah sekalian agar bertaqwa kepada Allah dengan erti kata sebenarnya, iaitu mentaati segala perintah serta menjauhi laranganNya. Kejayaan hanyalah untuk mereka yang beriman.
Allah SWt telah berfirman di dalam kitabNya:

يا أيها الذين آمنوا كلوا من طيبات ما رزقناكم واشكروا لله إن كنتم إياه تعبدون
Wahai sekalian orang yang beriman! Makanlah daripada setiap yang baik, yang telah aku rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu mengabdikan diri hanya padaNya. [alBaqarah:172]

Sidang jumaat sekalian!

Ayat tersebut adalah suatu arahan dari Allah SWT kepada sekalian hambanya yang beriman, bahawa mereka dibenarkan untuk memakan apa sahaja yang ada di dunia ini, yang memberikan kebaikan buat mereka. Dan dengan maksud yang lain, semua yang baik untuk manusia adalah halal di sisi Islam. Ini disokong oleh sebuah lagi Firman Allah SWT dalam surah yang sama pada ayat sebelumnya:

يا أيها الناس كلوا مما في الأرض حلالا طيبا ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari segala yang di dunia ini, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu menjejaki langkah syaitan, sesungguhnya mereka itu adalah musuhmu yang nyata. [al-Baqarah:168]



Sebagai umat Islam, kita wajib beriman bahawa setiap apa yang dihalalkan islam itu adalah baik dan bermanfaat bagi manusia, dan sebaliknya, setiap yang haram itu adalah buruk dan memberi mudarat kepada kehidupan manusia walaupun kajian manusia meramalkan terdapat kebaikan pada yang diharamkan Allah. Pegangan kita dalam isu halal haram adalah seperti yang dinyatakan oleh imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah sejak berkurun dahulu:

Friday, May 30, 2014

SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS ISRAK DAN MIKRAJ (KHUTBAH JUMAAT 30/5/2014 MASJID PULAU KETAM)


YANG PERTAMA

الحمد لله الذي لم يتخذ ولدا ولم يكن له شريك في الملك ولم يكم له ولي من الذل وكبره تكبيرا

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له. له الأسماء الحسنى والصفات العلى

وأشهد أن محمدا عبده ورسوله الرحمة المهداة والسراج المنير

اللهم صل وسلم وبارك على حبيبنا وشفيعنا وقدوتنا وإمامنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه إلى يوم الدين
أما بعد

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، وتزودوا، فإن خير الزاد التقوى.

Wahai hamba-hamba Allah sekalian, saya berpesan pada diri dan sidang jemaah sekalian agar bertaqwa kepada Allah dengan erti kata sebenarnya, iaitu mentaati segala perintah serta menjauhi laranganNya. Kejayaan hanyalah untuk mereka yang beriman.
Allah SWt telah berfirman di dalam kitabNya:

سبحان الذى أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي باركنا حوله لنريه من آياتنا إنه هو السميع البصير [الإسراء:1]
Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya bukti-bukti kekuasaan Kami. Dan dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Sidang jumaat sekalian!

Allah SWT menceritakan kepada kita dalam ayat tersebut suatu kebenaran yang berlaku pada zaman kenabian Muhammad SAW iaitulah peristiwa Israk dan Mikraj. Sesungguhnya kisah Israk dan Mi`raj adalah sebuah kisah yang benar dan sarat dengan pengajaran buat hamba-hambaNya di muka bumi ini.

Kebanyakan sejarawan islam memilih 27 rejab tahun kedua belas kenabian sebagai malam Nabi diisrak dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa kemudian diMikrajkan dari Masjidil Aqsa ke Langit yang ketujuh, seterusnya ke Sidratul Muntaha dan akhirnya berjumpa dengan Allah SWT. Umat islam wajib mempercayai kisah ini dengan sepenuh hati walaupun ramai pemikir-pemikir moden tidak dapat menerima kisah ini yang bertentangan dengan akal mereka yang lemah. Oleh kerana itu, pada 30 Rejab hari ini, marilah sama-sama kita menghayati beberapa noktah dalam peristiwa Israk dan Mikraj baginda.



Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj adalah satu anugerah dan hadiah yang besar buat perjuangan Nabi Muhammad SAW. Ini kerana, sebelum peristiwa tersebut, Nabi mengalami satu ujian yang cukup besar buat fizikal dan mentalnya. Dua orang yang amat dikasihi iaitu isterinya, Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib bin Abdul Mutalib telah diwafatkan oleh Allah SWT pada tahun yang sama.
Hadirin sidang jumaat sekalian!

Tuesday, May 27, 2014

CADBURY; POLITIK ISU untuk menutup ISU POLITIK.

BN sememangnya pakar dalam bidang ini. Mereka kenal mentaliti rakyat Malaysia. Kononnya prihatin, tapi tak sedar sedang dipermain. 

Saya tidak bermaksud menghina sesiapa yang ambil cakna isu Cabbury, tapi inilah pentingnya pendidikan politik kepada masyarakat tidak kira agamawan, intelektual, profesional, mahupun orang biasa.

Kalau anda sedar, kita sekarang sibuk dengan isu Cabbury. Bagus atas keprihatinan itu. Rakyat Malaysia memang sensitif isu agama. Tapi ingatkah kita, sebelum isu ini meletus, ada beberapa isu berlaku:

1) Panda.
2) Bukit Gelugor.
3) Cukai pintu Terengganu.
4) Tariff eletrik.
5) GST.

Ini semua ISU-ISU POLITIK yang perlu diselesaikan. Tapi kita telah disibukkan oleh media dengan iu Cabbury sana-sini. Lalu peduli kita terhadap isu di atas sedikit teralih. Akhirnya yang tersengih puas ialah orang politik juga. Plan mereka berjaya. Inilah yang dinamakan POLITIK ISU.

Tak kiralah samada isu Cabbury ini sengaja direka atau tidak, yang pasti orang politik tidak akan lepaskan peluang untuk memanipulasikannya.

Kadangkala saya malu dengan agensi agama yang ada dalam negara. Kalau bab halal haram dalam makanan, memang bising. Tapi kalau bab halal haram dalam pengurusan negara, macam hukum sewa panda, hukum naik tarif eletrik, hukum cukai pintu, GST macam buat-buat pekak pula. Takkan mereka fikir urusan sebegini terpisah dengan agama? Racun sekularisme masih menular teruk.

Saya pun tak tahu macamana nak ubati 'penyakit' rakyat Malaysia ini. Senang sangat dibeli dengan propaganda. Saya juga mungkin salah seorang yang terpengaruh kalau saya makan Cabbury, mujurlah dah lama saya tak sentuh 'benda' tu sebab boikot jenama yang menyumbang untuk israel.

Kesedaran politik orang kita masih rendah. Kerajaan dengan parti pemerintah pun tak tahu nak beza lagi. Siapa ada cadangan nak selesaikan ini?

Friday, May 23, 2014

KISAH NABI YUSOF DALAM PENJARA MESIR

Ketika Nabi Yusof berada dalam penjara, beliau mendengar cerita dua orang banduan yang turut berada dalam sel yang sama. Dua orang ini menceritakan mimpi aneh yang mereka hadapi. Seorang mimpi sedang perah anggur. Seorang lagi mimpi burung makan roti yang ada atas kepalanya. Mereka cuba bertanya mungkin Nabi Yusof tahu maksud mimpi tersebut.

Nabi Yusof menyatakan, bukan setakat mimpi mereka, bahkan menu yang bakal disajikan pada mereka dalam penjara itu sudah diketahui oleh baginda, sebelum makanan itu dihidangkan lagi. Ini membuatkan mereka tertarik dan kagum dengan kemahiran Nabi Yusof.

Namun Nabi Yusof tidak terus menta'bir mimpi tersebut. Baginda mulakan dulu dengan memperkenalkan Allah dan Islam. Baginda nyatakan, semua kemahiran adalah kurniaan tuhanNya, dan oleh kerana itulah, beliau meninggalkan agama yang karut dan mengikut agama asal Nabi Ibrahim, Ishak dan Yaakub.

Setelah berbicara berkait dengan islam, barulah Nabi Yusof menta'bir mimpi mereka. Bacalah surah Yusof bermula ayat 36 untuk mendalami episod ini.

Moralnya, Nabi Yusof mengajarkan kita seni dakwah yang hebat iaitu menggunakan kemahiran yang ada untuk mengajak orang kenal islam.

Saya percaya masing-masing ada kemahiran dan bakat tersendiri. Ada yang pandai berpidato, pandai menulis, pandai IT, masak, membaiki, bertukang, menyanyi, berlakon, mengajar, meniaga, mengira, mengurus, berceloteh, main bola, badminton dan sebagainya. Dan semestinya ada orang mengagumi kelebihan yang kita ada, terutamanya mereka yang tiada sudut kelebihan yang kita ada.

Walaupun dia hanya mekanik, dia pasti akan dikagumi oleh orang yang memerlukan khidmatnya. Walau dia hanya seorang suri rumah, pasti ada orang yang mengagumi masakannya. Hatta walau dia seorang peniaga, pasti dia ada pengalaman berharga yang tiada pada orang lain. Itulah daya tarikan yang kita ada.

Nabi Yusof ajar kita gunakan daya tarikan itu untuk perkenalkan islam. Kalau boleh sampaikan melalui lisan, itu yang terbaik. Tapi kalau tak mampu nak cerita, kita buat cara lain. Pasang audio kuliah di premis, tampal poster islamik, pakai t-shirt islamik, sediakan papan kenyataan untuk tampal poster program-program sekitar dan sebagainya.

Atau setidaknya, perkenalkan islam melalui personaliti kita. Jujur, amanah, bertolak-ansur, jaga waktu solat, menutup aurat, jaga batas pergaulan dan sebagainya.

Jangan tumpukan sasaran dakwah kita hanya kepada orang dewasa. Kalau kita tak pandai bawa Islam untuk dewasa, pasti ada remaja, budak, kanak-kanak ataupun bayi yang sukakan cara kita.

Jangan tumpukan masyarakat luar sahaja. Dalam rumah kita masih ramai yang belum tahu apa yang kita tahu.

Bila orang puji kita dengan kemahiran yang kita ada, jawablah dengan jawapan Nabi Yusof, "Inilah semua adalah kurniaan Allah padaku." Dan apabila orang kagum dengan personaliti kita, jawablah dengan hati yang ikhlas,

"Inilah yang Islam ajarkan padaku!"

Dakwah tidak semestinya ceramah.
Kredit untuk Nabi Yusof!

PRK TELUK INTAN ANTARA SIASAH, TARBIYYAH DAN DAKWAH

Sejujurnya saya sendiri terkesot hati apabila mendapat berita calon DAP adalah seorang muslimah free hair. Bertambah kecewa bila muslimah itu menolak perlaksanaan hudud. Ramai yang bertanya pada saya hukum mengundi dan berkempen untuk mereka. Saya tak boleh jawab. Fikiran saya dipengaruhi emosi yang kuat. Saya biarkan saja mana tahu ada pimpinan atau agamawan lain tampil mencerahkan kekusutan itu.

Namun soalan semakin bertambah. Rasa bersalah mendiamkan diri semakin menghantui. Akhirnya selepas emosi stabil, saya cuba berfikir dengan ilmu dan kewarasan yang ada, untuk dikongsi kepada yang turut kecewa.

Alhamdulillah, ada yang boleh terima pandangan saya. Dan memang ada yang menolaknya. Saya tidak kisah hal itu. Masing-masing punya cara fikir tersendiri.

Sebagai ahli gerakan, suka saya nyatakan pendirian ini melalui tiga perspektif; SIASAH, DAKWAH DAN TARBIAH. Jaga-jaga, perkongsian kali ini agak panjang.

1.SIASAH
Saya menulis artikel tersebut supaya kita mampu mengurus manusia bekerjasama, fokus untuk meminimakan jumlah seteru Islam. DAP mahupun Gerakan, dua-dua tolak hudud. Tapi adakah kita kuat untuk lawan kedua-dua mereka serentak? Manakah lebih mudah, dua lawan satu atau satu lawan satu?

Wednesday, May 21, 2014

CALON DAP PRK TELUK INTAN

Dua soalan yang sering ditanya di musim ini.

1. Saya pengundi Teluk Intan. Nak undi yang mana ni? Calon DAP yang tak nak sokong hudud atau Gerakan?

2. Saya ahli PAS. Boleh ke berkempen untuk DAP yang menolak hudud?

Jawapan:

Bagi pengundi, anda ada tiga pilihan.
1.UNDI DAP
2.UNDI GERAKAN
3.TAK MENGUNDI

Kalau anda undi DAP, calon dia tolak hudud
Kalau anda undi Gerakan, calon dia tolak hudud
Kalau anda tak mengundi, pemenang akan tolak hudud juga.

Ok. Jadi kesannya sama. Seri. Bermakna dalam hal calon tolak hudud, tidak boleh dijadikan penilaian untuk memilih. Kita perlukan penilaian lain.

Kalau undi DAP, kita boleh melihat bagaimana adilnya mereka menerajui Pulau Pinang. Agama islam tidak ditindas bahkan mendapat keistimewaan yang tidak dapat di zaman pemerintahan BN. Pulau Pinang dinobat kerajaan paling bersih mengikut laporan audit. Kalau undi Gerakan, semua ini tidak akan berlaku.

Lagi, jika undi DAP, mereka sebahagian PR, dan di sana terdapat PAS yang memperjuang hudud. Sedangkan Gerakan yang berada dalam komponen BN, tiada langsung pejuang hudud. PR berpakat dalam resolusi konvensyen 2011 mahu sama-sama mentadbir dengan saling menghormati dasar parti, sedangkan dalam BN, MCA awal lagi mengugut untuk keluar BN andai UMNO menerima hudud.  Mana lebih baik?

Jadi, pilih DAP bukan sebab sokong pendirian mereka, tetapi pilih sebab tidak mahu Gerakan menang. Adakah kita lebih sanggup lihat Gerakan menang? Lalu apa tindakan kita untuk tidak benarkan Gerakan menang?

Al-Quran ada membawa kisah pertembungan antara Rom dan Parsi. Dalam surah Ar-Rum ayat 1-4:

Alif Lam Mim. Rom telah dikalahkan (oleh Parsi). Di sebuah kota yang rendah. Kemudian selepas dari itu mereka pula bakal mengalahkan (Parsi). Ia akan berlaku dalam masa beberapa tahun. Segala urusan adalah milik Allah, sebelum dan sesudahnya. Dan pada kemenangannya itu membuatkan orang beriman bergembira.

Umat islam mengharapkan kemenangan Rom. Bukan menyokong kekufuran mereka, dan bukan menyokong siri penentangan mereka terhadap islam, tetapi kerana mereka agak baik jika dibandingkan dengan Parsi.

Jika perjuangan Islam lebih ringan dengan menghadapi Rom dibandingkan dengan Parsi, Perjuangan PAS pula lebih ringan menghadapi DAP daripada BN.

Bagi pengempen pula, jawapannya tidak jauh berbeza. Kita membantu bukan bermaksud menerima mereka, tetapi bantu mereka untuk menumpaskan musuh yang lebih bahaya. Rasulullah memeterai Sulhul Hudaibiah bagi membolehkan beliau berdakwah ke luar tanah arab dengan lebih mudah, bukan kerana redha terhadap kekufuran musyrikin Quraisy.

Selesaikan satu persatu dahulu. Lepas selesai hadap Gerakan/BN, baru kita fikir macamana nak hadap DAP pula.

Cuma kita perlu jaga batas dalam berkempen. Bagi lelaki, tak perlu bersalaman dengan calon. Tak perlu tampal poster yang mendedahkan auratnya. Tampal logo partinya sahaja. Jaga keselamatan mereka. Kempen rumah ke rumah untuk mereka. Itu tak mengapa.

Terpenting adalah niat. Tanamkan dalam diri, tujuan kita adalah tumbangkan Gerakan. Ini suatu peperangan yang menentukan kelangsungan mereka. Yang bertanding melawan Dyana adalah Presiden Gerakan. Kalau mereka kalah, besar kesannya terhadap BN sekaligus membri keuntungan besar buat perjuangan Islam.

Jangan ada niat lain dari itu jika mahukan pahala. Demi islam.

Thursday, May 15, 2014

YA HANANA UAI

Kalau perasan, program-program selawat untuk mengingati Rasulullah SAW berkembang dengan amat pesat di negara kita. Ia semacam menjadi suatu fenomena dalam industri hiburan, yang menambah pilihan untuk mengisi kekosongan jiwa buat anak muda selain dari mengunjungi konsert-konsert liar.

Alhamdulillah, program sebegini mendapat sokongan dari pihak pemerintah sehingga PM sendiri tidak melepaskan peluang turut ber ya hanana dan berselawat. Sanubari rakyat Malaysia tidak seperti masyarakat negara lain yang terlalu memandang serong terhadap agama.

Kalau anda masih belum tahu, kajian war room sebuah parti politik Malaysia mendapati budaya berselawat besar-besaran ini adalah reaksi kepada sebuah lagi fenomena besar terhadap anak muda, iaitu Ustaz Azhar Idrus. Rata-rata pengkaji tidak menafikan sama sekali aura beliau memberi impak agak besar dalam keputusan PRU-13 baru-baru ini khususnya di saluran muda. Kalau tiada usaha mengekang pengaruh beliau, tak mustahil kita bakal dapat pemerintah baru.

Program selawat benar-benar mampu menarik crowd. Dan alhamdulillah, persaingan sebegini memberi untung untuk umat islam Malaysia. Mahu tidak mahu kerajaan terpaksa menganjur program keagamaan untuk meraih sokongan politik. Kalau dulu, nak hadiri satu ceramah agama terpaksa merentas sungai dan berbagai bentuk permukaan bumi, hari ini boleh pilih mana satu program agama mengikut selera, macam memilih kuih di bazar ramadhan pula.

Walaupun menguntungkan, pencebur dakwah melalui ruang politik tetap perlu berwaspada. Hari ini mungkin belum nampak wajahya, tapi pengalaman lampau sudah terlalu banyak untuk menjadi pengajaran. Tunggulah angin PRU14 bertiup nanti, pasti akan timbul isu pertembungan antara 'Geng Ya Hanana' dan 'Geng Demokrasi' atau apa saja nama yang bakal mereka cipta. Isu adalah oksigen parti pemerintah. Kebimbangan sebegini perlu disimpan awal supaya kita sentiasa teliti untuk mengkritik. Salah kritik, pasti jadi isu.

Kalau di peringkat antarabangsa isu Sunni Syiah jadi agenda musuh,  isu Habib vs Harakis jadi agenda di peringkat nasional menjelang PRU nanti.

Pesan saya, jangan sesekali terlibat jika ada percik api pertembungan. Sentiasa berada di tengah dan jangan seolah cenderung ke mana-mana kelompok. Jika tidak, agama islam pula yang akan menjadi mangsa fitnah.

Sentiasa ingat prinsip pemerintah kita; if u cannot beat them, use them. >:)

ALI, ABU DAN ACHONG

Ali, Abu dan Achong. Tiga peniaga ini berpakat untuk membuka tiga buah gerai sederet milik masing-masing berhampiran sebuah pasaraya. Abu ingin membuka gerai buah, Ali gerai air dan Achong gerai keropok.

Dengan pakatan ini mereka berharap dapat menarik pembeli untuk singgah membeli di 'bazar' mini sederet yang mereka wujudkan itu. Mereka yakin jika masing-masing buka di tempat berasingan, pembeli tidak begitu tertarik untuk singgah kerana kurang pilihan.

Pendek cerita, bermulalah perniagaan mereka. Abu dengan penuh semangat melaung-laung promosi buahnya. Ali juga giat menghias dan mempamer air jualannya sehingga membuat orang tergiur. Achong pun sama-sama menunjukkan semangat menarik pelanggan. Bazar mereka mendapat sambutan amat baik sehingga menjejaskan kunjungan di pusat membeli belah di sebelahnya.

Tetapi Achong tiba-tiba berubah. Dia mula sibuk membantu Ali  menjual airnya. Achong hanya membuka gerainya sahaja tanpa mengemas cantik seperti sebelum ini . Masanya lebih banyak dihabiskan untuk mengempen keenakan air Si Ali.

Perkara ini menyebabkan pembeli sendiri kurang senang apabila datang mengunjungi gerai keropoknya. Asyik-asyik cerita pasal air. Nak beli keropok pun susah sebab tak tahu berapa harga, perisa apa yang ada dan apa kelebihan keropoknya. Pengunjung mulai bosan dan mula mencari tempat lain untuk membeli keropok.

Selepas beberapa bulan Achong terpaksa menutup gerainya kerana tidak lagi dikunjungi. Ia sedikit sebanyak melemahkan tarikan orang kepada dua lagi kedai rakannya. Achong kini hanya menjadi pembantu di gerai Ali

Akhirnya tidak sampai setahun, kesemua kedai mereka terpaksa ditutup setelah pembeli tidak lagi mengerumuni bazar itu. Pilihan yang ditawarkan tidak menepati citarasa pelbagai pihak seperti dulu.

In parallel universe,

PAS, PKR dan DAP adalah sebuah pakatan untuk menarik masyarakat memilih 'bazar' mereka mengatasi bazar lain. Masing-masing punya idea dan daya tarikan tersendiri. Masing-masing juga ada sebab tersendiri dalam berpakat iaitu untuk meningkatkan pendapatan dalam akaun politiknya.

Tetapi amat malang jika PAS mempromosikan rakan lain lebih dari parti mereka sendiri. Ia bukan sahaja merugikan PAS, tetapi turut menjejaskan PR.

Saya tidak mahu ulas panjang. Beleklah sendiri Harakah.

Saya cukup kecewa..

KONSERT LIAR

Patutlah banyak sangat konsert-konsert liar nak diadakan kat Malaysia sekarang. Rupanya Nabi dah sebut lama:

" لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ , يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا , يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ , يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الْأَرْضَ , وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ ".

Ada dikalangan umatku yang akan meminum arak, tetapi menamakannya sebagai bukan arak. Mereka minum sambil melayan muzik dan nyanyian-nyanyian wanita. Allah akan lingkupkan bumi mereka, dan menjadikan mereka sebagai kera dan khinzir.

1. Hari ini banyak terjual minuman mengandungi alkohol lagi mengkhayalkan, dipek seperti air minuman biasa dan dijual di kedai-kedai biasa, walaupun majoritinya penganut beragama islam.

2.Hari ini, ramai orang agama memutar belit pengharaman arak, dengan mengehadkan arak yang diharam hanya yang dibuat dengan anggur. Atau alkohol sedikit tak apa walaupun memabukkan. Tujuannya adalah untuk menghalalkan perbuatan golongan tertentu demi habuan.

3.Hari ini, banyak konsert-konsert yang menghilangkan nilai kemanusiaan dan budaya ketimuran dianjur. Artis wanita dijadikan ikon. Muzik-muzik techno dipasang dengan nada amat kuat sehingga menyebabkan pendengar 'mabuk' di alam fantasi. Ini yang haram. Kalau sekadar muzik dan nyanyian biasa, ia adalah nikmat Allah yang halal di dunia dan akhirat.

4.Hari ini, betapa ramai yang meletakkan martabatnya sebaris dengan kera dan khinzir, iaitu menganggap akal adalah bebanan sehingga memilih arak, dadah, muzik berat dan sebagainya untuk menghilangkan akal. Mulianya manusia adalah kerana akal. Tanpa akal, binatang adalah lebih mulia dari manusia.

5.Hari ini, kita terdedah kepada bala Allah kerana maksiat yang dilakukan sebahagian orang. Sahabat pernah bertanya nabi, adakah orang-orang soleh juga akan menerima bala kecelakaan Allah? Jawab Baginda Ya, jika kerosakan terlalu berleluasa.

6.Hari ini, ramai orang-orang soleh menyibukkan diri dengan majlis-majlis zikir tanpa menjalankan perintah Amar Maaruf Nahi Mungkar dari Allah. Dr Abdul Karim Zaidan menyatakan, apabila berlaku maksiat dan kerosakan, orang soleh yang berada di negeri itu turut terkena bala kecelakaan dari Allah SWT sebagai hukuman, kerana mereka tidak mencegahnya.

7.Hari ini, lepas satu-satu tanda akhir zaman berlaku. Tak insaf-insaf lagi?

ILMU VS PENGALAMAN

Sewaktu sesi kuliah di Masjid Lama Jambu Bongkok semalam, ada orang tanya berkenaan hukum aurat dan ketaatan isteri pada suami dalam iddah. Saya jawab sudah tiada ketaatan! Lalu seorang jemaah menegurnya. Dia mempersoal bukankah si isteri tetap kena jaga makan minum suami selama masih dalam iddah?

Saya tersedar ada yang tak kena dengan penjelasan saya tadi, namun belum mampu menjawabnya secara terperinci. Saya mohon maaf dan izin untuk menjawabnya pada sesi kuliah akan datang.

Selepas sahaja menamatkan kuliah, Allah bukakan hijab akal lalu mengingati kembali FirmanNya yang berbunyi:

وللمطلقات متاع بالمعروف
Dan untuk orang-orang yang dicerai itu diberi nafkah yang sepatutnya.

Allah. Barulah cerah kembali kekusutan tadi. Berdasarkan ayat di atas, apabila ayat si suami wajib menunaikan nafkah pada isteri, bermakna isteri masih berada bawah suami dan ketaatannya masih tidak berubah! Kehidupan mereka tetap sebagai suami isteri yang biasa selagi belum habis iddah. Jika bersetubuh, hukumnya jadi rujuk kembali.

Saya belum sempat nak jelaskan kembali pada jemaah. Tak mengapalah, kuliah seterusnya masih ada. Lagipun ada dua lagi soalan yang saya tangguhkan jawapannya ke kuliah akan datang.

Apa yang menariknya ialah kelebihan ilmu yang dicedok dari pengalaman. Dihadapan saya itu rasanya tiada yang belajar syariah bersistem seperti saya. Tetapi mereka mampu mengesan sesuatu yang tak kena pada penyampaian saya. Ini kerana kehidupan bermasyarakat mereka pernah menghadapi masalah seperti ini. Saya pula walaupun sudah belajar tentang perihal ahwal syakhsiah muslim secara ditil, saya boleh lupa kerana tidak pernah berada dalam masalah dan situasi seperti itu.

Kerana itu jugalah fatwa Imam Abu Hanifah lebih praktikal dalam bab Muamalah kerana dia sendiri seorang peniaga. Pengalamannya mengajar. Fatwa-fatwa Umar ibn Aziz dalam bab percukaian relevan dengan masakini kerana dia sendiri pernah menjadi seorang pemungut cukai (kerajaan).

Ilmu tanpa pengalaman boleh mengundang kesilapan. Imam Nawawi yang banyak mengajar hukum-hakam ibadat sendiri pernah tersilap masuk melalui pintu lain semasa pertama kali mengerjakan Haji, kerana belum berpengalaman.

Tidak hairanlah jika kita melihat ada kalangan ulama' muktabar yang kadang-kadang tidak tepat dalam mengeluarkan satu dua fatwa contohnya dalam isu pemerintahan. Puncanya kerana mereka tidak terlibat dalam selok belok pemerintahan.

Rasanya inilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Aziz apabila ditanya kenapakah beliau masih berkecimpung dalam politik walaupun usianya sudah lanjut. Katanya, penglibatan dalam politiklah yang mematangkan ilmunya.

Kalau baca al-Quran ada disebut orang beriman, orang munafik dan musuh islam ada di setiap zaman. Dengan menyertai politik, kita boleh melihat siapa itu orang beriman, orang munafik dan musuh islam zaman sekarang seperti yang diceritakan tuhan.

اللهم فقهنا في الدين..