Bab 14: اللهم إذا كان هذا الأمر خير لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري فاقدره لي ويسره لي وارضني به
“Terima jelah Hisyam. Habis cerita.” Humaira cuba memberikan jawapan pada dirinya. Tidak dinafikan hatinya masih tertanya apakah jawapan bagi semua belenggu ini. Kerana tidak sanggup lagi menyusahkan diri memikirkannya, jalan pintas diambil dengan membuat keputusan sendiri. Ibunya pula hanya menasihatkan agar membuat keputusan berdasarkan gerak hatinya, bukan kerana kasihan terhadap sesiapa. Semua keputusan terletak ditangannya sendiri.
“Mungkin tiada jodoh aku dan Ilham.” Tambah Humaira. Namun dia masih tidak putus beristikharah dan berdoa saban malam. Sehinggalah pada suatu malam yang bersejarah, semasa sedang beristikharah, satu keajaiban muncul dalam hidupnya, membuat dirinya kembali komited dengan pilihan Allah SWT. Satu anugerah yang Allah kurniakan khusus buatnya, yang tidak terjadi pada kebanyakan orang. Peristiwa yang berjaya merubah keseluruhan perjalanan hidupnya, yang telah memandunya supaya menerima setiap ketentuanNya.
Malam itu Humaira pulang ke rumah dalam keletihan yang amat. Timbunan tugas yang diterima menyebabakan beliau berulang alik ke rumah PPMS hampir setiap hari. Mesyuarat, Liqa` penyelarasan, perjumpaan, program dan bermacam lagi rencah organisasi dikendalikannya pada tempoh tersebut. Almaklumlah, bulan 11 hingga bulan 3 adalah waktu perdana bagi PPMS. Semua petugas tak kira dari presiden hinggalah AJK biasa akan disibukkan dengan rancangan pembentukan, penyelarasan dan penentuan hala tuju tahunan.
Sampainya di rumah, Humaira terus merebahkan diri ke atas katil tanpa menukar sebarang pakaian hatta tudungnya sekalipun belum dicabut. Matanya terkatup rapat dan akalnya terus berhenti. Dalam sekelip mata dia sudah terlelap jauh dalam igauan malam. Masakan tidak, jam telah menunjukkan hampir pukul 1 pagi.
Itulah nikmat sang pejuang. Rasa mengantuk adalah pertolongan Allah kepada hambanya yang ikhlas membela agama islam. Seperti mana yang terekod dalam al-Quran, tuhan campakkan rasa mengantuk kepada para mujahidin Badr semasa pertembungan antara mereka dengan puak musyrikin Quraisy, menyebabkan hilang segala ketakutan, keresahan, dan kebimbangan. Mereka bertukar tenang walaupun bertempur dengan jumlah lawan yang 3 kali ganda dari mereka.
Hingga ke hari ini. Sirah itu berulang dan sentiasa berulang. Betapa ramai orang kaya yang memiliki bermacam kemewahan tidak dapat tidur dengan nenyak walaupun telah beradu dalam istana gergasi. Hati mereka sentiasa gundah gulana dan tidak senang duduk. Berbeza dengan pejuang islam, walau sesibuk dan segetir manapun tentangan yang diterima, apabila tiba waktu tidur mereka begitu lena dalam dengkuran walau hanya beralas lengan sendiri.
Kira-kira tiga jam selepas terlena, Humaira dikejutkan dengan bunyi penggera telefon bimbitnya. Nombor 3.30am terpampang pada jam tangan digitalnya. Rasa letih masih belum hilang, namun waktu untuk melakukan rutin ibadatnya telah tiba. Terasa amat malas untuk bangkit dalam dakapan tilam empuk itu. Bisikan halus pula memujuk supaya diteruskan pelayaran lenanya.
Memikirkan akan dirinya yang masih memerlukan petunjuk dan pimpinan dari tuhannya, digagahkan jua semangat yang hampir mendingin dari sanubarinya untuk bangun meninggalkan tilam berhantu itu. Dengan petua membaca doa bangun tidur yang diamalkan, Alhamdulillah, kelopak matanya membuka sedikit untuk membantu tangannya yang sedang meraba suis lampu bagi menerangi laluannya ke kamar mandi. Tinggal dua lagi petua yang perlu dilaksanakan untuk merungkai 3 ikatan syaitan pada katil tempat beliau tidur semalam.
Dengan terhuyung hayang dia berjalan menuju ke bilik air. Sejuk menusuk hingga ke kepala tatkala kakinya memijak lantai bilik air yang basah. Dia masih perlu memegang tombol paip tembaga yang amat dingin dan menyirami anggota badannya dengan air sejuk separa beku untuk menyempurnakan wudhu`. Itulah petua kedua, dan begitulah cabaran yang terpaksa dihadapinya. Terketar-ketar sendirian menahan sejuk dalam kelam dinihari. Walau nafsu sering memperlekeh tindakan yang menafikan keenakan tidur waktu itu, dia tetap berjuang melawan godaan tersebut hinggalah bilasan terakhir meleleh membasahi hujung jari kaki kirinya. Menggeletarlah sekujur tubuh halus dalam langkahan keluar dari bilik air itu. Sepantas kilat dia berlari mencapai tuala seterusnya berkelubung kemas dengan tuala tersebut. Giginya masih terkancing rapat menggagahkan diri yang sering dibuli nafsu.
Kelam sinar pagi yang hanya bersiram pantulan cahaya bulan tidak langsung memudarkan visinya untuk beristikharah dan bermunajat. Dengan mengenakan pakaian serba putih bak kain kafan, dihamparnya tikar sejadah yang akan menjadi saksi sujudnya di akhirat kelak. Buat ke sekian kalinya dia memasang niat istikharah selepas selesai bertahajud sebanyak dua rakaat.
Pada rakaat kedua istikharah, rasa mengantuk menyerang kembali. Dikuatkan juga alis matanya menahan godaan syaitan yang sedang membuai-buai di kelopak mata. Satu persatu ayat alQuran dibaca penuh tajwid dan tartil. Ruku`, I`tidal dan sujud disempurnakan dalam pertempuran melawan godaan syaitan itu. Semakinn kuat dia beribadat, semakin hebat godaan yang diterimanya.
Tatkala Humaira tunduk merapatkan dahinya ke bumi untuk sujud terakhir, Dia sudah tidak dapat bertahan lagi. Dalam tidak sedar dia tersembam lena. Perkara terakhir yang berada di fikirannya sebelum tertidur adalah doa istikharah, ((اللهم إذا كان هذا الأمر خير لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري فاقدره لي ويسره لي وارضني به...الخ))
“Ya Allah, jika perkara ini baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku, maka takdirkanlah ianya buatku, dan permudahkanlah ianya untukku dan redhailah daku dengannya…”
Belum sempat Humaira menyebut secara jelas apakah perkara yang dihajati itu dalam rangkap doanya, dia sudah berada dalam mimpi. Mimpi dalam sujud istikharah. Petunjuk dalam kebuntuan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, jawapan yang didamba tampil sebelum sempat diminta dalam keadaan yang amat dramatis.
Sujudnya bukan sebarang sujud. Sujudnya mengundang perhatian tuhan. Tidurnya bukan sebarang tidur. Tidurnya dalam ibadah sujud terakhir. Dengan duduknya tunduk penuh kehinaan, mengagungkan kebesaran tuhan Rabbul Jalil, tuhan mendengar segala rintih perihnya. Lalu keluarlah rohnya terbang mendapatkan pangkuan Rabbal Alamin, meninggalkan sekujur jasad yang masih setia di atas tikar sejadah.
Tuhan sentiasa menanti dan mencari hambanya yang bangun pada tengah malam sebegitu untuk dikabulkan setiap permintaan mereka saban malam. Berkelanalah roh tersebut di alam fana hingga merakam plot-plot mimpi bahagia, dan itulah kesaksian tuhan buat seorang hamba bernama Humaira Dafeeqa yang mendamba jawapan hidup.
Potret seorang manusia terlakar di atas kanvas mimpi tersebut. Dengan kemeja petak yang sama seperti di awal istikharahnya dahulu, bayangan lelaki itu muncul kembali. Kali ini Humaira dapat melihat lelaki tersebut dengan jelas dan nyata. Tanpa sangsi lagi orangnya adalah Ilham.
Lima saat selepas imbasan lelaki tersebut muncul, Humaira terjaga dari tidurnya, lalu bingkas bangun memperbetulkan kedudukannya. Dadanya berombak kencang. Matanya terbeliak dalam pekat malam itu. Seakan tidak mempercayai mimpi yang baru dilaluinya itu, Humaira kumat kamit melafaz istighfar. Tidak lama kemudian bergenanglah kembali kolam matanya dengan air jernih, laju mengalir melewati kedua pipinya.
Humaira dihantui perasaan serba salah. Pilihan yang dibuat sebelum ini telah tersilap. Mimpi tersebut membenarkan mesej mimpi lain sebelum ini. Humaira merasa dirinya sudah menipu takdir Ilahi. Selepas meminta petunjuk tuhan untuk memilih buatnya insane terbaik, dia tidak menerima pilihan tersebut. Dia memang pentingkan diri sendiri. Takut untuk percaya pada jawapan istikharah andai tidak bertepatan dengan selera diri.
Air matanya semakin mengalir deras. Dia malu dengan tuhanNya. Mimpi tadi seolah menegurnya untuk kembali ke pangkuan jalan sebenar. Seolah-olah dia melakukan kesilapan terbesar. Dia juga ketakutan. Takut perbuatan sombongnya itu mengundang murka Allah.
Namun dia tetap bersyukur tuhan masih menyayanginya dan memberi peluang untuknya menebus kembali kesalahan yang telah dilakukan. Difokus kembali bayangan mimpi tadi. Wajah Ilham kini menghuni ruangan utama benaknya. Walaupun masih terkejut, dipujuk hatinya untuk menerima Ilham seadanya dan menolak lelaki lain. Dia akan cuba belajar menyelami hikmah ketentuan tuhannya itu kelak. Mungkin dalam liar identiti Ilham itu, terdapat persamaan yang membuat mereka ditakdir bersama.
Humaira sudah tidak fikirkan orang lain lagi. Tumpuannya hanya pada Ilham seorang. Sebarang lamaran dari lelaki lain selepas ini akan ditolaknya mentah-mentah. Namun persoalan yang harus dijawab pula sekarang, bagaimanakah bibit pertemuan yang akan mengorak kisah cinta abadi mereka akan berlaku? Adakah Humaira patut memulakannya? Atau hanya menunggu lamaran Ilham walau cuaca tidak menunjukkan sebarang petanda perkara tersebut akan berlaku?
Bab 15: قم دولة الإسلام فى نفسك تقم على أرضك
Seperti biasa sesudah solat subuh dan mambaca ma`thurat, Ilham akan duduk di meja study menghafal al-Quran yang menjadi sukatan pelajarannya saban tahun. Hafalan tiga juzu` setengah yang dituntut oleh pentadbiran Mujamma` memerlukan beliau menghafal bermula seawal tamat imtihan tahunan.
Usai mengulang 3 ayat panjang dari surah Taubah beberapa kali, Ilham menutup lembaran mushafnya lantas menuju ke dapur untuk kudapan pagi. Dia seorang yang perlu sarapan awal tidak seperti papanya yang tak makan pagi sehingga jam 11. Pagi ini jadualnya terisi dengan tugasan Biro Penerangan. Biasanya waktu pagi diperuntukkan untuk mengulang kaji pelajaran atau membelek kitab-kitab ilmiah, namun hari ini adat tersebut bertukar. Ada perkara mustahak yang perlu disegerakan. Ilham tiada masalah untuk melanggar jadual belajarnya jika bertembung dengan kerja persatuan yang penting kerana mengamalkan prinsip ‘Jemaah no. 1, tapi pelajaran bukan no. 2’.
Ilham perlu mengupdate friend list akaun yahoo messenger ppms_info, satu emel yang dicipta sebagai perantaraan menyebar sebarang maklumat atau aktiviti PPMS dengan cepat dan mudah. Senarai ahli yang baru diterimanya malam tadi dari Jabatan Setiausaha adalah tersangat lewat dari tarikh sepatutnya meyebabkan dia harus bergegas menyelesaikannya pagi ini juga. Ilham perlu menambah kenalan dalam akaun ppms info dengan memasukkan nama-nama tersebut. Nama akhawat sudah siap diasingkan dan diberikan pada AJK mereka untuk tujuan yang sama bagi memudahkan lagi proses disamping menjaga maklumat peribadi mereka. Itulah disiplin yang diajar PPMS.
Selesai menikmati kopi latte yang dibancuhnya bersama sekeping roti croissant, beliau terus melangkah keluar meninggalkan kediamannya menuju ke kafe siber Space Net. Dengan khusyuk beliau memulakan amal jamaienya demi mengharap pahala semata-mata. Dalam waktu yang sama, beliau menyebarkan sebuah iklan kepada ahli juga melalui yahoo messenger tentang sebuah program yang akan dianjurkan dalam masa terdekat. Seperti biasa, beliau akan menerima respon iklan tersebut daripada ahli-ahli. Ada yang mengucap terima kasih, syukran dan seumpamanya tidak kurang juga yang mohon penjelasan tentang maklumat program. Semua itu dilayaninya penuh sabar dan tenang.
Ralitnya berlagak seperti seorang operator khidmat pelanggan tidak bertahan lama. Dia dikejutkan dengan mesej seorang insan. Siapa lagi kalau bukan Humaira, orang yang senantiasa membawa kejutan dalam hidupnya. Ironi mesejnya tidak mengandungi sebarang perkataan aneh pun, hanya ucapan syukran seperti sahabat-sahabat ahli yang lain. Namun ia tetap mengundang debaran di hati Ilham.
Itulah pertama kali Ilham menerima mesej daripadanya melalui ym. Walaupun mesej tersebut bukan ditujukan khusus untuknya, dia tetap teruja. Ingin sekali dia berbicara dengannya saat itu seolah sang kekasih yang lama tidak berhubungan dengan pasangannya.
Akhirnya dia tewas dengan perasaan sendiri. Mesej tersebut dibalas dengan sepotong ayat: “Sama-sama. Belajar baik-baik ya pagi ni.”
Ilham tahu hari ini Humaira akan mengikuti kelas tambahan kendalian Zaki di PPMS. Humaira sedikit kehairanan dengan mesej yang diterimanya dari ppms_info itu. Seolah-olah ada mata yang memerhatikannya berjalan menuju rumah PPMS. Tentunya perasaan bimbang akan hadir kerana jam 7 pagi Damsyik masih lagi sunyi dari sebarang suara. Aktiviti masyarakat di sana kebanyakannya bermula pada kira-kira jam 10 pagi. Bimbang dirinya diekori dalam kesunyian melewati lorong pejalan kaki itu. Tiada siapa di situ yang boleh diminta tolong andai berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Setelah menyelidik, barulah dia mengetahui itu adalah Ilham. Lega hati Humaira, bebaslah dia dari kebimbangan tadi. Geram juga dia pada Ilham kerana mempermainkannya sebegitu. Dia ingatkan sepupunya Wana yang menggunakan emel ppms_info. Mujur dia tidak bercerita gosip dengan Ilham.
Tidak terhenti setakat itu, kira-kira 15 minit setelah mereka berhenti berinteraksi, Ilham sekali lagi menghantar mesej meminta izin untuk menambah emel Humaira kepada senarai kenalan emelnya. Humaira yang sedikit terkejut dengan reaksi pelik Ilham itu hanya bersetuju dengan syaratnya “jangan buat nakal-nakal sudahlah”.
Ilham tersenyum puas dengan penerimaan tersebut. Dalam tak diatur, dia sudah mengorak langkah pertama!
Selesai tugasannya, dia pulang kembali ke rumah. Tubuhnya yang agak lenguh membongkok mengadap komputer tadi terasa ingin sekali berqaulilulah seketika mengikut jejak Rasulullah. Perkara itu sudah menjadi amalannya sebelum ke majlis talaqqi seterusnya ke Mujamma`. Jika dia meningalkan qailulah, pasti dia akan keletihan pada petang harinya.
Petang itu dia ke kelas seperti biasa. Sekali lagi Zaki mendahuluinya dan kali ini lecturer telah pun memulakan pengajian. Ilham bergegas mencari kerusi kosong lalu duduk sambil mencapai buku dari beg sandangnya secepat mungkin, bimbang terlepas sebarang point penting dari syarahan lecturernya.
Selepas tamatnya matapelajaran pertama itu, Zaki terus berlari mendapatkan Ilham untuk memberitahu satu berita gembira. Ilham menyangka zaki sudah mengetahui akan peristiwa mengadd emel Humaira awal pagi tadi.
“Tahniah bro, kau bakal jadi milik orang lagi.” Ucap Zaki spontan. “Mana kau tahu ni? Takkan Humaira bagitahu kot.” Ilham pula membalas kehairanan.
“Mana ada, spy aku lah bagitahu. Dia dah tanya sendiri Humaira. Setakat ni memang dia belum terima sesiapa.” Zaki membalas. Sangkaan Ilham meleset. Rupanya Zaki bukan ingin memberitahu fasal peristiwa pagi tadi sebaliknya berkenaan janji lama mereka.
“Tapi macam yang kau tahu lah kan. Sekarang ni Hisyam tengah usha-usha dia. Silap-silap hari bulan memang melepas lah kau. Sekarang ni kau kena kotakan janji hari tu.” Tambah Zaki. Janji bahawa Ilham akan mengtaqdim Humaira jika gadis itu masih solo.
Tidak dapat digambarkan bagaimana gembira hati Ilham tatkala menerima pengkhabaran tersebut. Secara automatic ada senyuman lebar terukir di bibirnya. Semakin jelaslah rahsia hatinya di hadapan Zaki. Mulut tak mampu lagi melindung perasaannya. Memang dia sukakan Humaira. Dia akui hidupnya tenang bila teringatkan gadis tersebut. Humaira hadir membawa sinar cahaya yang menerangi suram kelam hatinya. Ibarat muara jernih yang mengalir ke dalam jiwanya, membasuhi luka lama yang menista dirinya selama ini.
Sepanjang bekerja dengannya, Humaira akan selalu membuka ruang perbincangan dalam setiap isu. Tidak kiralah soal persatuan, kebajikan, masalah batch atau sebarang perancangan sekalipun, Ilham pasti akan rasa dihargai kerana berpeluang mengemukakan cadangan dan kebanyakannya diterima Humaira tanpa banyak karenah.
Dia masih ingat lagi saat Ning meninggalkannya hingga ke Malayisa. Humairalah yang menjadi penguat semangatnya untuk terus tabah menerima takdir Ilahi. Tanpa Humaira mungkin sukar untuknya menghadapi semua itu memandangkan Ning orang pertama yang menerima cinta tulus dan ikhlas dari lubuk hati Ilham. Walaupun beliau digelar playboy oleh rakan-rakannya, tiada wanita pernah menerima lafaz cinta semahal itu sebelum ini dari Ilham. Namun waktu itu dia masih belum perasan betapa berjasanya Humaira padanya, hinggalah saat ini.
Berlainan pula jika Ilham teringatkan Ning. Pasti dia akan resah tak menentu. Kepalanya asyik berputar memikirkan apakah yang harus dilakukan untuk menjaga hati gadis tersebut. Apa yang Ning lakukan sekarang? Adakah dia sedang marah? Rindu? Menunggu panggilan Ilham? Atau ingin bersendirian? Silap gaya hubungan mereka akan mendingin sedingin hembusan monsun. Ning tidak banyak berkongsi perasaan. Dia mahu Ilham memahami hatinya sendiri.
Ilham hanya mampu mengucapkan kata Insyaallah mewakili hasratnya untuk mengtaqdim Humaira. Sebenarnya hati beliau masih ragu-ragu akan penerimaan gadis itu. Setakat yang dicongak. Tiada sebab mengapa dia perlu menjadi pilihan Humaira mengatasi lelaki lain.
“Aku mesti percayai istikharahku!” Ilham mengungkapkan kata semangat buat dirinya sendiri. Dia tidak mahu lagi tergolong dalam mereka bercakap tak serupa bikin. Dia sudah bergelar mahasiswa timur tengah, bakal ustaz, pembela agama dan pewaris anbiya`. Walaupun belum berperwatakan keustazaan, dia mesti membinanya bermula dari dalam. Kata Syeikh Mustafa Masyhur “Binalah negara islam di dalam dirimu, nescaya akan tertegaklah negara islam di bumi.”
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....