Lambaian azan memecah kebuntuan pagi. Hening subuh memancar sirnanya di ufuk timur menandakan tiba masanya umat manusia perlu bersujud lagi menyembah syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dibangkitkan sekali lagi. Kicauan burung berselang seli dengan gema azan seolah menjawab alunan membesarkan Allah itu.
Dalam lindungan bangunan tinggi sekitar kota Damsyik, Ilham menggosok-gosok kelopak matanya. Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Ilham lewat lagi. Telefon bimbitnya yang ditindih secara tidak sedar semasa tidur membuatkan penggera yang disetnya dengan nada gorengan gitar kumpulan scorpion tidak kedengaran. Sepatutnya telefon bimbit tersebut bertugas mengejutkannya jam 3.30 pagi.
Ilham tidak terus bangkit dari kamar beradunya. Benaknya merewang mengenangkan mimpi yang menjengah malam tadi. Dadanya berombak kencang seolah-olah mimpi tersedut benar-benar dilalui di alam realiti sebentar tadi. Dilihatnya sekali lagi jam dan sekitar ruangan bilik, takut-takut tersilap dek kemamaian.
Bayangan yang hadir dalam mimpinya itu melakar ilusi sebuah keluarga bahagia terdiri dari ayah, ibu dan beberapa orang anaknya sedang bersama beliau. Mereka berceloteh mesra seolah-olah Ilham merupakan sebahagian dari keluarga tersebut. Yang pastinya watak ibu dan ayah tersebut bukan Ummi dan Papa.
Di samping itu terdapat seorang gadis yang dikira anak kepada sang ayah itu. Wajah itu amat dikenalinya. Wajah yang sedikit sebanyak berjaya mengubat dukanya satu masa dahulu. Wajah yang membuat dirinya terjerumus dalam lembah persoalan yang penuh tusukan tanda tanya. Wajah itulah yang sentiasa mengisi ruangan travelog dirinya semenjak berada di Syria dalam berbagai sketsa dan watak.
Tidak syak lagi itulah Humaira, gadis yang digilai ramai jejaka itu. Rasa bangga dan syok sendiri berkuntum di taman hatinya mengenangkan kehadiran gadis tersebut. Sebentuk senyuman terukir dalam kegelapan fajar itu. Hatinya begitu terpesona dengan kehadiran gadis kecil itu. Dengan fesyen muslimah yang dikenakannya, Humaira seolah bidadari suci turun menjemputnya ke syurga.
Selesai solat berimamkan Syeikh Nizar Kurdi, anak bongsu arwah qari syam terkenal, Syeikh Mahyuddin Kurdi, Ilham kembali duduk di hamparan tilamnya sambil tangan memegang naskhah ma`thurat wazifah sughra yang dicapainya dari atas meja. Memang menjadi kelaziman seorang yang menganggap dirinya pembela agama untuk sentiasa menghiasi diri dengan himpunan zikir-zikir dari Al-Quran dan hadith. Ianya sebagai pendinding dalaman dan luaran para duat menempuh ranjau berduri yang dijanjikan buat pencinta kebenaran.
Kepalanya didongak ke siling kamar. Ma`thurat susunan Imam Hassan al-Banna itu masih digenggam kemas tanpa berbelek. Mimpi tadi masih mencuri perhatiannya. Pertama kali dalam hidupnya dia terasa bahagia dengan sebuah mimpi. Mimpi itu lain dari yang lain. Seolah-olah mimpi itu hidup. Dia ingin sekali kekal dalam mimpi tersebut. Tiada langsung kekusutan dalam fikirannnya. Hanya ketenangan dan kebahagiaan menyelubungi dirinya.
hari ini merupakan hari ketiga dia melakukan istikharah. Dia amat yakin mimpi itulah petanda istikharahnya. Tuhan telah memilih untuknya memulakan hidup berpasangan. Namun watak dalam mimpi itu masih menjadi kemusykilan. Betulkah itupun merupakan calon pasangannya yang ditetapkan Allah? Atau hanya gimik bagi menyampaikan maksud perlu berpasangan sahaja? Ilham menduga diri. Keraguan mula timbul saat dia mengukur Humaira ke badannya.
Dalam usrah yang selalu diikuti saban minggu, dia selalu menekankan kepada ‘adik beradiknya’ soal keyakinan dan kepercayaan kepada tuhan dalam setiap liang hidup. Hanya dengan keyakinan seseorang mampu bertahan walau segetir manapun dilanda badai cabaran. Keyakinan jualah mengundang karamah ajaib yang mampu mencabar hukum alam. Yakin Allah itu wujud, Maha Berkuasa dan Maha Penentu Segala. Hanya Dia yang memberi manfaat dan mencipta mudarat.
Takutkan Allah, makhluk akan takut kita. Teringat cerita Imam Ahmad bin Hanbal yang hanya mengirim sebelah seliparnya untuk dijadikan ubat bagi mengusir jin dari tubuh anak seorang raja Iraq pada zamannya. Juga kisah Saidina Umar yang ditakuti ramai musuh sehingga syaitan sendiri tidak berani melalui jalan yang telah dialui Saidina Umar. Semua itu berpunca dari keyakinan yang tiggi bahawa Hanya Allah yang wajib ditakuti dan padaNyalah kunci penentu segala ketentuan.
Kali ini dia diuji dengan kata-katanya. Adakah dia akan yakin dengan pilihan Allah atau masih ragu-ragu? Melafaz tidak sesenang mempraktik. Mengarah tidak semudah melaksana. Berada di atas tidak seperit menampung di bawah. كبر مقتا عند الله أن تقولوا ما لا تفعلون))))Tuhan melaknat hambaNya yang bercakap tak serupa bikin.
Kebuntuan semakin mencecah ke pangkal otak. Jika benar itu takdir yang telah ditetapkan, bagaimana harus Ilham mulakan langkah? Dia tidak pernah meluah perasaan cinta walau pada seorang wanita pun. Walaupun hidup silamnya dikelilingi ramai gadis, itu hanya untuk suka-suka. Untuk menjadi permaisuri, hanya Ning yang pernah dicubanya. Itupun masih tidak meluah perasaan cintanya sehinggalah dipaksa oleh ramai pihak termasuk keluarga Ning sendiri. Dia hanya pandai menarik hati wanita sahaja, tanpa mengenal keinginan kaum hawa itu. Nilaian lafaz cintanya amat mahal dan bukan standard jalanan.
Bagaimana untuk melamar seorang gadis sunti yang teramat suci itu pula? Adakah dia perlu turut berupa seperti malaikat? Berjubah putih, dengan serban menutup kepala dan butang dikancing rapat? Atau bertutur menggunakan frasa dalam quran dan hadis semata-mata? Dia runsing. Tak mungkin Humaira akan menerimanya dalam keadaan dirinya sekarang.
“Takkan aku nak berubah kerana seorang gadis? Boleh ke aku istiqamah untuk melazimi perubahan tu lepas aku dapat dia nanti kalau niat berubah pun dah lari?” Fikir Ilham. Kepalanya ligat mencari jawapan terbaik menyelesaikan permasalahan terbabit. Sungguh dirinya terasa keseorangan saat itu. Sendiri merungkai teka-teki hidup yang semakin rumit.
“فمن كانت هجرته للدنيا يصيبها أو امرأة ينمحها فهجرتج إلى ما هاجرإليه”
Bab 14
“Terima jelah Hisyam. Habis cerita.” Humaira cuba memberikan jawapan pada dirinya. Tidak dinafikan hatinya masih tertanya apakah jawapan bagi semua belenggu ini. Kerana tidak sanggup lagi menyusahkan diri memikirkannya, jalan pintas diambil dengan membuat keputusan sendiri. Ibunya pula hanya menasihatkan agar membuat keputusan berdasarkan gerak hatinya, bukan kerana kasihan terhadap sesiapa. Semua keputusan terletak ditangannya sendiri.
“Mungkin tiada jodoh aku dan Ilham.” Tambah Humaira. Namun dia masih tidak putus beristikharah dan berdoa saban malam. Sehinggalah pada suatu malam yang bersejarah, semasa sedang beristikharah, satu keajaiban muncul dalam hidupnya, membuat dirinya kembali komited dengan pilihan Allah SWT. Satu anugerah yang Allah kurniakan khusus buatnya, yang tidak terjadi pada kebanyakan orang. Peristiwa yang berjaya merubah keseluruhan perjalanan hidupnya, yang telah memandunya supaya menerima setiap ketentuanNya.
Malam itu Humaira pulang ke rumah dalam keletihan yang amat. Timbunan tugas yang diterima menyebabakan beliau berulang alik ke rumah PPMS hampir setiap hari. Mesyuarat, Liqa` penyelarasan, perjumpaan, program dan bermacam lagi rencah organisasi dikendalikannya pada tempoh tersebut. Almaklumlah, bulan 11 hingga bulan 3 adalah waktu perdana bagi PPMS. Semua petugas tak kira dari presiden hinggalah AJK biasa akan disibukkan dengan rancangan pembentukan, penyelarasan dan penentuan hala tuju tahunan.
Sampainya di rumah, Humaira terus merebahkan diri ke atas katil tanpa menukar sebarang pakaian hatta tudungnya sekalipun belum dicabut. Matanya terkatup rapat dan akalnya terus berhenti. Dalam sekelip mata dia sudah terlelap jauh dalam igauan malam. Masakan tidak, jam telah menunjukkan hampir pukul 1 pagi.
Itulah nikmat sang pejuang. Rasa mengantuk adalah pertolongan Allah kepada hambanya yang ikhlas membela agama islam. Seperti mana yang terekod dalam al-Quran, tuhan campakkan rasa mengantuk kepada para mujahidin Badr semasa pertembungan antara mereka dengan puak musyrikin Quraisy, menyebabkan hilang segala ketakutan, keresahan, dan kebimbangan. Mereka bertukar tenang walaupun bertempur dengan jumlah lawan yang 3 kali ganda dari mereka.
Hingga ke hari ini. Sirah itu berulang dan sentiasa berulang. Betapa ramai orang kaya yang memiliki bermacam kemewahan tidak dapat tidur dengan nenyakwalaupun telah beradu dalam istana gergasi. Hati mereka sentiasa gundah gulana dan tidak senang duduk. Berbeza dengan pejuang islam, walau sesibuk dan segetir manapun tentangan yang diterima, apabila tiba waktu tidur mereka begitu lena dalam dengkuran walau hanya beralas lengan sendiri.
Kira-kira tiga jam selepas terlena, Humaira dikejutkan dengan bunyi penggera telefon bimbitnya. Nombor 3.30am terpampang pada jam tangan digitalnya. Rasa letih masih belum hilang, namun waktu untuk melakukan rutin ibadatnya telah tiba. Terasa amat malas untuk bangkit dalam dakapan tilam empuk itu. Bisikan halus pula memujuk supaya diteruskan pelayaran lenanya.
Memikirkan akan dirinya yang masih memerlukan petunjuk dan pimpinan dari tuhannya, digagahkan jua semangat yang hampir mendingin dari sanubarinya untuk bangun meninggalkan tilam berhantu itu. Dengan petua membaca doa bangun tidur yang diamalkan, Alhamdulillah, kelopak matanya membuka sedikit untuk membantu tangannya yang sedang meraba suis lampu bagi menerangi laluannya ke kamar mandi. Tinggal dua lagi petua yang perlu dilaksanakan untuk merungkai 3 ikatan syaitan pada katil tempat beliau tidur semalam.
Dengan terhuyung hayang dia berjalan menuju ke bilik air. Sejuk menusuk hingga ke kepala tatkala kakinya memijak lantai bilik air yang basah. Dia masih perlu memegang tombol paip tembaga yang amat dingin dan menyirami anggota badannya dengan air sejuk separa beku untuk menyempurnakan wudhu`. Itulah petua kedua, dan begitulah cabaran yang terpaksa dihadapinya. Terketar-ketar sendirian menahan sejuk dalam kelam dinihari. Walau nafsu sering memperlekeh tindakan yang menafikan keenakan tidur waktu itu, dia tetap berjuang melawan godaan tersebut hinggalah bilasan terakhir meleleh membasahi hujung jari kaki kirinya. Menggeletarlah sekujur tubuh halus dalam langkahan keluar dari bilik air itu. Sepantas kilat dia berlari mencapai tuala seterusnya berkelubung kemas dengan tuala tersebut. Giginya masih terkancing rapat menggagahkan diri yang sering dibuli nafsu.
Kelam sinar pagi yang hanya bersiram pantulan cahaya bulan tidak langsung memudarkan visinya untuk beristikharah dan bermunajat. Dengan mengenakan pakaian serba putih bak kain kafan, dihamparnya tikar sejadah yang akan menjadi saksi sujudnya di akhirat kelak. Buat ke sekian kalinya dia memasang niat istikharah selepas selesai bertahajud sebanyak dua rakaat.
Pada rakaat kedua istikharah, rasa mengantuk menyerang kembali. Dikuatkan juga alis matanya menahan godaan syaitan yang sedang membuai-buai di kelopak mata. Satu persatu ayat alQuran dibaca penuh tajwid dan tartil. Ruku`, I`tidal dan sujud disempurnakan dalam pertempuran melawan godaan syaitan itu. Semakinn kuat dia beribadat, semakin hebat godaan yang diterimanya.
Tatkala Humaira tunduk merapatkan dahinya ke bumi untuk sujud terakhir, Dia sudah tidak dapat bertahan lagi. Dalam tidak sedar dia tersembam lena. Perkara terakhir yang berada di fikirannya sebelum tertidur adalah doa istikharah, ((اللهم إذا كان هذا الأمر خير لي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري فاقدره لي ويسره لي وارضني به...الخ))
“Ya Allah, jika perkara ini baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku, maka takdirkanlah ianya buatku, dan permudahkanlah ianya untukku dan redhailah daku dengannya…”
Belum sempat Humaira menyebut secara jelas apakah perkara yang dihajati itu dalam rangkap doanya, dia sudah berada dalam mimpi. Mimpi dalam sujud istikharah. Petunjuk dalam kebuntuan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, jawapan yang didamba tampil sebelum sempat diminta dalam keadaan yang amat dramatis.
Sujudnya bukan sebarang sujud. Sujudnya mengundang perhatian tuhan. Tidurnya bukan sebarang tidur. Tidurnya dalam ibadah sujud terakhir. Dengan duduknya tunduk penuh kehinaan, mengagungkan kebesaran tuhan Rabbul Jalil, tuhan mendengar segala rintih perihnya. Lalu keluarlah rohnya terbang mendapatkan pangkuan Rabbal Alamin, meninggalkan sekujur jasad yang masih setia di atas tikar sejadah.
Tuhan sentiasa menanti dan mencari hambanya yang bangun pada tengah malam sebegitu untuk dikabulkan setiap permintaan mereka saban malam. Berkelanalah roh tersebut di alam fana hingga merakam plot-plot mimpi bahagia, dan itulah kesaksian tuhan buat seorang hamba bernama Humaira Dafeeqa yang mendamba jawapan hidup.
Potret seorang manusia terlakar di atas kanvas mimpi tersebut. Dengan kemeja petak yang sama seperti di awal istikharahnya dahulu, bayangan lelaki itu muncul kembali. Kali ini Humaira dapat melihat lelaki tersebut dengan jelas dan nyata. Tanpa sangsi lagi orangnya adalah Ilham.
Lima saat selepas imbasan lelaki tersebut muncul, Humaira terjaga dari tidurnya, lalu bingkas bangun memperbetulkan kedudukannya. Dadanya berombak kencang. Matanya terbeliak dalam pekat malam itu. Seakan tidak mempercayai mimpi yang baru dilaluinya itu, Humaira kumat kamit melafaz istighfar. Tidak lama kemudian bergenanglah kembali kolam matanya dengan air jernih, laju mengalir melewati kedua pipinya.
Humaira dihantui perasaan serba salah. Pilihan yang dibuat sebelum ini telah tersilap. Mimpi tersebut membenarkan mesej mimpi lain sebelum ini. Humaira merasa dirinya sudah menipu takdir Ilahi. Selepas meminta petunjuk tuhan untuk memilih buatnya insane terbaik, dia tidak menerima pilihan tersebut. Dia memang pentingkan diri sendiri. Takut untuk percaya pada jawapan istikharah andai tidak bertepatan dengan selera diri.
Air matanya semakin mengalir deras. Dia malu dengan tuhanNya. Mimpi tadi seolah menegurnya untuk kembali ke pangkuan jalan sebenar. Seolah-olah dia melakukan kesilapan terbesar. Dia juga ketakutan. Takut perbuatan sombongnya itu mengundang murka Allah.
Namun dia tetap bersyukur tuhan masih menyayanginya dan memberi peluang untuknya menebus kembali kesalahan yang telah dilakukan. Difokus kembali bayangan mimpi tadi. Wajah Ilham kini menghuni ruangan utama benaknya. Walaupun masih terkejut, dipujuk hatinya untuk menerima Ilham seadanya dan menolak lelaki lain. Dia akan cuba belajar menyelami hikmah ketentuan tuhannya itu kelak. Mungkin dalam liar identiti Ilham itu, terdapat persamaan yang membuat mereka ditakdir bersama.
Humaira sudah tidak fikirkan orang lain lagi. Tumpuannya hanya pada Ilham seorang. Sebarang lamaran dari lelaki lain selepas ini akan ditolaknya mentah-mentah. Namun persoalan yang harus dijawab pula sekarang, bagaimanakah bibit pertemuan yang akan mengorak kisah cinta abadi mereka akan berlaku? Adakah Humaira patut memulakannya? Atau hanya menunggu lamaran Ilham walau cuaca tidak menunjukkan sebarang petanda perkara tersebut akan berlaku?
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....