Bab 11: وإذا سألك عبادي عني فإني قريب أجيب دعوة الداع إذا دعان
Ilham menghela nafas panjang. Jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Sepatutnya dia sudah berada di kelas waktu ini. Dia berjanji dengan Zaki untuk datang awal hari ini. Entah mengapa semangatnya tika ini luntur tak berseri. Kerut dahinya jelas menampakkan keadaannya memikirkan sesuatu. Hanya kakinya sesekali bergerak mengalih posisi duduk.
“Yallah,bidna nusakkir!” Teriakan siak masjid memecah lamunan panjang Ilham. Dia mulai bangun lalu melangkah ke arah pintu keluar. Selepas solat asar tadi, dia tidak bangkit dari tempat duduknya hinggalah tinggal dia dan siak sahaja dalam masjid.
Kepalanya masih tertumpu ke arah perbualan beliau dengan Farid beberapa hari lepas. Gosip mengenai sepupunya, Humaira diceritakan pada Ilham. Hisyam pula kini sedang mencuba nasib menawan hati Humaira. Setahu Ilham, hanya Izzat yang asyik menyebut-nyebut nama Humaira.
Menurut Farid, Hisyam sedang berkira-kira dengan keluarga Humaira untuk melangsungkan perkahwinan di sini. Pada mulanya Ilham tidak begitu mengambil endah akan hal tersebut. Tiada apa yang nak dihairankan. Dah ramai yang melangsungkan perkahwinan semasa belajar di sini. Tetapi sejak hari ini hatinya gundah gulana. Seolah cemburu. Walaubagaimanapun Ilham masih lagi tidak dapat mentafsirkan perasaannya itu. Adakah perasaan cemburu kerana tidak dapat berkahwin di Syria? Ataupun cemburu kerana pasangan Hisyam adalah Humaira?
“Sebenarnya Humaira tak berapa berkenan dengan Hisyam tu. Tapi mungkin sebab dah bosan melayan lelaki yang tak putus-putus muncul dalam hidupnya, dia suruh ibunya terima saja. Ikutkan aku pun kurang setuju. Keluarga Hisyam berbeza dari adat keluarga belah kampung kita.” Keluh Farid. Terus Ilham merasa bengang terhadap Hisyam kerana membuat Humaira berada dalam kesempitan. Walaupun mereka berdua tiada sebarang pertalian keluarga, Ilham seolah memahami perasaan Farid yang kecewa dengan keputusan terdesak Humaira. Dia tidak sangka sampai begitu sekali Hisyam menaruh harapan.
Bagaikan mengetahui perbualan antara Farid dan Ilham, beberapa hari selepas itu Rashid yang merupakan ahli baytnya pula mengeluarkan pandangan. “Daripada Hisyam dengan Humaira, rasa elok lagi kalau kau yang kahwin dengan dia.” Muka Ilham berubah merah sejurus kata-kata Rashid itu menjengah ke telinganya. “Eh, kesitu pulak. Humaira tu kan dah tunang orang. Berdosa kalau aku kacau dia. Lagipun dia bukan taste aku la. Garang, tak romantik!” Tegas Ilham.
Siapa tak kenal Humaira. Berani tak bertempat. Ilham sendiri pernah terkena dek Humaira. Ketika usia mereka baru empat bulan di Syria, Ilham sudah ditegur supaya memotong rambut panjangnya yang belumpun menutup telinga. Perasaan meluat pada Humaira bertambah seminggu selepas itu, apabila dia menyuruh supaya memadam gambar akhawat yang berada dalam friendsternya. Gadis tersebut amat teliti dalam soal hukum dan pantang larang agama.
“Mana kau tahu dia dah bertunang? Dari dulu lagi kita dengar dia dah bertunang. Tapi ada je orang cuba taqdim dia sampai hari ni. Rasanya kau kena tanya dia sendiri. Mana tau kot-kot nanti lekat kat kau. Rezeki beb. Kau pun dah lama menyolo.” Sindir Rashid sambil mengangkat keningnya menduga respon Ilham.
“Hahaa. Banyak la kau. Kubur masih merah lagi der.” Ilham berkias. Empat bulan Ning meninggalkan Syria, namun namanya masih segar dalam ingatan Ilham. Tambahan pula Ilham pernah berjanji untuk setia menunggunya dan tidak mencari yang lain selagi Ning tidak berkahwin.
Begitulah llham. Seringkali diusik untuk mencari pasangan. Ada saja yang dikeneng kawan-kawannya. Humairalah antara nama yang menjadi pilihan ramai untuk mengusik Ilham. Itu disebabkan walaupun Ilham menafikannya, raut wajahnya yang akan berubah jika nama itu disebut tidak dapat menipu.
Dalam ralit mengelamun, dia tidak sedar kakinya telah mencecah pintu Mujamma` Fatah. Lamunan dihentikan dan dia mula fokus untuk memulakan pembelajaran hari ini. Tatkala menolak daun pintu kelas , rupanya Zaki lebih dulu sampai darinya. Sekuntum senyuman sinis dilempar pada Ilham membuatnya tersipu malu kerana telah melanggar janji. Mujur lecturer masih belum sampai.
“Awal sampai bang. Tak habis-habis lagi ke mengelamun. Gi jela taqdim budak tu. Susah aku tengok kau ni.” Perli Zaki. Sesinis senyumannya, sinis lagi buah katanya bagaikan mengetahui apa di hati Ilham. Masakan tidak, Zaki adalah tempat Ilham mencurah segala rasa di hati sejak datang ke Syria. Zaki jugalah antara yang memberi semangat untuk terus kekal di Mujamma` Fatah d saat senior lain mendorong untuk berpatah balik dari mula. Segala rahsia hati Ilham segar dihafal Zaki saban hari. Kelas mereka yang biasanya lengang membuatkan ruang tersebut digunakan untuk bercerita dan bersembang setiap kali ke kelas.
“Kau rasa patut ke aku gi taqdim? Bukan ke ramai yang dah berebut? Tak jadi masalah ke? Nanti apa pula kata Izzat? Mengamuk dia nanti kalau dapat tahu kawan baik dia ni nak rampas ‘kekasih hatinya’?” Tanya Ilham teragak-agak.
Dia sedar,hidupnya sunyi sekarang. Walaupun luarannya beliau tabah, namun untuk mengharungi jalan yang masih panjang ini dirasakan tidak mampu bersendirian. Bukan berniat untuk terus berkahwin, cuma berharap jika dirinya punya seorang gadis yang sudah menghuni hatinya, pintu akan tertutup untuk meliar mencari mangsa lain. Dia ingin buang sifat berfoya-foya lamanya. Cukuplah satu untuk mententeramkan jiwa muda laranya.
Ning yang dianggap cinta terakhir dulunya kini telah mengqisas Ilham akibat kejahatan lama. Ilham tidak langsung berdendam pada Ning, cuma masih belum mampu untuk meninggalkan perempuan dalam hidupnya. Dia sedar dia bukan wali, imannya tak seperti rakan-rakannya yang lain, dia tidak sesuci pelajar agama lain. Kotoran lama di hatinya yang menghitam bukan senang untuk ditanggalkan. Cuma dia berharap dengan seorang gadis yang dimiliki, dengan janji untuk sehidup semati di atas jalan yangsah suatu hari nanti, dapat menipu hati kecilnya untuk tidak lagi menoleh pada wanita lain kerana misinya untuk menawan lubuk ilmu tidak boleh dicemari dengan bisikan bisa wanita.
“Dia boleh jaga kau. Kau kata nak berubah. Nak aku usha dia dulu tak? Aku ada je kaki yang boleh tolong.” Tanya Zaki penuh bersahaja. Semakin menguntum bibir Ilham. Teringat dia pesanan Rashid beberapa hari lepas.
“Betul ke ni? Elok juga. Ikut kau lah.” Jawab Ilham jual mahal. “Tapi dengan satu syarat. Kau kena janji dengan aku kalau dia betul-betul solo, kau pergi taqdim terus ye. Janji?” Zaki semakin menduga Ilham. Matanya melirik tajam ke arah Ilham. Terbahak-bahak Ilham ketawa, menyembunyikan kegembiraan di hati. Hanya ucapan insyaAllah yang mewakili janjinya.
Begitulah mereka berdua. Saling tak tumpah macam adik beradik. Walaupun perangai mereka berdua berlainan, tapi mereka serasi bersama. Mereka naik sebagai exco bersama, kekal dalam kabinet 2 tahun bersama, sama-sama meraih kecemerlangan akademik di Malaysia dan Syria dan sama-sama suka hidup simple.
Bab 12
Menjelang malam, saat Ilham pulang menuju ke rumah, fikirannya masih tertanya-tanya, adakah betul apa yang dia lakukan sekarang? Bolehkah dia beralih arah pada Humaira ? Inikah seru yang disebut-sebut orang? Ataupun hanya muslihat nafsu keranjang semata-mata?
Banyak persoalan di dadanya yang masih belum terjawab hari ini. Humaira yang dulunya dianggap musuh ketat kini membuai sayang di kelopak matanya. Humaira yang dulunya dilihat bagai singa betina kini menjadi merpati manja yang mengasyikkan khayalan.
Jika dinilai mengikut waras akal, mereka berdua ibarat langit dan bumi. Ibarat jauhari dan manikam. Habitat mereka berbeza, alam mereka juga berbeza. Sang malaikat kini menjadi igauan Jin mafia. Pungguk hina kini bercita-cita menggapai bintang suci di angkasa. Adakah semua fantasi terlampau ini mampu menjadi realiti?
Persoalan itu hanya mampu dijawab oleh Sang Pengasih. Dia tempat yang paling sesuai untuk diajukan semua teka-teki ini. Selama ini Ilham tidak pernah mengadu soal sebegini pada pemilik jiwanya. Tika Ilham dikecewakan oleh manusia dulu, Dialah tempat Ilham meluah segala kesengsaraan. Tika Ilham ketakutan menghadapi peperiksaan pertamanya di Syria, di saat ramai mata yang memerhati serong dan memandang rendah keupayaannya memilih peringkat ijazah, Dia jugalah yang menguatkan semangat Ilham. Tika kekusutan gerakerja PPMS menimbun tinggi, santunNyalah yang merungkai segala. Hari ini tika hati Ilham membunga bahagia, jalan lain didahulukan untuk mencari penyelesaian. Di saat hatinya mendamba kasih manusia, kasih Pencinta Agung yang tak bertepi diabaikan.
Ilham kesal dengan sikapnya, seolah kacang lupakan kulit. Tuhan tak pernah menutup ruang munajat hamba padaNya. Tetapi hamba hanya mengenal tuhan tika kesempitan, hanya di ketika tiada tempat lain untuk bergantung lagi. Nikmat menggunung yang dianugerah padanya tidak langsung diminta balas, bahkan dengan dosa-dosa jijik yang bertimbun dilakukan Ilham dahulu, tuhan masih mahu memberinya nyawa. Sedangkan 40 tahun dihabiskan di atas tikar ibadat pun belum tentu dapat membalas walaau satupun nikmatNya, inikan pula dirinya yang bergelimpangan dengan dosa saban ketika.
Dia semakin takut. Takut-takut rasa cintanya terhadap manusia tidak mendapat perkenanNya. Dirasakan itulah penyebab dia dikecewakan dahulu, kerana mendahului keputusan akal dari keputusan Ilahi. Dia tahu tuhan amat murka pada hambanya yang menyombong dan tidak mahu meminta. Sedangkan manusia pula murka bila orang asyik meminta-minta. Pemurahnya tuhan, ujian yang ditetapkan sebenarnya untuk melihat hamba itu kembali ke pangkuanNya, menyedarkan kembali bahawa mereka punya tuhan yang amat Penyayang, yang tidak akan pernah menutup pangkuanNya untuk setiap yang bersalah.
Tidak sedar air jernih membasahi kelopak mata Ilham. Sampai bila lagi dia ingin seperti ini. Dia sedar dirinya sedang menuju penghujung hayat. Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin sekejap lagi. Dia perlu ikhlaskan setiap tindak tanduknya dalam baki usia ini untuk meloloskan diri dari seksaan hari muka. Dia takut neraka Allah, namun dia tahu dia tidak mampu menempah syurga dengan keadaannya sebegitu. Mulai saat ini biarlah hanya Allah yang menjadi tujuan segala lakunya.
Dengan membulatkan tekad di hati, Ilham mulai bangkit dari katilnya menuju ke bilik air. Paip dibuka sambil kepala ditunduk penuh zuhud. Tatkala kulitnya mencecah air yang mengalir keluar, dipasangnya niat bersuci kerana Allah lalu ditertibi rukun wudhu` satu persatu. Semoga setiap titisan air yang jatuh dari anggota badan Ilham mengheret semua dosa-dosanya keluar dari jasadnya lantas menyirami bumi tak bersalah ini.
Usai melaksanakan wudhu`, terus dihamparnya sejadah hijau usang yang terlipst kemas di sudut almari. Ilham amat rindu untuk sujud sekali lagi di atas sejadah tersebut. Bukan kerana kelembutan fabriknya, tapi dek tidak sabar untuk berkomunikasi dengan Tuan punya dirinya, mengaju semua masalah yang dihadapi, seterusnya menyatakan rasa cinta menggunung saat itu.
Tanpa membuang masa lagi, Ilham memilih taubat sebagai niat pertama berdirinya dia diatas helaian empat segi tersebut. Dalam samar cahaya neon luar biliknya, dia mengangkat tangan bertakbir menandakan semua dunia dicampakkan ke belakang dan hanya Allah sahaja yang berada dihadapannya. Dengan penuh cermat dia menjalankan rukun solat satu persatu.
Tatkala dahi mencecah bumi untuk sujud pertama, dia sudah tidak memiliki jasadnya. Diserahkan sepenuhnya diri itu pada takdir ketentuanNya. Nikmatnya solat saat itu! Sembah sepenuh hati dirafa` ke hadrat Ilahi. Dia bangun kembali selepas membaca zikir yang dituntut, menantikan sujud seterusnya dalam penuh kerinduan. Matanya tidak sedikitpun berganjak dari tempat sujudnya dalam setiap rukun fi`liy yang dilakukan. Dia malu untuk mengangkat kepalanya walau seinci kerana mengenang perlakuan nistanya selama ini.
Tiba saat sujud terakhir, sekali lagi dia tunduk menghempas mukanya ke tikar sejadah usang itu. Dalam lemah sujudnya itu, rayuan rindu mula berputik di hati, mendamba ampun kekesalan atas segala kelalaian yang dilaku selama ini. Ucapan syukur dinukil dengan deraian airmata atas kasih sayangNya yang masih mahu memberikannya peluang taubat sehingga hari ini. Dia langsung tidak meminta sesuatu sepanjang solat taubatnya. Hanya ampun dan syukur yang meniti dalam panjatan munajatnya.
Usai solat taubat, dia bangkit lagi mengalih kedudukan, lalu meneruskan dengan solat hajat. Dalam doanya, dia menggugus seribu harapan agar tuhan menjadikan pilihan hatinya adalah pilihan terbaik untuknya. Rimbunan hajat agar dirinya tidak terhalang dari jalan juang jika ditakdir berkongsi hidup bersama insan lain suatu hari nanti, juga dipohon selebat azamnya.
Tiba giliran solat istikharah, dia berdiri sejenak. Dahinya tiba-tiba berkerut panjang. Ditelannya airliur beberapa kali. Lalu matanya mula menjengah ke rak kitab yang berdiri megah dihadapannya. Dalam susunan lebih 200 buah bahan bacaan pelbagai genre itu, matanya melilau melewati setiap tajuk buku-buku tersebut seolah-olah kehilangan sesuatu.
Setelah lama mengamati, dicapainya sebuah kitab kecil bertajuk ‘Assolat Ala Mazahibil Arbaah’ (الصلاة على مذاهب الأربعة). Dibelek cermat kitab tersebut sehinggalah matanya terpaku pada satu halaman.
Rupa-rupanya Ilham mencari kaedah solat istikarah. Ini merupakan kali kedua dalam hidupnya dia melakukan solat tersebut selepas yang pertama ditunaikan pada tahun 2007 dulu untuk memilih tempat menyambung pengajian. Itupun atas nasihat guru-guru dan rakan-rakan yang prihatin.
Istikharah merupakan jalan yang diajar islam ketika umatnya berada dalam dilemma memilih jalan di sepanjang persimpangan hidup. Pabila manusia sudah berbelah bahagi untuk membuat keputusan berdasarkan pilihan yang ada, maka tuhan mensyariatkan sembahyang dua rakaat seterusnya berdoa supaya dibukakan hati membuat pilihan tertentu. Tidak cukup dengan sekali, ia mestilah dilakukan sentiasa selagi isyaratnya belum kelihatan. Antara isyarat yang biasa adalah melalui mimpi. Ada juga yang dicondongkan keinginan hati kepada salah satu pilihan yang ada. Ada juga yang hanya ditunjuk selepas melakukan pilihan. Kadang-kadang pilihan terdahulu yang dibuat itu tepat, kadang- kadang menyimpang dari pilihan Allah.
Jika isyarat yang diterima memberikan sesuatu pilihan, manusia mestilah mengikut pilihan tersebut kerana samada manis ataupun pahit, itulah pilihan Allah SWT. Sudah tentulah itu adalah pilihan terbaik dan berkat kerana hanya Dia yang mengetahui hakikat hari-hari mendatang. Jika kita menolak keputusan tersebut dan memilih jalan selainnya, akan pincanglah kehidupan manusia di hari seterusnya.
Sebenarnya, dari awal istikharah yang Humaira lakukan, isyarat telah beberapa kali menjengah melalui mimpi tetapi dia masih tidak menyedari akan hal terbabit. Baginya itu hanyalah mimpi biasa mainan tidur. Mungkin akibat tidak membaca doa tidur atau lupa basuh kaki (mengikut ajaran orang melayu dahulu kala)., Humaira membiarkan sahaja mimpi tersebut walau telah berulang beberapa kali.
Humaira memulakan siri istikharahnya semenjak dilamar kali kedua, iaitu ketika Izzat muncul dalam hidupnya. Mimpi pertamanya hadir dengan kelibat tubuh seorang lelaki berkemeja petak dengan warna coklat muda. Humaira seakan mengenali kemeja tersebut. Namun dia tidak dapat mengecam siapakah gerangan tuan empunya kerana lelaki yang mengenakan kemeja bukannya sedikit. Lebih-lebih lagi golongan agamawan yang amat sinonim dengan kemeja dan baju-baju longgar lain seperti jubah dan baju melayu.
Kali kedua isyarat itu semakin jelas. Kali ini dalam bentuk suara. Babak mimpi tersebut dimulakan dengan Humaira berada di dalam sebuah kafe siber untuk menggunakan perkhidmatan panggilan antarabangsa yang banyak tersedia di Syria. Dalam bayangan tersebut muncul beberapa kelibat lelaki yang turut sama menggunakan talian tersebut. Tersusun satu persatu potret lelaki, diantaranya ada yang tidak dikenali. Ada juga beberapa lelaki yang pernah melamar beliau. Semasa Humaira duduk di kerusi menghadap komputer untuk memulakan panggilan, seolah wajah-wajah tersebut menunggu panggilan dari Humaira. Tatkala mengucap salam, hanya seorang yang menjawabnya. Wajahnya masih kesamaran, namun sudah boleh dibezakan mengikut bentuk wajah dan ton kulit.
Hanya ada beberapa lelaki yang memiliki rupa seperti itu dalam memorinya. Mungkinkah Ilham? Kebetulan saat itu memang mereka berdua banyak berhubungan. Mereka sedang mengatur rancangan untuk mengadakan jaulah batch sempena meraikan kehadiran ustaz-ustaz yang bertandang ke Syria mengiringi beberapa orang pelajar baru dari Darul Fikri, Kuantan.
“Ish…takkan dia kot. Mungkin sebab aku banyak habiskan masa berbincang dengan dia kot kebelakangan ini. Sebab tu muncul dalam mimpi” Fikir Humaira menenangkan hati. Dia tidak fikir itu adalah isyarat bagi istikharah yang dilakukannya. Lalu diteruskan lagi istikharah tanpa jemu mengharap jawapan terbaik darinya.
Seperti Ilham, Humaira juga tidak sukakannya. Pada pandangan Humaira Ilham agak ganas, selekeh dan kebudak-budakan. Dia tidak yakin adakah lelaki tersebut boleh menjaganya. Dia hanya menghubungi Ilham jika tiada syabab lain yang boleh membantu. Pernah suatu hari Humaira serta rakan-rakan meminta tolong Ilham menemani mereka ke pameran buku di Maktabah Asad, tempat yang menyimpan berbagai khazanah ilmu turun temurun yang terbesar di Syria. Dengan jeans londeh dan baju lusuh yang dikenakan Ilham, Humaira teragak-agak untuk berjalan diiringinya. Kebimbangan seperti berjalan sendirian tanpa mas`ul masih tidak hilang dengan adanya Ilham.
Pernah juga Humaira memikirkan secara serius hubungan mereka berdua jika disatukan. Natijahnya amat mengerikan. Tentu Humaira akan berubah menjadi seganasnya. Jika tidak pun, tentu perang besar akan meletus kerana masing-masing tidak mahu merubah imej lama.
Bagaimana singa mahu diajar memakan sayur dan bagaimana ikan ingin dibiar berenang di darat, begitulah susahnya dirasakan hidupnya nanti untuk mentarbiah orang seperti Ilham jika ditakdir bersama. Ilham bukannya tidak celik agama, bahkan best student dikalangan rakan-rakannya. “Sudah tentulah ilmunya lebih tinggi dariku.” Keluh Humaira.
Perkara tersebut difikir lantaran usikan rakan-rakannya termasuk Farid sendiri. Humaira hairan dari sudut manakah mereka menilai, kerana dari rupa fizikal pun sudah tidak menampakkan keserasian. Ilham berkulit gelap, tinggi dan berbadan sasa manakala Humaira agak cerah kulitnya serta memiliki tubuh kecil molek. Faktor latar keluarga juga berbeza. Bapa Ilham merupakan bekas wakil rakyat manakala keluarga Humaira hanya nelayan biasa. Perangai? Jauh sekali!
Kerana tidak ingin memikirkan lagi soal jodoh, lantaran jawapan dari istikharah yang masih tak kunjung tiba, dia berfikir mungkin jawapannya datang melalui kecondongan hati. Kala itu, dirinya merasa senang dengan seorang lelaki bernama Hisyam.
Dia sebenarnya menunggu juga Ilham mengetuk pintu keizinan darinya kerana berfikir mungkin mimpi itu benar. Tapi melihatkan reaksi Ilham yang seperti tidak mengendahkannya langsung, ditambah dengan perasaan sayangnya yang masih kuat terhadap Ning, tak mungkin si dia pilihan yang Allah tetapkan buat dirinya.