Wednesday, June 6, 2012

BERSIH 10.0 PUN AMBE READY!!



“Selamat berjuang  ustaz.” Ucapan ringkas dari salah seorang jemaah suaru AlHidayah, Alor Kuda itu sudah cukup untuk menguatkan hatiku bahawa pemergianku sekejap lagi tidak berseorangan, malah ditemani rimbunan doa dari orang ramai.

Jam menunjukkan sudah pukul 8.55 malam.  Aku terus melangkah keluar dari surau itu, bimbang rombongan bas yang menanti jam 9 malam akan meninggalkanku. Tiba-tiba aku disapa seorang lelaki lingkungan akhir 50an. Tidak semena-mena dihulurkan padaku segenggam wang buat bekalan jihadku. Lelaki yang masih tidak kukenali itu lantas bertanyakan tentang jadualku untuk ke Kuala Lumpur malam itu sambil tangannya ‘bersilat’ untuk terus memasukkan wang tersebut ke dalam poket jubahku setelah aku enggan menyambut hulurannya.

“Mungkin dia juga inginkan pahala jihad.” Getus hatiku.

Dalam kuliah maghrib yang aku sampaikan sebentar tadi, sempat aku menyentuh berkenaan himpunan bersih ini dari aspek agama. Bagiku, tiada alasan bagi seorang islam untuk tidak menghadiri himpunan ini. Sabda Rasulullah SAW:

“أفضل الجهاد كلمة الحق عند سلطان جائر”
(Sebaik-baik jihad adalah berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim)

Ya, motif himpunan bersih diadakan adalah untuk menyatakan kebenaran supaya SPR lebih telus dalam sistem pilihanraya ini dan tidak berat sebelah. Suruhanjaya yang mendapat mandate secara terus dari Yang Di Pertuan Agung itu mewakili pemimpin mereka untuk menjalankan proses pilhanraya.

Kezaliman pemimpin Malaysia hari yang telah menjemput berbagai bala bencana serta kehinaan daripada Allah SWT ini tidak lagi boleh ditahan. Tanpa menegakkan proses demokrasi yang telus ini, mungkin mereka akan terus bertindak seperti Firaun dan Namrud terhadap rakyat mereka demi mempertahankan kerajannya.
Sabda Rasulullah lagi

“لا تجتمعوا أمتي على الضلالة”
(Tidak akan berhimpun umat aku didalam kesesatan)

Selain dari mewajibkan setiap ahli PAS untuk turun ke dataran merdeka 28 April nanti, Tuang Guru Nik Aziz sendiri akan hadir. Antara ulama` lain yang akan berhimpun termasuklah Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Tuan Guru Haji Salleh serta ramai lagi cendikiawan agama, para graduan aliran agama dan pelajar agama akan hadir tanpa mengira kontra fikrah. Majoriti golongan agama bersetuju dengan himpunan ini walaupun ada sebahagian yang tidak menghadirkan diri.

Lagi sabdanya:

“من جهز غازيا فقد غزى”
(Sesiapa yang membantu melengkapkan orang yang berperang, mereka juga dikira berperang)
"من خلف غازيا فقد غزى"
(Sesiapa yang memikul tugas seseorang yang pergi berperang(disaat mereka meninggalkan harta dan anak isteri), mereka juga dikira berperang)

Hadis ini aku lurutkan ketika sesi pengajian kitab Fiqh Sirah Nabawiyyah karangan Dr Said Ramadhan al-Buthi, seorang ulama bertaraf antarabangsa dari Syria. Sengaja aku pilih hadis ini untuk mereka yang tidak berkesempatan ke himpunan bersih, bahawa mereka masih boleh memperoleh ganjaran sama seperti mereka yang bakal menelan asap dan bermandi air water-cannon di dataran merdeka kelak.
Akhirnya, aku menutup dengan sepotong lagi hadis yang berbunyi:

“الدعاء سلاح المؤمن”
(Doa adalah senjata orang mu`min)

Disebabkan himpunan ini adalah himpunan aman, hanya duduk dan bantah, maka tidak wajar untuk dibawa bersama pisau belati, parang panjang ataupun kayu besbol untuk dijadikan senjata. Namun ia tidak menolak kemungkinan bahaya yang akan menimpa jika dinilai dari sudut ketelusan kerajaan yang ada sekarang dengan akta-akta rekaan mereka itu. Yang terbaik adalah menyediakan senjata paling ampuh yang hanya akan memudaratkan mereka dengan izin Allah SWT.

Kata A.Samad Said juga dalam facebooknya:

Di pihak belah sana,
Polis ada, askar ada,
Juga pancutan air bisa,
Selain bom gas bahaya,
Malah helikopter juga.
Di pihak sini pula
Yang sedia ada hanyalah
Jersi kuning serta doa.

…………………………….

Setelah memperkenalkan diri, rupanya lelaki yang berhati murni itu adalah bekas pemain bolasepak Terengganu dan juga Kebangsaan, Hanafiah Mohsin. Beliau lebih senior dari lagenda Abdullah Ali yang kini dengan rasminya sudah mengisytiharkan diri sebagai ahli PAS. Katanya jika tidak kecederaan lutut yang dihadapinya tahun 70an dahulu, sudah tentu beliau akan mewakili Malaysia ke sukan Olimpik di Mexico.

Selesai sesi taaruf, aku terus meluncur laju meninggalkan halaman surau yang semakin kusam dengan kunjungan. Isteriku serta dua adikku sudah awal-awal lagi berada di dalam kereta untuk beredar ke tempat rombongan berkumpul. Namun mereka tidak akan ikut sama.

Aku menyertai rombongan bas yang didermakan khas oleh tauke bas ekspres Adik-beradik untuk peserta bersih. Kami yang terdiri dari berbagai lapisan umur naik dari Kg Losong Atap Zink. Wanita juga turut serta dalam rombongan ini. Ukiran semangat terbentuk begitu jelas pada raut wajah setiap ahli rombongan. Semuanya ada 4 bas, dan bas ku yang terakhir bertolak. Mataku sempat mencuri pandang gelagat seorang ibu yang mencium dahi anak lelakinya yang bakal ikut menyertai kami. Titisan jernih yang mengalir dipipi beliau jelas menandakan kecekalan jiwanya melawan gelora syahdu hatinya. Ibu mana yang inginkan anak mereka diapa-apakan. Namun dek kerana tuntutan agama, si ibu sanggup melepaskan anaknya itu, persis ibu palestin yang bangga membesarkan anaknya hanya untuk melihat mereka keluar berperang dengan Israel durjana.

Kami meneruskan perjalanan membelah bumi Malaysia dari pantai timur ke barat daya dalam pekat langit malam. Semuanya berjalan mengikut apa yang diatur. Kira-kira setengah jam selepas bas bertolak, aku sudah berada di alam mimpi hinggalah sedar tak sedar, berada di hentian Karak yang hanya berbaki setengah jam perjalanan sebelum smapia ke destinasi.

Kami berhenti di situ kira-kira jam 6.15 untuk menunaikan solat Subuh. Aku antara yang paling akhir keluar. Kelihatan rombongan berduyun-duyun menuju masjid. Alangkah indahnya suasana itu. Disaat selimut empuk begitu manja memanggil, surau itu memuntah limpahan manusia sehingga solat berjemaah terpaksa di lakukan beberapa kali.

Teringat kisah yang aku baca berkenaan seorang tentera Israel yang lalu di sebuah masjid. Sejurus menjenguk ke dalam masjid, tentera tersebut tersenyum puas dengan katanya: “Islam akan menang jika bilangan orang yang solat subuh di masjid bersamaan dengan bilangan sembahyang Jumaat, nampaknya bilangan mereka amat sedikit. Mustahil kami akan akan kalah.”

…………………….

Kami tiba di Bandaraya Kuala Lumpur lebih kurang jam 7.15 pagi. Bandaraya itu menjemput kami dengan dengan hamparan kesunyian, mungkin kerana hari itu adalah hari cuti. Kami diturunkan di hentian PWTC. Setelah sedikit taklimat dari pemandu bas, rombongan berpecah membawa haluan masing-masing kerana masa himpunan yang dijadual bermula jam 2 petang.

Setelah menelefon Ust Khalil Abdul Hadi tentang jadual program, Aku bersama dua orang lagi rakan mengatur langkah ke Sogo melalui hentian LRT Bandaraya. Kami memilih untuk bersarapan dahulu di kafe mamak CT Selera, tidak jauh dari kompleks Sogo. Rasa teruja bila melangkah masuk ke kedai itu kerana rata-ratanya berpakaian kuning, bertubung labuh dan berserban, dan lebih mengujakan riuh rendah suasana kafe itu dimonopoli oleh dialek pantai timur, samada Kelantan atau Terengganu. Rupa-rupanya mereka terlebih dulu sampai ke sini, mungkin sejak semalam.

Roti telur bersama The O panas yang dipesan telah terhidang, tanpa menunggu lagi aku terus melahap juadah tersebut sementara dua rakanku lagi menikmati nasi lemak KL. Ternyata lidah mereka masih ‘ketimuran’ untuk menerima nasi lemak itu kerana asyik merungut tentang kepedasan sambalnya. Ya lah, Bukan sahaja Kelantan, Terengganu sendiri pun terkenal dengan makanan manisnya.

Selesai mengerjakan juadah itu, kami membuat keputusan untuk menuju ke Sogo, namun terhalang apabila terdapat sekawan polis sedang berkumpul berdekatan bangunan Sogo. Kelihatan juga ramai kelibat manusia bukan warga KL yang menuju ke arah kami, mungkin kerana dihambat polis. Aku tidak mahu mengalah. Sementara sahabat-sahabat yang lain sedang sibuk berbual dengan kenalan yang terserempak dengan mereka, perlahan-lahan aku mendekati bangunan Sogo itu sehinggalah berjaya menembusi benteng polis yang waktu itu masih di tahap raptai.

Sejurus aku lepasi kawanan polis itu, mereka terus berbaris membentuk benteng manusia melintangi Jalan Raja Laut. Dengan mendabik dada dan memasang kekuda, raut bengis pasukan keselamatan itu jelas terpampang menyebabkan orang ramai mula meluat dengan mereka. Jam baru menunjukkan hampir 9 pagi. Peserta bersih yang tidak sempat melepasi polis untuk ke bangunan Sogo mula mengerumuni benteng manusia itu sebagai tanda protes terhadap apa yang dilakukan. Namun itu semua tidak meninggalkan apa-apa bekas di hati polis yang telah di dog train sempurna.

Akhirnya ada kalangan mereka yang memilih untuk melalui jalan lain walaupun sedikit jauh untuk ke Sogo, yang menghubungkan mereka dengan Dataran Tahrir. Ada yang melalui Jalan Tunku Abdurrahman di belakang Sogo, ada yang memilih untuk menggunakan LRT, tidak kurang juga ada yang masih mengadap polis-polis itu dengan harapan benteng itu akan terburai dek kebanjiran manusia yang semakin lama semakin memenuhi lokasi itu.

Kini aku keseorangan kerana terpisah dengan rakanku yang lain. Perasaan cemas mula singgah pabila mataku melirik ke langit Kuala Lumpur, bimbang aku tersesat dalam kesibukan kota durjana itu. Megah bangunan yang terpacak memaut kaki langit sehingga menghalang cahaya mentari untuk menyentuh bumi. Kuala Lumpur menambah seriau hatiku. Aku tidak biasa keseorangan dengan kota besar ini. Hanya kerana fikirkan kami (peserta BERSIH) adalah datang membawa misi yang sama, aku sedikit lega.

Jam 10 Pagi, Sogo dibuka, aku yang masih kehilangan punca ini terus meluru masuk ke Sogo, sementara 
menanti jam 2 dengan harapan dapat bergerak je Dataran yang tidakku ketahui mana arahnya. Hampir sejam di Sogo, akhirnya ku terima mesej dari rakanku menyatakan orang ramai telah berkumpul dihadapan menara DBKL. Tanpa berlengah lagi aku terus menuju ke sana. Peserta bersih yang masih ramai di dalam Sogo langsung tidak kupedulikan.

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN II...
*IKUTI KISAH SELANJUTNYA DAN BANYAK LAGI PERKONGSIAN DARI RAMAI LAGI LAPISAN RAKYAT DAN PESRTA BERSIH DENGAN MENDAPATKAN BUKU TRAVELOG BERSIH 3,0; MELIRIK LANGIT KOTA HARI INI...HUBUNGI 0148413672...CEPAT SEBELUM TERLAMBAT!!!

Thursday, March 15, 2012

KENAPA AMERIKA INGINKAN SYRIA?

Sekali fikir, agak pelik apabila Amerika dan kuasa besar dunia bersusah payah mengheret isu Syria ke serata tempat sehingga membawa kepada penggunaan veto. Apa faedah yang mereka akan peroleh jika Syria jatuh ke tangan mereka? Sekadar sebagai penggerak PBB, Amerika dilihat begitu optimis menangani isu ini seolah-olah ingin memihak kepada pemberontak yang ingin menggulingkan kerajaan sedia ada. Resolusi PBB yang dibatalkan Rusia dan China tidak mematahkan usaha kuasa besar itu untuk mencapai hasrat jahatnya.

Umum mengetahui bahawa Gaddafi merupakan orang paling dibenci Amerika dan sekutunya disebabkan pendiriannya yang tidak tunduk pada kemahuan kuasa besar itu. Tidak hairanlah pakatan NATO begitu komited untuk menjatuhkan pemerintah. Adapun Syria, faktor-faktor zahirnya tidak memberikan sebarang keuntungan buat negara kapitalis materialistik  itu. Ini kerana:



1. keluasan tanahnya hanya 185,180 km2, (ranking ke-89 dunia), jauh lebih kecil dari Mesir (1,002,000), Saudi (2,149,690), Iraq (438,317) dan Malaysia (330,803). Majoriti tanahnya pula adalah padang pasir yang tidak sesuai untuk bercucuk tanam atau didiami.

2. Populasi rakyatnya jauh lebih sedikit kerana tidak semua tanah boleh didiami. Anggaran penduduknya adalah 22,717,417 dengan kepadatan 118.3/km2 (tangga ke-94 dunia). Berbanding Malaysia yang mempunyai penduduk seramai hampir 29 juta orang (tidak termasuk warga Nepal, Bangla yang sengaja diberi kerakyatan untuk mengundi), kepadatannya hanya 86/km2 (ranking ke-114). Analogi mudahnya, Syria sebuah banglo sembilan bilik yang didiami 9 orang. Namun kesembilan mereka hanya tinggal dalam sebuah bilik yang sama (sardin). Malaysia pula ibarat banglo 20 bilik dengan 20 orang yang mendiami. Kesemua bilik didiami tiap-tiap mereka.

3. jalur perdagangan yang tidak strategik. Walaupun dahulu Damsyik merupakan pusat perniagaan tumpuan Rom, Arab dan Parsi disebabkan kedudukannya ditengah-tengah empayar tersebut, hari ini corak perdagangan yang lebih menggunakan laluan laut amat tidak menyebelahi Syria. ini kerana perairannya hanya sedikit di wilayah Lattakia yang terletak di Timur Laut Mediterranean. Ianya tidak menghubungkan pedagang utama dunia iaitu China, Amerika, India, Eropah barat dan Jepun.

4. Hasil buminya juga tidak sekaya negara arab lain. Daripada pengeluaran petrol hampir 600,000 barel sehari sejak 1995, ia menyusut sehingga hanya 425,000 barel sehari pada 2005 dan mungkin akan terus menyusut menjelang 2015. (berbanding Malaysia, 693,000 barel dihasilkan setiap hari pada tahun 2009). Kandungan sulfurnya juga agak tinggi. Walaupun petrol dan gas masih menjadi sumber ekonomi utama Syria, masih tidak berbaloi untuk Amerika mendapatkannya atas tujuan tersebut semata-mata berbanding Mesir (680,500 bbl/d), Libya (1,790,000 bbl/d) dan Saudi (8,800,000 bbl/d). Dengan kepadatan yang dimilikinya pula, amat sedikitlah syer mereka kepada dunia (0.48%)

5. Sumber kedua bagi Syria adalah hasil pertanian. Syria menjuarai pengeluaran zaitun dunia. Namun zaitun bukanlah produk penting pemakanan manusia dan selain itu, produk pertanian hanya mencukupi untuk dieksport ke negara arab lain kebanyakannya.

6. Faktor geografi juga tidak menyebelahi Syria. Sistem empat musimnya yang tidak mesra pengunjung membataskan pergerakan dan pertumbuhan dari sudut pelancongan, tarikan pelaburan, kesihatan dan keselamatan. Musim sejuknya mampu menurun sehingga bawah paras negatif dengan tiupan angin kencang yang mampu menjejaskan kesihatan dalaman manusia. Walaupun suhu di Eropah lebih rendah, namun sejuk di Syria amat mengancam kerana angin tajam yang bertiup itu (penduduk UK sendiri mendakwa cuaca sejuk Syria terasa lebih menyucuk berbanding UK). Musim panasnya pula adalah tersangat panas sehingga mampu mencecah 50 darjah celcius di siang hari. Ditambah dengan kekeringan yang melampau, tubuh manusia memerlukan kandungan air yang banyak untuk terus survive di sana.

Namun begitu, dari sudut politik pula terdapat banyak faktor mengapa ianya menjadi target seterusnya Amerika. Antaranya ialah:

1.       Syria didakwa sebagai kilang mujahidin ataupun pusat pengganas dunia. Perkara ini sejak sekian lama dimomokkan termasuk dalam siri-siri filem Hollywood (senjata Amerika). Sejarah Syria sebenarnya menyimpan khazanah amat berharga dalam peradaban dunia. Selain daripada pernah menjadi pusat pemerintahan Empayar Rom Timur, Khilafah Islamiyyah juga pernah menjadikan Damsyik sebagai pusat pemerintahan mereka. Maka lahirlah cendikiawan dan pemikir islam yang tulen seperti Imam Nawawi, Ibnu Kathir, Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali. Di era moden pula, ramai pejuang islam  yang lahir dari sana seperti Mustafa Masyhur, Sayyid Hawa, Syeikh Izzuddin al-Qassam, Syeikh Ali Tantawi, Dr Wahbah Zuhaili, Ali AsSobuniy serta ramai lagi. Ianya menjadi pusat pengajian agama pilihan ramai negara-negara penentang Amerika seperti Pakistan, Rusia (Chechnya), Lubnan, Iran.

2.       Pendirian kerajaan Syria yang menyokong perjuangan HAMAS amat merisaukan Amerika. Ditambah dengan wujudnya pengkalan politik HAMAS di Syria, ia menandakan hubungan baik mereka mampu mengancam Israel. Pelarian Palestin juga diberi keistimewaan sehingga diberi sebuah kawasan khas yang diberi nama Palestin untuk rakyat Palestin di pinggir kota Damsyik.

3.       Selain HAMAS, Iran juga merupakan sahabat baik Syria. Rakyat Iran khususnya penganut Syiah boleh masuk begitu mudah ke Syria untuk menunaikan Ibadah mereka. Umum mengetahui ancaman Iran dan projek Nuklearnya yang dahsyat. Diberitakan Iran dan Hizubullah Lubnan tidak  putus-putus membantu kerajaan Syria menentang pemberontakan.

4.       Rakyat Iraq yang datang berlindung ke Syria juga menjadi masalah buat Amerika. Ada diantara mereka merupakan pesalah berbahaya yang diburu. Pada perang Amerika ke atas Iraq tahun 2002, Syria membuka seluas-luasnya sempadan untuk pelarian Iraq berlindung di sana.

5.       Kedudukan Syria yang berjiran dengan Israel juga mengancam keselamatan sekutu Amerika itu. Ianya dipisahkan oleh wilayah kontroversi Bukit Golan yang menjadi punca perbalahan Israel-Syria sejak sekian lama. Polisi Syria juga yang tidak mengiktiraf malahan memusuhi Israel cukup untuk membuatkan Israel tidak tidur lena berjiran dengan Syria.

6.       Syria kaya dengan air mineral bersih. Sumbernya adalah dari sungai Furat yang turut merintangi Iraq dan Turki. Cukup untuk mengairi keseluruhan tanah Palestin dan tanah haram Israel. Jordan juga menikmati air daripada ihsan Syria.

7.       Kedudukannya yang berada ditengah-tengah negara-negara arab dan negara yang tidak sehaluan dengan Barat. Utaranya dipagari Turki, timurnya Iraq, dan baratnya adalah Lubnan.

8.       Mengikut dokumen rancangan penubuhan Israel Raya, Syria merupakan sebahagian daripada tanah-tanah tersebut selain Iraq, Mesir Jordan dan Pelstin sendiri. Israel Raya adalah rancangan penubuhan sebuah entiti negara milik Zionis dimana tanahnya adalah diantara sungai Nil dan sungai Furat.


Dari sudut ekonomi pula, rakan dagangan Syria merupakan China. Dengan krisis ekonomi negara-negara kapitalis hari ini, China dilihat sebagai sebuah kuasa besar masa depan yang akan menggantikan Amerika. Lihatlah, dimana-mana pun pasti akan ada produk dari China. Jenama-jenama antarabangsa pun semakin banyak membuka kilang di China.

Syria juga mengamalkan dasar ekonomi komunis/sosialis. Oleh sebab itu China yang paling malas menggunakan kuasa veto di PBB pun melakukannya dalam isu Syria ini. Menjatuhkan Syria merupakan antara jalan terbaik untuk mengekang pengaruh China.

Umat islam perlu sedar, walaupun Syria tidak banyak membantu agama Islam, namun akibat jika negara tersebut jatuh ke tangan rejim Barat amat besar ke atas agama islam. Musuh akan bertambah kuat, pertahanan mereka juga akan semakin mantap. Sebab itulah isu Syria harus diendahkan oleh semua muslim. Perlu ada kumpulan yang memastikan politik Syria kelak tidak lagi dimonopoli anak didik fahaman barat.

Bagi penulis pula, masa depan Palestin amat berkait rapat dengan politik Syria. Tiada guna berdemo dan memperjuangkan hak rakyat Palestin habis-habisan andai isu Syria dipandang hanya sebelah mata. Dengan era kebangkitan islam di Mesir, Tunisia dan Libya ini, perlu ada kesinambungannya di Syria. Jangan pula kemenangan rakyat nanti dirampas anjing barat lalu menjadi pematah aspirasi kebangkitan arab. Wallahualam

Tuesday, February 21, 2012

ISRAEL JUGA BERHAK

Bukan ingin membela sesiapa, bukan jua ingin membidas mana-mana pihak. Artikel ini ditulis hanya untuk perkongsian ilmiah tentang isu Palestin. Umum mengetahi isu Palestin adalah isu sejagat dan isu agama. Ia bukan isu hak asasi, ia bukan isu bangsa, bukan isu politik semata-mata.

Dalam mengambil tahu isu negara Israel/Palestin, kita mestilah mengetahui akan kedudukannya mengikut sejarah dan syariah

HAK TANAH QUDS MENGIKUT SEJARAH

Israel adalah nama gelaran Nabi Yaakub AS (rujuk bidayah wal nihayah: Ibnu Kathir). Dialah bapa keturunan Bani Israel. Dan semua nabi-nabi bermula dari Adam AS hinggalah Muhammad SAW membawa akidah kepercayaan yang satu, iaitu beriman dengan keenam-enam rukun iman walaupun rukun islam dan syariat mereka berbeza.

Yahudi pula adalah keturunan Nabi Yaakub yang dipimpin oleh Nabi Musa AS dengan Taurat sebagai kitab panduan. Merekalah yang pada awalnya diberikan hak untuk membebaskan bumi al-Quds dari kekufuran dan syirik khurafat manusia sebelumnya.

Namun setelah itu mereka kembali kufur kepada Allah SWT. Arahan supaya keluar berjihad tidak diendahkannya. Maka Allah menghukum mereka dengan mengusir dari bumi al-Quds selama 40 tahun lalu generasi mereka mati dalam tempoh pengusiran tersebut termasuk Nabi Musa AS.
Ceritanya terkandung dalam Friman Allah SWT:

وإذ قال موسى لقومه يا قوم اذكروا نعمة الله عليكم إذ جعل فيكم  أنبياء وجعلكم ملوكاً وآتاكم ما لم يؤت أحداً من العالمين http://www.islamdoor.com/k/mid-icon.gif يا قوم ادخلوا الأرض المقدسة التي كتب الله لكم ولا ترتدوا على أدباركم فتنقلبوا خاسرين http://www.islamdoor.com/k/mid-icon.gif قالوا يا موسى إن فيها قوماً جبارين وإنا لن ندخلها حتى يخرجوا منها فإن يخرجوا منها فإنا داخلون http://www.islamdoor.com/k/mid-icon.gif قال رجلان من الذين يخافون أنعم الله عليهما ادخلوا عليهم الباب فإذا دخلتموه فإنكم غالبون وعلى الله فتوكلوا إن كنتم مؤمنين http://www.islamdoor.com/k/mid-icon.gif قالوا يا موسى إنا لن ندخلها أبداً ما داموا فيها فاذهب أنت وربك فقاتلا إنا هاهنا قاعدون http://www.islamdoor.com/k/mid-icon.gif قال رب إني لا أملك إلا نفسي وأخي فافرق بيننا وبين القوم الفاسقين http://www.islamdoor.com/k/mid-icon.gifقال فإنها محرمة عليهم أربعين سنة يتيهون في الأرض فلا تأس على القوم الفاسقين 
20.  Dan (Ingatlah) ketika Musa Berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika dia mengangkat nabi nabi diantaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorangpun diantara umat-umat yang lain".
21.  Hai kaumku, masuklah ke tanah Suci (Palestina) yang Telah ditentukan Allah bagimu[409], dan janganlah kamu lari kebelakang (karena takut kepada musuh), Maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.
22.  Mereka berkata: "Hai Musa, Sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah Perkasa, Sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. jika mereka ke luar daripadanya, pasti kami akan memasukinya".
23.  Berkatalah dua orang diantara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah Telah memberi nikmat atas keduanya: "Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, Maka bila kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. dan Hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman".
24.  Mereka berkata: "Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasuki nya selama-lamanya, selagi mereka ada didalamnya, Karena itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, Sesungguhnya kami Hanya duduk menanti disini saja".
25.  Berkata Musa: "Ya Tuhanku, Aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu".
26.  Allah berfirman: "(Jika demikian), Maka Sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu."
27.  Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang Sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, Maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). ia Berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah Hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa".

[409]  Maksudnya: tanah Palestina itu ditentukan Allah bagi kaum Yahudi selama mereka iman dan taat kepada Allah.

Setelah tempoh itu mereka kembali beriman di bawah pimpinan Nabi Yusha` dan sekali lagi tinggal di sana. Padanya di utus Nabi Daud Sulaiman dan ramai lagi. Namun Bani Israel seringkali mengingkari Nabi-nabi mereka.

Sehinggalah dibangkitkan pula Nabi Isa AS membawa syariat Nabi Musa, malangnya mereka ditentang kerajaan Bani Israel yang berkuasa tatkala itu. Berjuanglah baginda menegakkan akidah islam bersama hawariyyun sehingga baginda di angkat ke langit. Maka berleluasalah kekufuran dan terselewenglah ajaran islam kerana menganggap Nabi Isa anak tuhan pasca pengangkatannya ke langit oleh Allah SWT. Hari ini mereka menggelar ajaran tersebut sebagai Kristian.

Setelah lama diperintah ahli kitab, Umar Ibn Khattab sekali lagi mengembalikan Bumi al-Quds dibawah takhta islam. Bermula itulah berlaku perebutan dengan tentera Salib dari Eropah (Rom) sebelum Zionis semenjak 1897 turut serta merebutnya dari umat islam dengan pakatan licik bersama tentera salib.
Hinggalah ke hari ini, usaha zionis itu berhasil sudah.

Sebenarnya palestin didiami oleh suku sakat berbangsa arab. Nama Palestin diambil sempena nama golongan Filastiniyyun dari kaum Kanaaniyyun. Merekalah penduduk asal sebelum Bani Israel.

HAK TANAH QUDS MENGIKUT ISLAM

Ianya bumi kiblat pertama umat Nabi Muhammad SAW sebelum diubah ke Makkah. Nama al-Quds adalah bermakna ‘yang suci’. Masjid al-Quds adalah tempat ibadat ketiga kepada umat islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sabda Rasulullah:

"لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، ومسجد الرسول صلى الله عليه وسلم، ومسجد الأقصى."

Ianya ditambah lagi dengan rangkaian sumpah Allah SWT dalam surah AtTiin

"والتين والزيتون وطور سينين وهذا البلد الأمين"

1.  Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun (Merujuk kepada pengikut Injil/Kristian),
2.  Dan demi bukit Sinai (merujuk kepada pengikut Taurat/Yahudi),
3.  Dan demi kota (Mekah) Ini yang aman (Merujuk kepada pengikut Quran/Islam),

Menjadi kewajipan bagi sekalian umat islam mempertahankan tanah suci tersebut dalam apa jua bentuk sekalipun sebagaimana dipertahankan bumi Makkah. Tidak kira bangsa arab, melayu, cina mahupun bani israel sekalipun wajib menegakkan pemerintahan islam disana.

Diperintahkan Musa membawa Bani Israel masuk adalah untuk membebaskan bumi tersebut dari kekufuran. Tatkala mereka tidak lagi beriman, mereka kembali diusir. Dan mereka pulang ke Palestin kali kedua setelah beriman di zaman Yusha`.

KEDUDUKAN SEKARANG.

Gerakan licik Zionis (Pakatan sesat Yahudi dan Kristian) dengan memperalatkan kuasa besar dunia telah berjaya menjajah al-Quds dan merampas keamanan dari umat islam. Dengan menggunakan sekutunya Amerika, Israel telah ‘menyucikan’ perbuatan mereka dengan memperalatkan PBB. PBB sendiri ditubuhkan untuk mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Lalu dengan berbagai alasan termasuklah memutar belit al-Quran, mereka menyatakan bahawa Palestin adalah bumi asal mereka. Lalu menamakan seluruh tanah terbabit dengan nama ISRAEL, kecuali GAZA dan TEBING BARAT yang diberikan hak autonomi kepada kerajaan Palestin, masing-masing ditadbir oleh parti HAMAS dan Fatah(PLO).

HAK SEBENAR

Samada dari sudut sejarah terawal ataupun syariah, Palestin bukan lagi milik Yahudi dan mereka harus keluar dengan dosa-dosa mereka.

Quran menegaskan hak Palestin hanyalah untuk orang beriman dan bukan hak sesebuah keturunan, bangsa,kaum mahupun hak kependudukan asal. Selagi mana seseorang itu beriman, Palestin adalah hak mereka.

Mengikut hak penduduk terawal pula, ternyata kaum Bani Israel bukanlah bangsa terawal menemui tanah Palestin. Mereka masuk setelah diarah oleh agama islam.

Maka jelaslah kita bahawa Palestin bukan milik Yahudi dalam apa jua keadaan sekalipun dan ia mesti dikembalikan kepada umat islam yang asal. Samada dari segi Undang-undang antarabangsa ataupun syariat islam, Israel tetap bersalah.

JIKA ISRAEL BERUNDUR DARI PALESTIN, KE MANA HALUAN MEREKA?

Samada Israel berundur atau diundurkan, mereka harus mendapat hak untuk mendiami mana-mana tempat sebagai ganti. Langkah yang perlu diambil adalah:
1.      Menghadapkan penguasa Israel ke mahkamah antarabangsa atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan.
2.       Harus berundur dari tampuk pemerintahan Palestin
3.       Yahudi keseluruhannya harus keluar dari Bumi Palestin.
4.       Jika Yahudi memeluk islam, mereka perlu diberikan hak untuk tinggal di Palestin tanpa menafikan hak pemilikan umat islam terdahulu.
5.       Yahudi yang tiada kaitan dengan jenayah kemanusiaan haruslah dikembalikan ke tempat asal mereka (Jika datang dari Jerman, kembali ke Jerman.)
6.       Jika mereka merupakan generasi yang berasal usul dari Palestin (lahir di Palestin) ataupun muslim asal yang telah diyahudikan, mereka boleh terus tinggal di Palestin walaupun tidak menganut Islam.
7.       Harus bagi kita mengiktiraf kerajaan yang ditubuhkan israel di tanah selain Palestin (Jika cukup syarat yang ditetapkan PBB).

Walaupun umat islam diberitahu oleh Nabi bahawa Yahudi tidak akan selama-lamanya redha terhadap kita, ianya bukan bermakna kita patut melayani mereka seperti binatang dan menafikan hak mereka sebagai seorang manusia. Keadilan islam harus dipamerkan samada dalam bentuk cadangan, resolusi mahupun apa jua perjanjian.

Ianya bukan bermakna kita tidak mempercayai peringatan Nabi bahawa keamanan hanya akan dicapai dengan terbunuh Yahudi seta dajal ditangan tentera Nabi Isa, tetapi untuk menunggu saat itu kita haruslah berahlak dan berpolitik mengikut acuan islam terhadap setiap orang.

Ambil iktibar dari peristiwa perjanjian Hudaibiah. Walaupun Rasulullah tahu pihak Quraisy akan memungkiri janji, baginda tetap memeterai perjanjian bersama. Ini yang disebut sebagai Siasah Syar`iyyah.

Yang salah tetap dihadapkan ke mahkamah. Namun yang tidak bersalah tidak patut dinafikan hak mereka. Melindungi hak Yahudi itu perlu, jika mereka ingin menubuhkan negara israel pun harus dihormati, akan tetapi bukan dengan mengiktiraf Negara Israel di bumi Palestin.

Itulah keadilan sebenar dan itulah hak asasi manusia sebenar. Mengiktiraf kerajaan Israel di bumi Palestin sebenarnya menafikan hak asasi orang Palestin.



Sumber:
Al-Quran
Hadith
bidayah nihayah – Ibn Kathir
Palestin – dari perampas jalanan ke peta jalanan - DS TG Abdul Hdi Awang

Sunday, February 12, 2012

Jangan lawan arus, jangan ikut arus, tapi pandulah arus (Perutisan sempena Hari Kekasih).


Jangan terkejut! Post ini bukanlah menyokong perayaan hari valentine yang bakal disambut 14 Februari ini seluruh dunia. Ianya sekadar mengambil semangat anak-anak muda yang sedang dalam mood perayaan tersebut kebanyakannya. Dengan pendekatan terbuka yang telah berjaya menambat ramai golongan muda untuk menyintai cara hidup islam ini, ramai pendakwah yang berlumba-lumba menggunakan method ini. Alhamdulillah, penulis kira ini satu revolusi baru dalam dunia dakwah moden.

Jika dulu zanji (yang tiada diamalakan zaman nabi) menjadi pendekatan ulama` untuk menarik golongan muda menghayati perayaan Maulidur Rasul, kini penghayatan tersebut sudah tidak berkesan lagi. Orang muda sudah tidak meminati zanji marhaban ini. Perlu ada satu cara bagaimana untuk orang muda terus menghayati bulan Maulidur Rasul ini. Mungkin dengan muzik, lakonan, jenaka, auta fakta boleh menarik minat mereka.

Namun begitu, keterbukaan ini memerlukan persiapan ilmu yang cukup mantap. Sedarlah bahawa ini sebenarnya membawa pendakwah ke tepian perigi. Silap haribulan mungkin boleh jatuh terjerumus. Bak sabda Rasulullah:

"إن الحلال بيِّن، وإن الحرام بيِّن، وبينهما أمورٌ مشتبهاتٌ لا يعلمهن كثيرٌ من الناس، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه" – البخاري ومسلم

Perkara halal dan haram itu jelas. Dan diantara keduanya terdapat perkara syubuhat yang tidak diketahui hukumnya oleh manusia kebanyakan. Dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara kesamaran itu seolah-olah terjerumus ke lembah haram. Seperti pengembala yang membawa binatang ternakan makan di tepi kawasan larangan, kemungkinana besar ternakan tersebut telah makan tanaman dari kawasan larangan tersebut.

Begitulah daie. Sesungguhnya hari ini golongan muda terlalu terikat hati mereka dengan keseronokan dunia yang kebanyakannya tiada dibenarkan dalam islam. Namun di sana masih terdapat ruang keseronokan yang halal bagi manusia, cuma perkara tersebut tidak begitu jelas hukumnya. Menjadi tugas para daie untuk menghilangkan kesamaran tersebut dengan menentukan hukumnya menurut ilmu yang sahih dan nas yang tepat.

Contohnya hiburan muzik. Dulu muzik adalah antara syubhah yang patut dijauhi kerana banyak nas yang seolah mengharamkan walaupun ada juga nas yang membenarkan. Namun apabila hari ini muzik menjadi daya tarikan golongan muda mudi, ianya perlu digunakan sebagai senjata dan alat para duat. Muzik itu perlu dihalusi hukumnya. Perlu dicari dimana larangan dan kebenaran yang dimaksudkan syarak. Maka menghilangkan syubhah daripada muzik menjadi kewajipan para agamawan hari ini demi pembelaan islam.

Begitulah juga soal kasih sayang. Jika dahulu kasih sayang dan cinta hanya difokuskan untuk tuhan dan rasulnya, dengan menganggap cinta makhluk adalah cinta fana, hari ini cinta makhluk juga perlu diperhalusi. Mood muda mudi kini didorong dengan fitrah ingin berkasih sayang dan barat telah berjaya menyantuninya dengan Valentine`s Day. Maka berlakulah penyelewengan fitrah, kasih yang dibina adalah kepada yang tidak halal, cinta mereka songsang, dan hati mereka semakin jauh dengan Pemilik Segala Hati.

Lebih parah lagi apabila agamawan turut melabelkan fitrah tersebut sebagai haram. Maka memberontaklah perasaan manusia dan terus menolak cara hidup islam kerana tidak bertepatan dengan keinginan mereka. Ada yang sewenang-wenangnya melabelkan couple haram, bersosial itu adalah keruntuhan akhlak tanpa mengkaji apa maksud sebenar perkataan tersebut.

Couple adalah bermaksud pasangan. Dalam bahasa arab ianya disebut Zauj (زوج). Quran tidak pernah menafikan couple dalam ertikata ini bahkan menyokong dan menjadikannya syarat untuk hidup bahagia di dunia. Begtu banyak ayat yang menunjukkan pengharusan couple ini namun cukuplah penulis bawa 2 ayat ini sebagai renungan:
ومن كل شيء وخلقنا زوجين لعلكم تذكرون (الذاريات:49)

“Dan daripada setiap sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan moga-moga kamu beringat”
Firman Allah lagi:

مِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (الروم:21)
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

bersosial pula adalah hidup bermasyarakat dan bergaul. Ianya bukan mengikut fahaman segelintir agamawan yang mengatakan sosial itu adalah pergaulan bebas tanpa mahram. Sosial itu dituntut, tapi pergaulan bebas itu yang ditegah. Ianya dipanggil masalah sosial. Jangan disalah ertikan istilah ini sehingga boleh menyebabkan islam dilabel kolot dan tidak universal.

Pengharusan sosial dipetik dari firman Allah SWT:

يآأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا (الحجرات:13)

“Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbagai bangsa dan kaum untuk kamu saling mengenali.”

Namun couple dan bersosial. mestilah mengikut landasan syara`. Couple mestilah berlainan jantina dan diikat dengan pernikahan. Jangan fikir kahwin itu susah. Yang wajib hanya keredaan kedua pihak melalui lafaz ijab kabul dan restu bapa pihak wanita. Mas kahwin cukup sekadar barang yang mempunyai nilai, contohnya cincin RM5. Yang lain hanyalah sunat dan bidaah sahaja.

Jika takut tidak mampu menanggung nafkah, amalkan Nikah Khitbah (Kahwin Gantung). Pasangan masih dalam tanggungan ibubapa masing-masing mengikut persetujuan bersama seperti keadaan sebelum kahwin. Cuma yang membezakan adalah pasangan kekasih terbabit halal untuk bersentuhan dan bebas berkepit ke mana-mana. Mudahkan?

Percayalah! Kahwin muda memang best. Anda akan rasa tenteram, tenang dan sangat berbahagia. Kita bebas untuk dating ke mana saja, bercenderama di bawah siraman cahaya rembulan malam di taman bunga, berduaan memadu asmara di hotel-hotel peranginan, candle light dinner di restoren mewah dan bermacam-macam lagi keseronokan couple tanpa perlu rasa khuatir dicekup atau diperhatikan orang. Dunia bagaikan milik anda berdua sahaja. Bagi yang nikah khitbah, habis berdating, hantar balik isteri ke rumah keluarga mereka. Tiada siapa yang akan menunggu didepan pintu dengan parang panjang atau senapang patah.

Penulis sedar ianya tidak seindah teori. Untuk meyakinkan ibubapa tidaklah semudah yang disangka. Ianya menuntut pergorbanan tinggi dan usaha tanpa henti. Biasalah, dunia. Untuk merasai kemanisan madu pun, perlu merasa perit sengat lebahnya dahulu. Allahlah tempat dipanjatkan doa agar dilembutkan hati ibubapa membenarkan perkahwinan kita.

Bersempena mood golongan muda yang dahagakan kasih sayang di ambang 14 februari ini, murnikan kasih sayang tersebut mengikut landasan islam demi kebahagiaan dunia serta akhirat. Ianya adalah jauh lebih bahagia daripada cinta yang terbabas dari landasan fitrah.

Carilah hari lain untuk meraikan kasih sayang. Tiada guna mengubah nama perayaan. Sepatutnya tarikh tersebut disambut dengan seribu kesedihan mengingatkan nasib kerajaan Andalus yang jatuh ke tangan Kristian dimana watak utamanya dimainkan oleh paderi kesayangan Ratu Issabella, Pedro St. Valentino. Atau setidak-tidaknya tidak dikenang lagi terikh sedih itu.

Barat namakan hari kekasih untuk menutup mata dunia berhubung peristiwa kejam tersebut. Cerita bahawa Valentine dibunuh kerana menetang kerajaan hanyalah rekaan semata-mata. Nama Valentine bukan bermaksud kekasih pun. Dengan menukar maksud Valentine, kekejaman terlindung dengan syiar percintaan. Justeru itu, menukar nama tidak akan menafikan apa-apa selagiv 14 Februari masih dihati.

Sekali lagi penulis ingatkan, dalam meniti di tepian perigi, jangan sampai terjatuh ke dalam. dalam menyantuni arus kemahuan muda-mudi, jangan sampai tergadai prinsip islam.

Jangan lawan arus, kelak kita akan disisih. Jangan pula mengikut arus, nescaya kita akan dihanyut. Tapi pandulah arus, agar terarah ke jalan lurus.

*sejarah Valentine: http://maruwiah.com/category/artikel/april-foolvalentine-day/