Sunday, September 8, 2013

MEMELIHARA PANDANGAN (غض البصر)

SYLLABUS USRAH IDADIE 2
SIRI IV

Memelihara atau menundukkan pandangan disebut didalam bahasa arab sebagai البصر غض. Dari segi bahasa, ia berasal dari kata غَضّ , yang bererti menahan, mengurangi atau menundukkan.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan bahawa, yang dimaksudkan dengan menundukkan adalah menahan pandangan mata dari perkara-perkara yang haram dilihat. Dalil yang memerintahkan manusia agar menundukkan pandangan pada ayat berikut.

Firman Allah taala :

30. Katakanlah kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.
31. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka… [An-Nur:30-31]





Ayat ini antara lain menyebutkan tentang pemeliharaan aurat bagi wanita, yang menjadi punca kepada berlakunya kepayahan untuk si lelaki menjaga mata. Dosa mereka yang membiarkan aurat mereka ditatap adalah lebih besar dari yang melihatnya.

HUKUM YANG MELIBATKAN PANDANGAN MATA

1. Memandang aurat orang lain yang tidak ditutup adalah tidak boleh, samada disertai syahwat ataupun tidak.

2. Memandang lawan jantina dengan tujuan taladzdzudz (memuaskan nafsu) adalah tidak boleh walaupun menutup aurat.

3.Pandangan seketika yang tidak disengaja terhadap lawan jenis adalah dimaafkan.

4.Apabila ada keperluan syar’iyyah atau dharurat maka diperbolehkan memandang lawan jantina dengan sebabmemenuhi keperluan atau dharurat tersebut. Contoh  keperluan syar’iyyah tersebut adalah seperti melamar, bersaksi, mengubati, dan mengajar.

Perlu diingat bahawa hukum-hukum ini tidak hanya dikhususkan bagi yang memandang aurat lelaki, wanita atau perkara yang dilarang ketika berhadapan sahaja, tetapi juga dalam permasalahan media elektronik dan social seperti FB, TV, Majalah, internet dan sebagainya.

HIKMAH MENJAGA PANDANGAN
Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziah telah menyebut dalam kitabnya tentang faedah dan kelebihan memelihara pandangan. Di antaranya :

1. Membersihkan hati dari rasa perit kekesalan kesan daripada memandang perkara yang tidak mampu dimilikinya.

2. Mewarnai hati dengan cahaya (nur) dan sinar yang terang, lalu terzahir pada mata, wajah dan anggotanya.

3. Dapat menajamkan firasat kerana hati tidak melihat perkara yang dilarang.

4. Dapat membuka jalan-jalan dan berbagai pintu ilmu pengetahuan serta memudahkan tercapainya pengetahuan.

5. Memperkuat, memperteguh, dan membuat hati menjadi berani.

6. Menjadikan hati gembira, lapang, jiwa lebih hebat daripada keindahan dan kegembiraan yang terhasil daripada pandangan. Kegembiraan ini adalah atas kejayaan memerangi hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan.

7. Membebaskan hati daripada menjadi tawanan syahwat.

8. Menjadi benteng penghalang daripada pintu neraka jahannam.

9. Menguatkan akal, menambahkan dan menthabatkannya.

10. Menyucikan hati daripada keinginan syahwat dan kelalaian daripada mengingati Allah dan hari akhirat.

Rasulullah S.A.W telah mengingatkan umatnya didalam sebuah hadith:

إن الله كتب على ابن آدم حظه من الزنا ، أدرك ذلك لا محالة ، فزنا العين النظر ، وزنا اللسان المنطق ، والنفس تمنَّى وتشتهي ، والفرْج يصدق ذلك كله ويكذبه
”Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla menetapkan bagi anak Adam bahagiannya daripada zina . Mata berzina, dan zinanya ialah memandang. Dan lidah berzina, dan zinanya ialah berkata-kata. Dan hati bernafsu dan berangan-angan, dan kemaluan (faraj )lah yang akan membenarkannya atau mendustakannya.”
[HR Bukhari dan Muslim]



Oleh itu, sama-samalah kita beramal dengan sifat ini kerana kitalah yang akan memimpin ummah dan menyelamatkan mereka yang mungkin terkapai-kapai kelemasan dek kefasadan yang diundang oleh mereka sendiri. Walaupun perkara ini nampak remeh dan kecil, namun kerosakan yang besar hakikatnya bermula daripada memandang remeh perkara yang kecil.

لاَ صَغِيْرَةَ مَعَ الإصْرَار

Tidak lagi disebut dosa kecil jika (perbuatan maksiat itu) dilakukan terus menerus.
  
Rujukan:
-Raudhatul Muhibbin- Ibnu Qayyim Al-Jauzi
-Fatawa Muasarah, Dr. Yusuf Al-Qardhawi
- Halal dan haram, Dr. Yusuf Al-Qardhawi

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH
MAAHAD DARUL QURAN RUSILA
SESI 2013

TOLONG-MENOLONG (التعاون)

SYLLABUS USRAH IDADIE 1
SIRI IV

Ta’awun  adalah perkataan bahasa arab (تعاون) yang bermaksud tolong-menolong, gotong-royong, bantu-membantu sesama manusia.

Manusia tidak dilahirkan mampu menguruskan keperluan hidupnya tanpa bantuan orang lain. Justeru, secara asasnya manusia memerlukan pertolongan dari orang lain bagi melengkapkan kehidupan mereka.

Pakaian yang kita pakai hasil buatan orang lain. Sayuran, buahan, serta makanan yang kita makan ditanam, dipetik dan dijual oleh orang lain. Dari kecil lagi kita berhajat kepada bantuan orang lain untuk menguruskan diri,dibela, diajar sehingga dewasa.

Firman Allah Taala :

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [Al-Maidah : 2]





  Ayat diatas menunjukkan bahawa tidak semua bentuk tolong-menolong itu baik, melainkan ada juga yang tidak baik. Tolong-menolong yang baik adalah apabila ia menjurus kepada kebaikan dan ketaqwaan sesuai apa yang diajarkan dalam islam. Tolong-menolong dalam masalah dosa dan permusuhan pula termasuk perkara yang dilarang agama. Tolong-menolong bebas dilakukan dengan siapapun (termasuk non muslim).

Sabda Rasulullah SAW:
المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا, ويشبك بين أصابعه
"Mukmin yang satu dengan yang lainnya bagaikan sebuah bangunan yang saling memperkuat antara sebahagian dengan sebahagian yang lain. (Sambil Rasulullah SAW memasukkan jari-jari tangan ke sela jari-jari lainnya) [HR Bukhari dan Muslim]

KONSEP TOLONG MENOLONG DALAM ISLAM

Antara perkara yang termasuk dalam kategori kebaikan (al-birr) adalah :

Seorang yang berilmu membantu manusia dengan ilmunya.
Seorang yang kaya membantu orang lain dengan hartanya.
Seorang yang berani membantu dengan keberaniannya berjuang di jalan Allah swt.
Saling nasihat-menasihati di dalam kebenaran dan kesabaran.
Menghilangkan kesusahan sahabat-sahabat seperti menutup aib mereka, mempermudah urusan mereka, menolong mereka dari orang yang berbuat aniaya, menghibur atas duka cita mereka,mengunjungi ketika sakit.
Mendoakan kesejahteraan mereka.

Sabda Nabi S.A.W :
والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه
Allah akan menolong seorang hamba selagimana hamba itu menolong saudaranya. [HR Muslim]

Saidina Ali KAW pada suatu hari keluar rumah untuk mencari makanan. Beliau cuma ada enam dirham. Dalam perjalanan, beliau terserempak dengan seorang dalam kesusahan yang berkata "Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan yang selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, Saidina Ali memberikan kesemua enam dirham yang dimilikinya itu pada lelaki tersebut lalu pulang dengan tangan kosong.

Fatimah yang melihat suaminya melangkah ke pintu rumah dengan tangan kosong lalu menangis membuatkan Saidina Ali keluar lagi, kali ini untuk berjumpa Rasulullah SAW mengadu nasib. Di tengah perjalanan, beliau terserempak pula dengan seorang badwi sedang menunggang unta.

Badwi itu segera menghampirinya dan menawarkan untanya untuk dijual. Ali pada mulanya tidak mahu membeli kerana tidak punya wang, tetapi orang badwi itu mengizinkannya untuk bayar pada bila-bila masa yang lain setelah memperolehi wang.

Saidina Ali akhirnya bersetuju dan terus membawa unta itu bersamanya. Tidak berapa jauh meninggalkan tempat tadi, datang pula seorang badwi yang lain menghampiri beliau bertujuan untuk membeli unta tersebut. Saidina Ali menjualnya dengan haraga 300 dirham. Sekelip mata saidina Ali berjaya memperoleh keuntungan 200 dirham.

Saidina Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Fatimah menyarankan agar beliau terus berjumpa nabi menceritakan hal terbabit.

Setibanya di masjid, nabi yang sedang beribadah terus tersenyum dan berkata:
"Wahai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Soal nabi memulakan bicara.

Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."

Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan:
"Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham.
"Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."

من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Barangsiapa yang tidak menghiraukan nasib umat islam lain maka dia bukanlah dikalangan umat islam.

Rujukan:
-Tafsir Ibnu Kathir
-Riyadhus Salihin, Imam nawawi

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH
MAAHAD DARUL QURAN RUSILA
SESI 2013

Friday, September 6, 2013

JASMANI YANG KUAT (قوي الجسم)

SYLLLABUD USRAH IDADIE 3
SIRI IV

Jasmani yang kuat ialah mempunyai tubuh badan yang sihat dan cergas.

Kekuatan jasmani tersangat penting buat seseorang yang bernama pejuang agama Allah. Bebanan perjuangan ini amatlah berat sebagaimana Firman Allah SWT:

إنا سنلقي عليك قولا ثقيلا
Sungguh kami akan memberikan keatas kamu kata-kata yang amat berat (kandungan al-Quran)
[al-Muzzammil:5]

Cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka hanya boleh dihadapi oleh mereka yang kuat, dalaman dan luaran secara seimbang.

Sabda Rasulullah SAW:

المؤمن القوي خير وأحب إلى الل من المؤمن الضعيف
"Orang mu`min yang kuat itu lebih baik dan lebih disayangi allah dari mu`min yang lemah." [HR Muslim]
Bermula dari bangun malam untuk qiamullail, solat subuh, berangkat ke sekolah, menghadiri mensyuarat, program, usrah, masjid dan urusan seharian yang lain tentu memerlukan stamina yang tinggi. Masakan boleh kita melakukan itu semua jika kita terlantar di hospital.



Antara disiplin yang wajib dijaga dalam memastikan kesejahteraan badan adalah:

1. Mengawal diet pemakanan
- Diet bukan bermaksud kurang makan, tetapi mengawal pemakanan supaya semua zat yang diperlukan tubuh mencukupi setiap hari.
- Segera makan sejurus bangun tidur malam (dalam 30 minit yang pertama) walaupun sedikit.
- Makan lebih kurang setiap 4 jam.
- Pastikan kita memakan makanan yang seimbang. Tiga nutrisi utama yang diperlukan ialah
• karbohidrat (50%) - nasi, bijirin, buahan dan sayuran.
• protein (30%) – sumber haiwan
• lemak (20%). – kuih muih, biskut.
- Banyakkan minum air mineral/masak.

2. Rehat secukupnya
- Rehat terbaik adalah tidur.
- Tidur 6-8 jam sahaja sehari
- Tidak tidur kurang dari dua jam selepas makan.
- Jangan menterbalikkan hukum alam dengan berjaga malam dan tidur siang. Khasiat sejam tidur malam menyamai tiga jam di siang hari.
- Tidur berlebihan akan menyebabkan malas, lapar, dan mudah sakit.

3. Riadhah yang teratur
- Riadhah baik untuk si kurus atau gemuk untuk mengembalikan berat badan yang ideal.
- Sebaik-baiknya riadhah seperti jogging 3 kali seminggu, 30-45 minit sekali bagi yang sihat, atau 15-25 minit bagi yang kurang berat badan. Boleh juga dibuat setiap hari dengan 10-15 minit sekali.
- Sentiasa melakukan senaman regangan otot/streching.
- Riadhah yang berlebihan pula akan menyebabkan keletihan sehingga tidak mampu melakukan aktiviti lain.

4. Mempelbagai bentuk aktiviti harian seperti banyakkan berjalan, menggunakan tangga, tidak tidur pagi, berqailulah, berpuasa, berkebun, mengemas rumah, berziarah, mempelajari seni beladiri dan banyak lagi.

Tubuh badan umpama sebuah kenderaan berenjin. kita perlu sentiasa menukar minyak hitam, memanaskan enjin terlebih dahulu, mengisi bahan bakar secukupnya, menukar tayar,rantai/timing belt dan sebegainya.

Jika sesuatu kenderaan itu tidak mengikut disiplin ini, ia tidak mampu bertahan lama.

Hari ini ramai manusia yang jatuh sakit bukan kerana serangan musuh, bukan sangat kerana bencana alam, tetapi yang memalukan adalah kerana diri mereka sendiri yang tidak mengawal makan, tidak rehat secukupnya, tidur berlebihan atau tidak pernah bersukan!

Tubuh badan adalah amanah Allah, perlulah kita bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan, dan haram sekali-kali kita membiarkan diri ini sakit dan binasa.

Firman Allah SWT:

ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة
Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan. [al-Baqarah:195]



Sumber:
Internet
Wasoya al-Tabib
Khuttah al-Barraqah ; Dr Solah Abdul Fattah al-Kholidi

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH
MAAHAD DARUL QURAN 
SESI 2013

KONSEP JIHAD (ماهية الجهاد)

SYLLABUS USRAH THANAWI 1
SIRI 4

PENGERTIAN JIHAD

Jihad berasal dari perkataan جُهْدُ  dengan maksud kepayahan atau جَهْدُ  dengan maksud kekuatan. Dari segi istilah pula jihad adalah merangkumi setiap perbuatan yang dilakukan secara bersungguh memerah keringat demi matlamat menegakkan agama islam.

Asas kepada kewajipan jihad adalah untuk memelihara perjalanan dakwah.

DALIL WAJIB BERJIHAD

1. Firman Allah SWT:

وجاهِدوا فى الله حق جهاده
Dan berjihadlah di jalan Allah dengan sebenar-benar jihadnya. [al-Hajj:78]

2. Firman Allah SWT:



إنما المؤمنون الذين آمنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجاهدوا بأموالهم وأنفسهم في سبيل الله أولئك هم الصادقون
Hanyasanya oranh yang yang benar-benar beriman itu adalah mereka yang yakin kepada Allah dan rasulNya, kemudian tiada sangsi dalam imannya, dan berjihad dengan harta dan nyawa mereka ke jalan Allah. Merekalah orang-rang yang benar. [al-Hujurat:15]

3. Sabda Rasulullah SAW:

جاهدوا الكفار بأيديكم وألسنتكم
Berjihadlah keatas orang kafir dengan tangan dan lidah kamu [HR Ahmad]

4. Kita telah mempelajari bahawa berdakwah itu adalah wajib kepada semua golongan termasuk penjenayah, kerajaan, pelaku maksiat dan sebagainya. Sudah tentulah akan ada mereka yang tidak senang dengan teguran islam, lalu berusaha untuk menyekat dakwah pan permusuhan akan berlaku. Oleh kerana itu jihad menjadi wajib untuk melawan serangan musuh supaya terus disebar.

GAMBARAN JIHAD ZAMAN NABI.
Secara umumnya perjuangan nabi dalam menyebarkan islam dirangkum secara empat peringkat:

ERA MAKKI
1- Dakwah secara sembunyi; bermula dari wahyu pertama turun sehingga tahun ketiga menjadi nabi. Penyebaran islam hanya dilakukan kepada kaum kerabat terdekat jauh dari pengetahuan umum dan penuh rahsia.

2- Dakwah terang-terangan; bermula dari turunnya ayat فاصدع بما تؤمر وأعرض عن المشركين (Maka terus-teranglah menyampaikan suruhanku, dan jangan pedulikan tentangan musyrikin)[al-Hijr:94] sehingga nabi berhijrah ke Madinah. Apabila umat islam agak ramai, mereka diperintah untuk menyebarkan islam secara terbuka kepada masyarakat sekeliling tetapi tidak dibenarkan melawan musuh yang mengasari.

ERA MADANI
1- Jihad dengan peperangan mempertahankan diri/counter attack; Bermula dari penubuhan negara islam pertama Madinah sehingga peristiwa perjanjian Hudaibiah. Umat islam diizinkan untuk melawan musuh yang menyerang umat islam dan mereka juga diizin untuk menuntut bela ke atas kejahatan yang dilakukan musuh.

2- Jihad melawan sesiapa yang menolak islam; Bermula dari termeterainya perjanjian Hudaibiyah tahun ke-6 hijrah sehingga wafatnya Baginda SAW. Allah SWT mengizinkan supaya umat islam menyebarkan agama ke seluruh dunia dan melawan sesiapa sahaja yang tidak mahu membenarkan islam tersebar.

BENTUK JIHAD DARI AL-QURAN DAN SUNNAH

1. Jihad peperangan – Firman Allah SWT:

كتب عليكم القتال وهو كره لكم
Diwajibkan ke atas kamu pergi berperang, sedangkan ianya amat kamu benci.            [al-Baqarah:216]

2. Jihad di bidang ilmu – Firman Allah SWT:

وما كان المؤمنون لينفروا كافة فلولا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم إذا رجعوا إليهم لعلهم يحذرون
Bukanlah semua orang beriman itu perlu keluar berperang semuanya. Perlu ada bagi setiap kumpulan itu satu golongan, untuk mendalami agama dan terus memperingati kaumnya apabila pulang (dari belajar), moga-moga mereka berawas. [al-Taubah:122]

3. Jihad dakwah dengan lidah – Firman Allah SWT:

وجاهدهم به جهادا كبيرا
Dan berjihadlah dengannya (al-Quran) dengan jihad yang besar [al-Furqan:52]

4. Jihad harta: Firman Allah SWT:

مثل الذين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة والله يضاعف لمن يشاء والله واسع عليم
Bandingan orang menginfakkan harta mereka di jalan Allah seperti seorang yang menanam sebiji benih. Lalu tumbuh darinya tujuh tangkai, setiap tangkai punya seratus biji benih, dan Allah akan mengganda (pahala) bagi siapa yang Dia kehendaki, Allahlah yang Maha Luas Pemilikan lagi Maha Mengetahui.
[al-Baqarah:261]

5. Jihad melawan hawa nafsu – Sabda Rasulullah SAW:

والمجاهد من جاهد نفسه في طاعة الله عزوجل 
Pejuang itu adalah mereka yang berjuang melawan nafusnya untuk mentaati Allah.
[HR Tirmizi]

KELEBIHAN JIHAD

1- Jihad adalah amalan paling afdal selepas amalan Fardu Ain. Pernah Rasulullah ditanya tentang siapakah manusia yang paling baik? Sabdanya: 

مؤمن مجاهد في سبيل الله بنفسه وماله
Orang beriman yang menjadi pejuang di jalan Allah dengan dirinya dan hartanya.
[HR Bukhari & Muslim]

2- Pahala bertambah sehingga kiamat; selamat dari seksa kubur; Sabda Rasulullah SAW:

رباط يوم في سبيل الله خير من صيام شهر وقيامه، وإن مات جرى عليه عمله الذي كان يعمله، وأجرى عليه رزقه، وأمن الفتان
Jihad menjaga sempadan (tempat pertembungan antara islam dan musuh) di jalan Allah lebih baik dari puasa sebulan beserta dengan Qiamullailnya. Jika mereka mati dalam keadaan sedang melakukan amalan itu, akan terus berjalan pahala amalan itu, dan terus diperjalankan rezekinya, dan aman daripada fitnah kubur. 
[HR Muslim]

3- Syurga Firdaus; Sabda Rasulullah SAW:

قال : إن في الجنة مائة درجة ، أعدها الله للمجاهدين في سبيله ، كل درجتين ما بينهما كما بين السماء والأرض ، فإذا سألتم الله فسلوه الفردوس ، فإنه أوسط الجنة ، وأعلى الجنة ، وفوقه عرش الرحمن ، ومنه تفجر أنهار الجنة
Sesungguhnya syurga itu ada 100 darjat, yang disediakan untuk pejuang di jalannya, jarak antara dua darjat adalah seperti langit dan bumi. Maka apabila kamu memohon, pohonlah syurga firdaus. Ianya adalah syurga yang paling baik dan paling tinggi, daripadanyalah punca aliran sungai-sungai syurga.
[HR Bukhari]

Rujukan:
Fiqh Jihad – Dr Yusuf Qardhawi.
Fiqh Sirah Nabawiyah – Dr Ramadhan al-Buti

Disediakan oleh:
BADAN TARBIAH DAN DAKWAH
MAAHAD DARUL QURAN RUSILA

SESI 2013


Monday, August 5, 2013

KISAH SAIDINA ALI, MALAIKAT DAN UNTA

Saidina Ali KAW pada suatu hari pulang ke rumahnya lalu bertanya kepada isterinya Saidatina Fatimah RA

“Wahai wanita mulia, apakah ada sebarang makanan untuk suamimu pada hari ini?”

Jawab Fatimah RA:
“Demi Allah aku tidak mempunyai apa-apa, melainkan enam dirham daripada Salaman al-Farisi sebagai upah menjahit. Aku akan belikan makanan untuk Hasan dan Hussain.”

“Biar aku sahaja yang membelinya.” Pintas Saidina Ali.

Lalu keluarlah semula saidina menuju ke pasar untuk menunaikan hasrat isterinya. Dalam perjalanan, beliau terserempak dengan seorang dalam kesusahan yang berkata,

"Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan yang selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, lantas Saidina Ali memberikan kesemua enam dirham yang dimilikinya itu pada lelaki tersebut.

Beliau seklai lagi pulang dengan tangan kosong.

Fatimah yang melihat suaminya melangkah ke pintu rumah dengan tangan kosong, tiba-tiba menangis.

“Apa yang membuatkan kamu menangis wahai Fatimah?” tanya Saidina Ali.

Jawab Fatimah, “Wahai Ali, kamu pulang tanpa membawa apa-apa.”

Ali menjawab: "Aku meminjamkan wang itu kepada Allah."

Mendengar jawapan itu, Fatimah berkata: "Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu."

Lalu Ali keluar lagi, kali ini untuk berjumpa Rasulullah SAW mengadu nasib. Di tengah perjalanan, beliau terserempak pula dengan seorang badwi sedang menunggang unta. Badwi itu segera menghampirinya dan berkata,
“Wahai Abu Hasan, belilah unta ini!”

“Aku tidak punya wang. ” Balas Ali.


Saturday, August 3, 2013

TAUBAT RAMADHAN SEBELUM BERMAAFAN SYAWAL

Kata ulama, taubat adalah wajib bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Syarat sah taubat ada tiga perkara
1-      Meninggalkan maksiat
2-      Menyesali maksiat ang dilakukan
3-      Berazam untuk tidak kembali pada maksiat itu semula

Jika kesalahan yang dilakukan melibatkan manusia yang lain, syaratnya perlu ditambah dengan menunaikan kembali hak orang tersebut. Jika melibatkan harta mereka (mencuri, merampas, menipu harta), serahkan kembali atau ganti dengan yang sama nilainya. Jika melibatkan fizikal (kecederaan, pembunuhan ) minta dibalas dengan hukum Qisas atau pohon dimaafkan dari si mangsa. Jika melibatkan maruah, pohon kemaafan atau dikenakan hukum qazaf.

Jika mangsa meminta kita melakukan sesuatu kepada mereka sebagai ganti kerugian yang mereka tanggung, samada fizikal, maruah, atau material, kita wajib melakukannya selagi ia tidak keterlalulan.

Tiada amalan khusus untuk diterima taubat seperti yang didakwa sesetengah pihak seperti wajib sembahyang taubat, wajib menderma jumlah tertentu atau sebagainya. Cuma islam menyarankan supaya dilakukan kebajikan bagi memadam dosa yang dilakukan. Sedekah juga mampu memadam kesalahan seperti air yang memadam api.

Tiada waktu khusus untuk taubat. Boleh dilakukan bila-bila saja, dimana sahaja dalam apa jua keadaan.

Namun waktu paling baik adalah di sepertiga akhir malam, disaat manusia sedang tidur, kita bangun menghadap Allah membawa semua kesalahan untuk diampuni.

Tempoh paling akhir untuk bertaubat adalah sebelum nyawa berada di tengkuk, atau sebelum matahari terbit dari arah barat, yang disebut sebagai tanda kiamat terbesar.

Allah SWT mampu memaafkan semua jenis kesalahan walau menggunung tinggi mencecah langit. Beliau Maha Pengampun terhadap hambaNya, tiada dendam malahan ihsan, asalkan datang membawa diri penuh sesal dan ikhlas.




[Rujukan hadis-hadis Rayadussalihin; Imam Nawawi]

26 RAMADHAN/ 4 OGOS/ SURAU PDANG MACHANG MANIR

FATHUL MAKKAH MENJELANG MUKTAMAR

Peristiwa penting berlaku pada bulan Ramadhan di era pengsyariatan adalah Pembukaan kota Mekah. Ia adalah bukti kemenangan yang dijanjikan Allah sekian lama buat pejuangnya. Ia adalah hasil kepintaran Rasulullah dalam berpolitik sehingga mampu masuk ke pusat pentadbiran dunia arab itu tanpa sebarang pertumpahan darah.

Kisahnya bertitik tolak dari mimpi benar nabi bahaw beliau memasuki kota Mekah, lalu dipersiapkan rombongan muslimin seramai 1500 orang untuk menunaikan umrah, namun Allah SWT menggantikan perancangan mereka dengan termeteraikan perjanjian Muslimin-Quraisy yang disebut sedabai Sulhul Hadaibiyah.

Walaupun perjanjian tersebut berat sebelah di perkiraan manusia, namun berkat adab berjemaah yang dipatuhi muslimin, Allah mengurniakan kemenangan pada islam dua tahun selepasnya. Dengan kemenangan itu, semua bangsa mengakui kehebatan orang islam dan tidak berani main-main dengan islam.

Fathul Makkah banyak mengajar kita tentang strategi dan disiplin untuk mencapai kemenangan. Antara yang dapat digariskan adalah:

1-      Sentiasa patuh akan keputusan pucuk pimpinan walaupun tidak bersetuju.
2-      Sentiasa yakin akan janji Allah untuk memenangkan islam.
3-      Berpolitik sebagai medium memartabatkan islam adalah suatu jalan yang tidak boleh diabaikan.
4-      Tidak melanggari syariat islam dalam setiap gerak kerja.
5-      Menampilkan kemegahan islam, agar musuh gerun dan tidak melawan seperti cara Rasulullah menampakkan kekuatan islam dihadapan pimpinan Quraisy, Abu Sufyan bin Harb.
6-      Oranisasi islam perlu dipimpin oleh yang celik Quran dan sumber hukum yang lain supaya tidak lari dari prinsip gerakerja islam.
7-      Organisasi juga disusun dengan teratur memanfaatkan kepakaran setiap bidang dengan pembahagian tugas yang menyeluruh.
8-      Menjaga kerahsiaan strategi dan keputusan dari tersebar.
9-      Cara memperbetul kesalahan ahli jemaah yang baik; seperti kisah Hatib bin Abi Baltaah.
10-   Harus untuk bekerjasama dengan kuffar selagi menguntungkan islam, tanpa meletakkan wala` sesama mereka.



Apabila kemenangan telah tercapai, dua perkara awal yang nabi SAW lakukan perlu diberi keutamaan.
1-      Sujud mengsyukuri anugerah itu. Tawaduk dan tidak mendabik dada mengakui kemenangan adalah kerana usaha dan strategi sendiri. Kembalikan semua pujian kepada Allah SWT.
2-      Hapuskan semua saki baki ajaran Jahiliyyah, bukan menghukum pesalah dahulu. Berusaha merubah dasar sebelum ke peringkat perlaksanaan.

(Rujukan; Fiqh Sirah Nabawiyah; Dr Muaffaq Salim Nuri)


ZAKAT DAN ANDA

Dalam kita asyik menunaikan rukun islam ketiga iaitu berpuasa Ramadhan, ada satu lagi rukun yang juga sinonim dengan Ramadhan iaitu zakat.

Tahun ini tahun kedua saya menjadi pembayar zakat. Jika pada tahun lepas tanggungannya adlaah 2 orang, tahun ini bertambah seorang lagi.



Zakat adalah suatu kewajipan yang digalas oleh golongan berharta, untuk diagih kepada asnaf yang berhak. Ini adalah satu bentuk penyeimbangan ekonomi yang diatur oleh Allah SWT supaya dapat meningkatkan taraf hidup golongan bawahan, dan agar harta tidak hanya berlegar dikalangan orang berada sahaja.

Zakat adalah sistem percukaian cara islam. Ia mendahului sistem percukaian manusia dari sudut pengamalan mahupun kerelevanan. Kerana cukai bawaan kapitalis tidak membantu bahkan menyusahkan golongan susah, sedangkan zakat tidak diambil dari si miskin, bahkan diagihkan pula.

Saya percaya jika zakat mampu diurus sebaiknya oleh Majlis agama, tidak akan ada golongan merempat dan gelandangan di Malaysia ini, melihatkan kepada hasil bumi dan pendatapatan KDNK tahunan negara. Bahkan akan berlaku pula lebihan yang boleh disalurkan kepada negara lain yang berdekatan.

Tapi malangnya institusi tersebut tidak berjalan seperti yang diharap. Kontroversi dan penyelewengan selalu kedengaran. Pasti ada berita amil yang tidak menyerah wang kutipan zakat, harta zakat diguna pada bukan asnaf, dan hari ini kita mendengar isu tiada agihan zakat untuk fakir dan miskin.

Dengan kutipan semakin meningkat dari tahun ke tahun sehingga mencecah puluhan juta setahun bagi sesebuah negeri (itupun bukan semua yang bayar), mengapakah masih wujud miskin tegar dan homeless?

Akhir kata, Zakat dan sedekah adalah satu bentuk penyucian harta pencarian kita yang sentiasa bercamour baur anatar halal dan haram. Berzakatlah kerana mereka yang tidak berzakat akan memakan harta haram dalam simpanan mereka sendiri kerana padanya ada hak orang lain yang tidak diberikan. Sebab itulah Umar al-Khattab RA pernah tidak memotong tangan mereka yang sabit mencuri di zaman pemerintahannya, kerana mungkin harta yang dicuri adalah memang milik pencuri miskin itu, yang tidak ditunaikan haknya oleh si kaya kedekut.


Tanpa zakat, masyarakat akan porak peranda dan islam tidak mampu bersaing dengan ummah lain. Maka tidak hairanlah Saidina Abu Bakar RA memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat, sperti diperangi golongan murtad walau mereka masih mengamalkan sembahyang, puasa dan ibadat lain.

25 RAMADHAN/ 2 OGOS/ SURAU ALMUSTAQIM KG BANGGOL PAUH

(Baca sini untuk kupasan lebih lanjut tentang zakat)

Thursday, August 1, 2013

KHUTBAH HARI RAYA AIDIL FITRI 2013/ 1434 H “MANIFESTASI PUASA MEMBENTUK SENSITIVITI AGAMA ”


YANG PERTAMA

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرا، و الحمد الله كثيرا.
الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام، وفضلنا على كثير من الأمم.
فنحن قوم أعزنا بالإسلام، فإذا ابتغينا الإسلام بغيره أذلنا الله
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لاشريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، البدر الدجى و السراج المنير.
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، الرحمة المهداة، قائد الدعاة ةالمجاهدين، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه ألى يوم القيامة. أما بعد.
فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله وطاعته، فتزوده، فإن خير الزاد التقوى.

Wahai hamba-hamba Allah yang dirahamati sekalian! Saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri, supaya bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya diiringi rasa takut kepada Allah di mana jua kita berada.

Muslimin dan muslimat sekalian!

Setinggi tahniah dari mimbar ini kepada semua, atas kejayaan mengharungi Ramadhan selama sebulan. Semoga segala hikmah

16 KHASIAT SEDEKAH



1.MEMADAMKAN KEMURKAAN ALLAH

Sabda Rasulullah SAW:

إن الصدقة سر تطفئ غضب الرب تبارك وتعالى
Sesungguhnya sedekah itu adalah satu rahsia yang memadamkan kemurkaan tuhan yang Maha Mulia
[HR Tabrani]

2.MENGHAPUSKAN DOSA DAN KESALAHAN

Sabda Rasulullah SAW:

والصدقة تطفئ الخطيئة كما تطفئ الماء النار
Dan sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air yang memadamkan api
[HR Tirmizi]

3.PERISAI DARI API NERAKA


Sabda Rasulullah SAW

فاتقوا النار، ولو بشق تمرة
Takutlah kepada api neraka, walau hanya dengan sebelah buah tamar
[HR Bukhari dan Muslim]

4.BERADA DI BAWAH NAUNGAN DI PADANG MAHSYAR KELAK

Sabda Rasulullah SAW:

السبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله: { رجل تصدق بصدقة فأخفاها، حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه }
7 Golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari tiada naungan selain dari nanganNya…. (antaranya):
 Lelaki yang bersedekah dalam keadaan sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diderma tangan kanan.
[HR Nasaie]

5.PENAWAR PENYAKIT
Sabda Rasulullah SAW:

داووا مرضاكم بالصدقة
Ubati penyakitmu dengan bersedekah
[HR Abu Daud, Tabrani dan Baihaqi]

6.PELEMBUT HATI

Sabda Rasulullah SAW:

إذا إردت تليين قلبك فأطعم المسكين، وامسح على رأس اليتيم
Jika kamu mahu melembutkan hatimu maka berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepada anak yatim.
[HR Ahmad]

7.MALAIKAT SENTIASA MENDOAKAN KITA

Sabda Rasulullah SAW:

ما من يوم يصبح العباد فيه إلا ملكان ينزلان فيقول أحدهما: اللهم أعط منفقاً خلفاً، ويقول الآخر: اللهم أعط ممسكاً تلفا
Tidak akan datang waktu pagi kecuali padanya turun dua malaikat, salah satunya berkata: Ya Allah, berilah ganti pada yang menderma itu. Seorang lagi berkata: Ya Allah berilah kebinasaan pada yang kedekut.
[HR Bukhari dan Muslim]

8.DIGANDA PAHALA DAN GANJARAN

Firman Allah SWT:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ
Bandingan orang yang menginfakkan harta mereka ke jalan Allah adalah seperti mereka yang menanam satu biji benih, daripada satu biji itu tumbuh 7 tangkai, daripada setiap tangkai tumpuh pula 100 biji, dan allah akan menggandakan bagi sesiapa saja yang dikehendakinya.
[al-Baqarah:261]

13. PELABURAN UNTUK MENGGANDA HARTA

Firman Allah SWT:

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللّهَ قَرْضاً حَسَناً فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافاً كَثِيرَةً
Barang siapa yang meminjamkan hartanya kepada Allah dengan pinjaman yang baik nescaya akan diganda baginya dengan gandaan yang banyak
[al-Baqarah: 245]

12.PENERANG HATI

مثل البخيل والمنفق كمثل رجلين عليهما جبتان من حديد من ثدييهما إلى تراقيهما فأما المنفق فلا ينفق إلا اتسعت أو فرت على جلده حتى يخفى أثره، وأما البخيل فلا يريد أن ينفق شيئاً إلا لزقت كل حلقة مكانها فهو يوسعها ولا تتسع

Rasulullah menggambarkan bandingan orang yang kedekut dan dermawan adalah seperti dua orang yang memakai pakaian besi dari dada ke bawah. Yang menderma akan meluaskan baju tersebut sehingga padan tanpa sakit atau kesan. Yang kedekut akan merasa sempit baju itu walaupun dia cuba meluaskannya.
[HR Bukhari dan Muslim]

13.BUKTI KEIMANAN

Sabda Rasululllah SAW

والصدقة برهان
Dan sedekah adalah bukti
[HR Muslim]

14.PENYUCI HARTA

Firman Allah SWT:

خذ من أموالهم صدقة تطهرهم وتزكيهم بها
Ambillah daripada harta mereka itu sedekah, supaya dapat menyucikan dan membersihkan harta dengannya.
[Sod : 575]

15.MENAMBAH KASIH SAYANG

Sabda Rasulullah SAW:

تهادوا تحابوا
Saling bertukar hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling mengasihi
[HR Bukhari]

16.MENINGGIKAN DARJAT

Firman Allah SWT:

لن تنالوا البر حتى تنفقوامما تحبون
Tidak akan sampai seseorang ke darjat kebaikan sehinggalah dia menginfakkan apa yang disayanginya.

[Ali Imran:92]

(Dari kitab Sahih Targhib - Syeikh Nasiruddin Albani)

24 RAMADHAN/1 OGOS 2013/ SURAU ALMUTTAQIM PEKAN AJIL