Alhamdulillah, akhirnya terluang kembali masa untuk mencoret
dinding maya dengan perkongsian baru, setelah lebih sebulan menyepi tanpa
calitan.
Semalam ketika aku menjalankan rutin maghrib di Kuala
Terengaanu, berkuliah di surau-surau yang sudi menerima, ada beberapa
babak yang sedikit berlainan daripada biasa yang ku alami. Pertama, aku berjaya
hadir awal ke masjid iaitu sebelum azan berkumandang (takde apa yang pelik pun ni). Kedua bilal dan siak
surau tak datang-datang walaupun waktu
maghrib dah lama masuk. Akhirnya kami solat dengan hanya melaungkan iqamah oleh
kerana terlalu lewat. Ketiganya bilangan makmum, hanya 3 orang! Padahal jarak
surau dan rumah-rumah berdekatan hanya sejauh sebuah kereta dan biasanya paling
kurang pun jemaahnya tidak kurang dari satu saf.
Waktu memulakan kuliah, para hadirin mempamer wajah sugul
tak bermaya. Itu aku faham kerana parti islam tidak berjaya mendapat tempat
sebagai kerajaan di Terengganu. Mereka tunduk semahunya seolah kematian anak.
Tak sampai hati pula aku untuk terus menyambung pengajian kitab Sunnatullah
karangan Dr. Abdul Karim Zaidan.
Membilang tekad yang masih ada, aku cuba untuk ukir kembali
ceria yang hilang di wajah mereka. Kitab dihadapanku kembali ku temukan antara
dua kulit. Aku juga tidaklah begitu ceria pada hari itu, ditambah dengan penat
mengqadha urusan yang 2 minggu tertangguh dek pilihanraya.
Antara cerita yang menjadi tongkat saktiku adalah kisah
perang Hunain. Firman Allah SWT:
لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ
فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ
ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ
عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ
الَّذِينَ كَفَرُوا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ
[التوبة:25-26]
Sungguh Allah telah member kemenangan kepada kamu
dalam peperangan yang begitu banyak, lalu di hari perang Hunain, tika kamu
merasa teruja dengan keramaian bilangan (tentara)mu, maka itu tidak memberi
sebarang pertolongan sedikitpun buat kamu, bahkan kamu merasa dunia ini sempit
kerana ketakutan, lalu kamu berpaling melarikan diri
Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya
dan orang-orang beriman, dan Allah turunkan tenteraNya yang tidak kamu lihat,
lalu Allah menyeksa mereka yang kufur, dan itulah balasan mereka yang kufur.
[at-Taubah:25-26]
Perang Hunain adalah perang terakhir disertai oleh Nabi SAW. Ia berlaku selepas Pembukaan Kota Mekah. Waktu itu tentera islam mencatat bilangan tertinggi dalam sejarah yang ada, seramai 12,000 perajurit. Mengikut rekod-rekod peperangan lepas, dengan jumlah tentera yang sedikitpun umat islam beroleh kemenengan demi kemenangan. Badr seramai 313 menang ditangan musyrikin seramai hampir 1000. Uhud di akhirnya kuffar seramai 3000 melarikan diri, berjaya dihambat oleh sekitar 700 orang, Khandaq, 3000 menewaskan belasan ribu, Mu`tah,3000 menewaskan ratusan ribu.
Dengan rekod cemerlang itu, timbul cakap-cakap kalangan tentera islam Hunain, terutamanya mereka yang baru memeluk islam pasca pembukaan kota mekah, bahawa mustahil mereka akan kalah dengan bilangan yang berganda-ganda ini. Rata-rata sudah merasakan mereka berada di zon selesa. Tiada lagi kebimbangan seperti perang-perang sudah. Strategi yang diatur lebih ke arah mengisi kemenangan dari usaha mencapainya. Tidur mereka nyenyak hingga ke subuh tidak seperti lain-lain perang yang diterangi dengan doa munajat mohon pertolongan Allah.
Tiba-tiba Allah menempelak angan-angan mereka. Pihak musuh begitu licik dengan muslihat kotor. Umat islam diserang hendap ketika fajar masih belum bangkit. Umat islam yang sedang tidur diserang habis-habisan. Pedang entah kemana, perisai busur entah kemana, mereka terpinga-pinga kebingungan menahan serangan bertali arus tanpa sedar.
Islamis mulai ketakutan. Perasaan hampa bercampur putus asa menusuk kalbu-kalbu tentera. Mustahil mereka boleh melawan dalam keadaan ini. Seorang demi seorang tumbang dibunuh dihadapan rakan-rakan yang lain. Yang tinggal terus dirudung ngeri dan ketakutan.
Akhirnya ramai yang cabut lari. Dalam keadaan rakan-rakan cuba bangkit menyusun saf, bukan sedikit pula yang berpaling nun jauh ke belakang. Kuda dan unta juga bertempiaran tambah mengharukan suasana. Sekarang baru mereka sedar bilangan kekuatan bukanlah penentu kemenangan.
Rasulullah SAW yang sedar perkara itu terus menyeru kembali perajurit-perajuritnya. Ke kiri ke kanan baginda berteriak memanggil pengikut yang bertempiaran. Malang apabila dirinya yang menginjak usia 60-an itu terlalu lemah dan perlahan suaranya. Mujur Abbas bin Abdul Muttalib setia di sisi membantu laungan Rasulullah. Akhirnya mereka berjaya memanggil kurang 200 orang untuk kembali menggempur musuh. Libasan pedang dan panahan tombak tidak meluntur semangat baki yang setia ini.
Mereka inilah yang sedar hakikat perjuangan, yang mengerti akan matlamat dari perang itu. Bukan menang tapi syahadah. Panjatan doa dan munajat tidak putus-putus dari jumlah yang ada itu. Akhirnya Allah izinkan jua mereka untuk mencicip madu kemenangan melalui bantuan tenteraNya malaikat-malaikat langit. Jumlah 200 orang itulah yang menjemput pertolongan Allah. Itulah jua harta rampasan paling banyak pernah diperoleh Nabi SAW. Satu pengakhiran yang sungguh dramatik buat hayat baginda SAW sebelum diangkat mendamping Rafiqul a`la.
Justeru itu, percayalah kita bahawa tiada apa yang mustahil jika diiring dengan kuasa Allah. Walaupun SPR bersama mereka, biarpun polis di sebelah mereka, semua jentera kerajaan membantu mereka, mereka tetap tidak mampu mengubah ketentuan Allah jika Alalh menghendaki.
Kalah kita di Terengganu, juga Malaysia bukan bala murka, bukan petanda terkuburnya hasrat menjulang islam. Tapi sekadar peringatan untuk menguji, adakah hamba-hamba pejuangnya sabar dan mampu bertahan? Atau mereka sudahpun tersungkur dari mengharap janji Allah? Adakah pertolongan Allah masih dibibir dan dihati? Atau terus memikir masa depan yang akan terus tertindas?
Sepatutnya masjid-masjid dan surau semakin memperkemas munajat doa mereka dengan berita kekalahan ini. Ini saat paling getir yang dicipta Allah buat kita. Jangan sekali-kali putus harapan kerana kemenangan itu pasti milik kita. Fikirkan positif yang ada bukan negatif yang diterima.
Analoginya mudah. Gelas yang diisi air biasanya tidak penuh untuk mengelakkan ia melimpah apabila diangkat kemana-mana. Orang yang berfikiran negatif akan sentiasa mempersoalkan sedikit ruang yang tidak berisi air itu. Kenapa kosong, kenapa tak ada air? Matilah kita..
Mereka tidak sedar kekurangan itu diperlukan untuk mengelak limpahan. Padahal orang berfikir positif sentiasa melihat apa yang mereka ada walaupun sedikit.
Nabi SAW sedar usai peperangan Uhud bahawa perajuritnya ramai yang cedera parah. Namun baginda seorang yang positif, kekuatan yang masih berbaki di kujur badan tentera islam digembleng untuk kembali menggempur musuh yang sedang berpesta kemenangan. Akhirnya musuh dihimpit takut dengan kebangkitan semula luar dugaan. Akhirnya kemenangan moral milik islam apabila musuh segera cabut sebelum muslimin sampai.
Teruskan berharap. Kumpul segala yang masih ada untuk menjemput pertolonganNya!
وإذا سألك عبادي عني فإني قريب أجيب دعوة
الداعي إذا دعان
Dan apabila hambaKu bertanyakan padamu tentangKu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya aku berada dekat, akanKu perkenankan doa mereka yang meminta apabila berdoa....
No comments:
Post a Comment
Guane gamok? komen skit....