Saya ditugaskan untuk
menyampaikan tazkirah subuh hampir setiap pagi sepanjang bulan Ramadhan.
Pelawaan mengejut yang diterima dari sebuah surau yang hanya meminta selepas
selesai solat subuh pertama ramadhan ini dipenuhi dengan rela. Kitab Mestika
Hadis terbitan Jabatan Perdana Menteri (yang kini diharamkan sendiri oleh
kerajaan) jilid ketiga telah tersedia di atas meja kuliah untuk saya kupas
saban pagi.
Dalam banyak-banyak
kupasan isu puasa yang dijamu, ada suatu tajuk yang dirasakan tidak patut saya
kongsi hanya bersama penduduk kawasan surau tersebut. erlu disebar sebagai
teguran buat semua kaum masyarakat. Ianya adalah berkaitan dengan sepotong
hadis ringkas nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
((صوموا تصحوا))
"Berpuasalah, nescaya
kamu akan sihat."
ISLAM IS THE WAY
OF LIFE
Islam adalah agama
bukan rekaan manusia. Ianya adalah satu jalan hidup yang ditetapkan oleh Allah
SWT kepada seluruh manusia supaya dapat menjalani kehidupan dengan cara yang
betul dan sukses. Tiada ketetapan samada
yang terdiri dari ibadat, muamalat, munakahat, jinayah mahupun jihad melainkan
ianya untuk meluruskan cara hidup yang paling tepat. Hanya pencipta yang tahu keperluan
ciptaannya. Dengan kata lain, semua ketetapan, peraturan, undang-undang, sistem
rekaan manusia yng bercanggah dengan ajaran islam adalah salah,sesat dan tidak
akan membawa kemakmuran dunia.
Salah satu keajaiban
agama islam adalah hikmah/kebaikan yang ada bagi manusia di sebalik tuntutan
ritual/upacara ibadat. Antaranya puasa. Secara zahir ianya hanya satu perlakuan
berdasarkan kepercayaan agama. Amat sedikit yang sanggup menahan lapar dan dahaga
jika tidak dijanjikan ganjaran. Sekali imbas, menahan lapar dan dahaga itu tak
ubah seperti ritual-ritual penyeksaan diri ajaran agama-agama lain seperti
pengorbanan jiwa manusia untuk dipersembahakan kepada tuhan, upacara thaipusam
penganut agama hindu, sambutan hari karbala` oleh puak syiah serta bermacam
lagi bentuk ibadat penyeksaan diri ajaran-ajaran lain lain. Mereka percaya akan
beroleh syurga dan restu tuhan dengan pengorbana sebegitu.
Namun begitu, hadis
nabi tadi melihatkan betapa agam islam yang diturunkan oleh Pencipta Maha
Bijaksana itu tidak akan menyuruh melakukan sesuatu perkara sia-sia walaupun
dalam bab ibadat. Sabda tersebut menggambarkan ajaran islam ini bukan hanya
sesuai sesuai untuk pengamal politik, pengamal ilmu psikologi, pendidikan,
pentadbiran, perniagaan semata-mata, bahkan sesuai juga bagi pengamal
kesihatan.
INDAH KHABAR DARI
RUPA
Tapi itu hanya
gambaran teori semata-semata. Islam memang indah khabar, tapi perlaksanaannya
seringkali tersasar dari khabar. Kita pelik apabila ramai yang tidak mahu
berpuasa bimbang kesihatan akan terjejas, bahkan memang ramai yang ditimpa
penyakit berpunca dari menjalani ibadah puasa. Ada yang gastrik, ada yang sampai
pitam, ada yang sesak nafas, tidak kurang juga yang terlibat dalam kemalangan jalanraya
kerana mendakwa terlalu letih memandu dek terpaksa berlapar dahaga di siang
hari. Produktiviti kerja juga terjejas di bulan puasa. Masyarakat lebih banyak menghabiskan masa di
siang hari dengan tidur. Pelajar lemah untuk menangkap pelajaran di mana-mana
ististusi pengajian tidak seperti bulan-bulan yang lain.
Adakah ini bermakna
apa yang dibawa islam itu dusta semata? Nauzubillah. Sebenarnya kitalah yang
mendustai ajaran islam. Inilah yang berlaku apabila kita beragama tanpa
berfikir, menganut tanpa mempersoal. Puasa yang kita faham adalah tidak makan
dan minum di siang hari, itu sahaja. Bagaimana cara makan dan minum di malam
harinya langsung tidak diambil kira.
Islam adalah sebuah
pakej yang lengkap, yang tidak akan dinamakan sebagai sebuah ajaran andai hanya
diamal sebahagian yang disukai dan meninggalkan yang tidak disukai. Ingin hidup
dengan islam yang sempurna, hiduplah dengan contoh bergerak yang sengaja Allah
pilih dari kalangan kita (manusia) untuk ditiru kehidupannya. Jika berpuasa,
puasalah cara nabi, bukan puasa ikut cara hati jika betul ingin puasa yang
dapat meningkatkan kualiti kesihatan dan produktiviti kita.
Ramadhan adalah waktu
rehat bagi sistem tubuh badan kita. Bayangkan sebuah jentera berenjin yang
beroperasi sepanjang tahun tanpa henti atau diservis. Sudah tentulah jangka
hayatnya tidak tahan lama. Manusia juga begitu. 24jam sehari darah mengalir
dalam badan kita. 24jam sehari jantung mengepam darah. 24jam sehari buah pinggang
bekerja mengasingkan keperluan dan lebihan dalam badan kita. 24 jam sehari
perut memproses makanan-makanan yang kita makan. Walaupun kita tidur, ianya
tetap bekerja!
Tiba Ramadhan adalah
rahmat bagi sistem tubuh kita. Salur darah mengecil lalu mengurangkan penat
membawa aliran darah. Jantung tidak lagi mengepam darah yang banyak. Buah
pinggang, perut dan sistem perkumuhan juga meminimumkan rutin harian mereka.
Inilah yang disebut nabi berpuasalah, nescaya kamu akan menjadi sihat!
PESTA IBADAH KE
PESTA KEDARAH?
Namun ada yang
menganggap jika siang hari tidak boleh makan, malam hari aku bebas makan. Lalu
diqadha semua waktu makan siangnya yang biasa. Sarapan digantikan dengan
berbuka maghrib, makan tengahari diganti dengan moreh/ makan lepas terawih, dan
makan malam pula diganti dengan makan lewat malam/sahur. Itu tidak campur lagi
makan-makan yang lain.
Sia-sia sajalah puasa
mereka. Tabiat makan begitu sebenar hanya mengundang lebih banyak penyakit
daripada dia tidak berpuasa. Tiada seorangpun pakar perubatan yang menyatakan
bahawa makan di malam hari dan lebih berkhasiat dari makan siang. Sebab itulah
islam menyarankan agar disegerakan berbuka serta dilewatkan sahur, agar kita
tidak mengamalkan makan pada waktu yang boleh mngundang oenyakit terutamanya
kegemukan.
Tambahan pula,
ramadhan kita di Malaysia amat `meriah`. Namun kemeriahannya bukan kerana
kedatangan bulan yang penuh rahmat, keberkatan, keampunan dan kebaikan ini,
tetapi kerana boleh memuaskan nafsu makan sepuas-puasnya. Bazar ramadhan
menyediakan pelbagai makan yang tidak boleh ditemui pada bulan yang lainnya.
Saya satu ketika
sebelum datang bulan ramadhan mengidam untuk makan ayam pusing. Puas mencari gerai
menjual menu tersebut namun hasilnya hampa. Perasaan hati memang amat kempunana
waktu itu. Tiba bulan puasa, setiap ceruk bazar, wajib akan ada ayam tersebut
sampaikan yang mengidam ini pun naik muak melihatnya. Kurma dan bubur lambuk
juga adalah hidangan sinionim dengan bulan ramadhan.
Kesimpulannya,
masyarakat akan lebih terfikirkan juadah daripada terawih apabila disebut
ramadhan, masyarakat akan lebih teringat mercun dari sedekah. Masyarakat akan
ingat jualan murah dan diskaun gila dahulu sebelum ingat pengampunan dari api
neraka. Mereka lebih suka fikir untuk berniaga dari berbakti. Hari-hari yang
dilalui sibuk menyenaraikan apa menu berbuka harian, sehingga terlupa
menyenaraikan apa dosa harian yang dilakukan.
Padahal jika dilihat
juadah yang menimbun di bazaar itu, amat sedikit yang berkhasiat. Semuanya
terdiri dari makanan bergoreng, berais, tinggi kalori, lemak, gula dan sebagainya.
Apakah semua makanan ini adalah tuntutan agama kita? Ataupun ianya amalan Nabi
kesayangan kita?
Dalam tak sedar kita
dah cemarkan ibadat puasa. Kebanyakan kita menghabiskan perbelanjaan berlipat
ganda lebih dari bulan-bulan yang lain, bukan kerana kebajikan, tetapi kerana
memuaskan nafsu perut kita sendiri.
Seorang Mufti Saudi menangis apabila datang soalan dari seorang warga Somalia. "Sahkah puasa kami jika tidak bersahur dan berbuka?" |
Gaya hidup bulan puasa
juga memainkan peranan dalam membentuk kehidupan yang sihat. Sengaja Allah SWT
menjadikan malam ramadhan itu penuh dengan keberkatan untuk beribadah,
antaranya tadarrus al-Quran. Ulama-ulama semenjak zaman tabiin apabila tiba
bulan ramadhan, mereka akan meninggalkan ibadat-ibadat sunat yang lain kerana
ingin focus kepada al-Quran. Ada yang khatam setiap hari, kebanyakannya tiga
hari sekali dan ada yang kurang. Pokoknya ibadah ini dilakukan waktu malam
mengikut sunnah bahawa Rasulullah bertadarus al-Quran dengan malaikat
jibril saban malam ramadhan.
Namun kita melebihkan
tidur melampaui keperluan. Itulah penyebab utama kelesan di bulan puasa. Ada
yang tidak bangun sahur dengan alas an sebelum tidur malam sudah makan untuk
sahur walaupun belum pukul 12 tengahmalam. Ada juga yang bangun sahur, tetapi selepas
itu tidur kembali semada sebelum subuh, atau sebelum duha. Ini semua gaya hidup
bukan ajaran islam (walaupun diamalkan majoriti golongan ustaz). Nampak remeh,
tapi sedikit sebanyak kita sebaai duta islam telah membawa imej buruk pada
pandangan non-muslim, lalu menjauhkan mereka daripada mendekati agama ini. Jika
dakwah/ menyebar islam itu Fardu Ain bagi setiap muslim mengikut pandangan
ulama kontemporari, lalu apakah hukumnya menyebar persepsi negative terhadap islam?
REVOLUSI
MASJID/SURAU
Ingin sekali saya kupas
perbahasan ulama tentang cara nabi berbuka, bersahur dan beribadat mengikut
pandang sudut kesihatan. Ingin juga saya berbicara mengikut skop psikologi,
kerana itu banyak tercatat dalam kitab-kitab terdahulu. Namun diri ini tidak
berdaya lantaran aku bukan ahlinya.
Saya amat yakin lemahnya
kesedaran umat islam berkenaan faedah kesihatan, keselamatan, kemakmuran dan
kemajuan sistem islam adalah kerana masjid surau hanya memfokuskan pengajian
fekah ibadat, tauhid, akhlak, akhirat dan sedikit muamalat. Sudut kesihatan,
pembangunan , perniagaan, geografi, astronomi, biologi, psikologi langsung
tidak berkumandang. Sampai bila kita nak maju. Bagus bercakap tentang akhirat
kerana islamlah satu-satu sistem hidup yang tidak memisahkan zahir dan batin,
dunia dan akhirat. Akan tetapi jangan hanya fokus kepada akhirat sahaja. Umat
islam juga perlu cemerlang dalam ilmu keduniaan. Kita bukan nak didik orang
supaya jadi macam paderi Kristian, tapi menjadi umat yang boleh memimpin umat
lain. Sedarlah bahawa semua kehebatan dan kemajuan ilmu itu berasalnya dari
islam. Beleklah sejarah sebagai buktinya.
Kita tidak boleh
salahkan ustaz-ustaz, tak boleh nak salahkan tok imam/lebai kerana memang
mereka tidak belajar ilmu itu semua. Yang harus bertanggungjawab adalah para doktor, professor, pensyarah, guru, jurutera,
saintis dan professional lain. Mereka sepatutnya perlu diberi ruang di masjid
untuk berbicara isu bidang masing-masing.
Kita tidak pula minta
mereka berbicara perbahasan ilmu kalam yang panjang. Tak perlu mereka huraikan
rukun-rukun wudhu`. Cukup sekadar beri sedikit pencerahan kepada orang kampung
kehebatan ilmu moden yang bertepatan nas syarak untuk mencelikkan umat islam.
Biar orang silam boleh jadi umat paling bijak mengatasi Jepun, Amerika,
Britain, Jerman.
Tuan Guru Nik Aziz dulu
lagi pernah berpesan agar al-Quran tidak hanya ditafsir oleh ahli agama, tetapi
turut ditafsir oleh geng-geng professional. Mereka tidak perlu tafsir seluruh
ayat yang ada. Cukup sekadar tafsir ayat –ayat yang ada kaitan dengan bidang
masing-masing. Tiru macam tafsir Qurratul Ain,yang hanya menafsir sedikit dari
isi alQuran sehingga ulama mewajibkan berwudu` sebelum memegang kitab tafsir
tersebut, kerana ia seolah-olah al-Quran dek sedikitnya tafsiran yang ada.
Bukankah al-Quran
sarat dengan penceritaan kejadian di langit, pergerakan bintang matahari,
peredaran planet serta sistem siang dan malam? Bukankah al-Quran padat dengan
isu-isu kesihatan serta ubat-ubat seperti madu, zam-zam, kurma, delima dan
sebagainya? Bukankah ia juga penuh dengan fakta sejarah,geografi dan arkeologi?
Takkan pak-pak lebai boleh bercakap benda-benda ini semua.
Lihat sajalah hasil
tangan seorang ahli sains sosial Mesir, Syed Qutb yang menulis tafsir zilalul
Quran, yang hari ini diterjemah ke setiap bahasa dunia sehingga ulama`
mengiktiraf sebagai tafsir terbaik zaman ini. Beliau bukanlah dikalangan agamawan,
tapi kesedaran terhadap umat islamlah yang membuatkan dirinya berjaya melakukannya.
Bayangkan jika kita
dapat mendengar di setiap khutbah jumaat, nasihat kesihatan atau bahaya wabak
terbaru dari seorang doktor, cerita alien dan planet lain berserta tayangan slide
dari seorang angkasawan, sejarah zaman dinasour oleh pakar arkeologi,
atau sekurang-kurang motivasi dari seorang pakar psikologi. Tidakkah ini akan
memberikan nafas baru dalam khutbah jumaat Malaysia lalu meluaskan ruang untuk
manusia berbakti untuk islam? Tidakkah ini akan mencerahkan kembali kelesuan
pendengar ketika berkhutbah pada waktu lunch break? Tidakkah cara ini
boleh menarik hatta bukan islam untuk mendekati islam?
Kepada fundamentalis pragmatis
islam, cuba berikan hujah kenapa cadangan saya ini tidak syarie?