Sunday, April 20, 2014

HUDUD PRIVATE BILL

Dah kecoh kembali pasal hudud. Ramai yang suarakan kebimbangan fasal ni.

Jom kita tengok angka sekejap. Jumlah MP muslim ialah 137.
UMNO 88,
PAS 21
PKR 16
DAP 2
PBB 10

Kalau semua MP PR sokong baru 38

Kalau PAS+UMNO baru 109.

Kalau semua MP islam setuju baru 137.

Meluluskan pindaan Akta Mahkamah Syariah perlukan sokongan 2/3 MP iaitu 148 orang. Kita masih kekurangan 11.

Dengan maksud lain, pindaan ini perlukan sokongan non-muslim juga. Kita yakin ada MP non-muslim yang akan sokong usul ini.

Membawa private bill telah membuktikan kesungguhan PAS menegakkan perintah Allah di Malaysia melalui lunas demokrasi yang ada. Kita lihat pula bagaimana reaksi muslim dari BN sendiri yang selama ini cabar usul ini dibawa ke Parlimen. Adakah mereka selama ini bersungguh atau hanya meraih sokongan melayu?

Isu ini sebenarnya tidak menguntungkan BN sebaliknya semakin merugikan mereka. Kajian pasca PRU13 baru-baru ini mendapati UMNO memainkan isu menggambarkan PAS tidak lagi memperjuangkan islam, sebaliknya menonjolkan UMNO pejuang islam sebenar melalui isu kalimah Allah, parti ajaran sesat dan isu Anwar-Israel.

Reaksi UMNO terhadap private bill dapat membuka mata beberapa lagi pengundi melayu tentang hakikat perjuangan parti itu. Ini yang diperlukan PR untuk terus menuju Putrajaya kerana sokongan bukan melayu terhadap PR sudah sampai ke siling. Fokus sekarang ialah meraih sokongan melayu muslim. Tidak mengapa undi non-muslim sedikit terjejas asalkan pulangan pengundi melayu lebih lumayan.

Ini strategi politik. Jangan cepat melenting hanya sebab nak kekalkan sokongan yang ada. Melayu adalah teras utama kuasa politik Malaysia.

Kita cuma boleh kekal dengan status quo sebagai pembangkang menjelang PRU14 dan PRU-PRU seterusnya ini selagi kerusi melayu tidak berjaya ditambah. Mungkin jurang kerusi kita makin bertambah dengan persempanan semula lepas ini.

Lagipun ura-ura sokongan non-muslim terhadap PR akan kurang jika bercakap tentang hudud juga sudah perlu dikaji balik. Non-muslim sudah tidak fobia tentang hudud seperti dulu. Non-muslim tidak lagi menerima maklumat melalui akhbar UMNO sebaliknya lebih suka mendengar ceramah di masjid. Mereka cukup terbuka. Kalau soal perbankan pun mereka lebih yakini islam, apa kita perlu gusar lagi sekarang? Adakah kerana tidak yakin hudud boleh menyebabkan non-muslim kembali percaya pada UMNO? Mereka tak sebodoh kebanyakan melayu.

Saya harap MP muslim PR tidak lagi mempertikai isu private bill dari Kelantan ini. Sudah-sudahlah timbulkan polemik kebimbangan terhadap sokongan. Skrip sudah perlu diubah. Tunjukkan perpaduan untuk mengenakan UMNO dan BN.

Pun begitu, saya rasa MP non-muslim dari PR lebih cepat faham strategi ini. Dan saya yakin, saya tidak berseorangan dengan pendapat ini. Inilah juga pandangan rakan-rakan generasi baru anak muda Terengganu-JJians.

KHUSYUK

Ramai orang tersalah faham erti khusyuk. Bagi mereka, khusyuk ialah meletakkan hanya tuhan di hati dan melupakan selainNya sehingga fana'@tidak sedar apa yang berlaku di dunia.

Ini sama sekali bertentangan dengan sunnah Rasul dan hukum syariat.

Khusyuk yang sebenar bermaksud mentakuti Allah dalam hati dan diterjemahkan dengan perbuatan zahir. Khusyuk melibatkan dua peranan; Takut di hati dan tenang di anggota badan. Dalam bahasa mudah, khusyuk ialah FOKUS.

Takut pada Allah dengan merasa tawadhu' dihadapanNya dan menghayati setiap yang menutur di bibir. Zahirnya pula menterjemah khusyuk di hati dengan tenang dan tidak melakukan sesuatu yang tiada kepentingan semasa solat.

Tetapi ia tidak bermaksud sehingga kita mabuk dari dunia seolah berada di dunia lain.

Nabi SAW manusia paling khusyuk pada Allah. Namun baginda sedar kehadiran cucunya semasa beliau solat. Baginda juga solat sambil tangan menghayun pedang ke arah musuh. Baginda sedar apa berlaku di dunia. Khusyuk sama sekali tidak menghalang perasaan takut pada Allah dari alam dunia.

Saidina Abu Bakar walaupun sedang mengimami solat, tetapi sedar kehadiran Nabi sehingga hampir berundur untuk memberi laluan kepada baginda memimpin solat.

Justeru, khusyuk juga bukan bererti membayangkan zat kejadian tuhan kerana itu mustahil. Khusyuk sebenar ialah menghayati setiap bacaan yang dilafaz. Jika ia berbentuk doa, fokus kepada permintaan kita. Jika dalam bentuk selawat, fokus kepada sunnah baginda SAW. Dan jika berbentuk pujian pada Allah, fokus kepada nikmat-nikmat kekuasaanNya.

Begitulah juga jika membaca ayat tentang syurga dan neraka. Khusyuk pada waktu itu ialah fokus tentang kisah tuhan berkenaan syurga dan neraka, seolah tuhan sedang berbicara dengan kita. Jika ayatnya tentang firaun, maka ibrah firaunlah fokus kita dalam solat.

Maka, untuk memupuk khusyuk yang tinggi, semestinya seseorang perlu mempunyai ilmu. Semakin tinggi ilmu bermakna semakin mudahlah seseorang untuk khusyuk. Sebab itulah para hukama menyatakan 1000 rakaat solat orang awam belum tentu dapat menandingi pahala 2 rakaat solat seorang alim.

Khusyuk adalah syarat untuk menerima ganjaran pahala dari Allah. Tanpa khusyuk, tiadalah pahala walaupun solat itu dikira sah

Nabi SAW pernah bersabda: Sesungguhnya seorang hamba itu solat, maka tidak ditulis baginya melainkan dalam 10 solat itu, hanya 9, 8, 7, 6, 5, 4 ,3, atau separuh darinya sahaja pahala.

Ibnu Abbas menambah: Tidak dikira pahala solat itu melainkan mengikut kadar fokus padanya.

Mantapkan kualiti ibadah dengan menambah ilmu pengetahuan!

GERAKAN ISLAM ANTARA WALA' DAN TAKSUB

Islam mengajar umatnya supaya tajarrud ataupun membebaskan diri dari segala ideologi yang bertentangan dengan ajaran islam. Tidak boleh mencampur adukkan islam dengan ajaran lain apatah lagi mengambil sebahagian ajaran islam dan menolak sebahagian lain. Islam sudah cukup sempurna kerana ia adalah ciptaan Tuhan Maha Sempurna, bukan ciptaan mana-mana manusia yang bersifat lemah.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya cara hidup yang diterima oleh Allah hanyalah islam.

Pun begitu, islam tidak mengajar umatnya supaya menolak sebarang pembaharuan dan idea-idea baru yang bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan islam walaupun tidak pernah diamal nabi, sahabat, ulama atau nenek moyang kita sebelum ini. Nabi banyak menggunapakai kehebatan tamadun lain untuk manfaat umat islam seperi matawang dinar dirham, strategi parit (khandaq), cop mohor dan pakaian-pakaian rekaan fesyen Parsi dan Rom. Sirah baginda menceritakan segalanya.

Sabda Nabi:
Kebijaksanaan adalah barangan tercicir milik orang islam. Dimana sahaja yang dia temui, maka dialah yang lebih berhak untuk mengambilnya.

Bahkan, islam mencela pula kita meniru buta amalan dan cara orang-orang dulu tanpa menilai terlebih dahulu dengan ilmu dan realiti semasa. Ia adalah amalan umat-umat dahulu yang enggan menerima dakwah pemulihan dan pembaharuan yang dibawa nabi-nabi mereka sehingga menerima laknat dari Allah.

Saidina Abu Bakar RA memerangi golongan yang enggan bayar zakat. Amirul Mukminin Umar RA banyak memperbaharui sistem pentadbiran pemerintahan islam. Khalifah Uthman pula memusatkan rujukan al-Quran kepada 5 mushaf sahaja dan Imam Ali RA buat pertama kalinya menubuhkan suruhanjaya bebas mengkaji semula jawatan khalifahnya.

Semua contoh ini adalah perkara baru yang belum dibuat di zaman nabi. Generasi islam terdahulu amat mengerti konsep islah dan tajdid.

Sebenarnya tarbiyyah islamiah melahirkan umat yang wala' bukan taksub, kritis bukan ingkar, idealistik juga realistik, terbuka tanpa terbabas, dan berprinsip bukan rigid.

Muhasabah ialah salah satu bentuk check and balance terbaik untuk islam sentiasa bergerak maju kehadapan. Secanggih manapun kereta yang dicipta, tetap dipasang cermin sisi dan cermin pandang belakang. Walaupun kita mungkin tidak mampu untuk meniru cara umat islam dahulu, tapi kita mungkin boleh lakukan yang lebih baik dari mereka.

GERAKAN ISLAM

Sesuai dengan namanya sebagai sebuah 'gerakan', perlu sentiasa bergerak dari satu pendekatan ke satu pendekatan, dari satu strategi ke strategi yang lain, menyusun misi dari tangga pertama hinggalah sampai ke matlamat tertingginya. Kekal dengan tradisi semata-mata  adalah siatu bidaah besar. Kata Syeikh Ali An-Nadwi: Menggabungjalinkan antara tradisi lama yang baik dengan penemuan baru yang bermanfaat.

Pendokong islam tidak boleh statik dengan cara kerja orang-orang dahulu sahaja. Perlu difahami cara kerja mereka adalah sesuai dengan keadaan persekitaran mereka di zaman kegemilangan mereka. Ianya perlu sentiasa dimuhasabah dan disegarkan dengan langkah seterusnya. Setiap anak tangga yang didaki memerlukan booster tersendiri, yang mungkin berbeza dengan sebelumnya kerana setiap anak tangga itu punya halangan musuh yang berbeza-beza.

Kata Imam al-Qurafi: Jumud/rigid dengan hanya mengikut kata-kata orang terdahulu selama-lamanya adalah satu kesesatan dan kejahilan terhadap maksud ulama-ulama dan orang terdahulu itu sendiri.

Kalaulah tokoh yang kita sanjungi itu hidup pada zaman kita, pasti mereka akan baharui prinsip lama yang mereka perkenalkan demi tuntutan massa. Nabi Muhammad SAW yang diutus lewat abad ke tujuh tidak lagi bulat-bulat membawa ajaran umat dahulu. Nabi Isa AS juga yang bakal turun akhir zaman nanti tidak lagi membawa ajaran Kitab Injilnya, tetapi menjunjung syariat hari ini. Imam Syafie sendiri terkenal dengan mazhab lama dan mazhab baru demi memenuhi dua latar yang berbeza.

Islam tidak sama dengan mana-mana ajaran yang memuja bapa ideologinya seperti Karl Marx oleh Komunis, Adolf Hitler oleh Nazi, Mahatma Gandhi oleh anti-kasta ataupun Nelson Mandela oleh anti-apartied. Sebarang pujaan melambung terhadap beberapa tokoh dalam islam adalah diluar norma agama. Bahkan mendewa-dewakan batang tubuh Rasulullah SAW sendiri ditegah oleh islam supaya tidak terjadi sepertimana Kristian yang mendewakan Nabi Isa AS.

Merubah strategi pentadbiran, strategi dan cara kerja bukan bermakna kita ingkar terhadap kepimpinan sebelum ini, tetapi itulah makna kita wala' terhadap tarbiyyah yang mereka ajarkan selama ini. Wala' diletak bukan kepada batang tubuh pimpinan dan tokoh semata-mata, tetapi untuk agama Allah jua.

Ibnu Qayyim apabila dikritik kerana menyalahi pendapat gurunya Imam Ibnu Taimiyah, beliau berkata: Aku menyayangi Ibnu Taimiyah, tetapi kebenaran itu lebih aku sayangi daripada Ibnu Taimiyah.

TAKSUB

Pimpinan sendiri sebenarnya rimas dengan anak buah yang tidak kritis yang hanya tahu mengampu dan memuja tanpa menuang idea-idea segar yang boleh membantu mereka memajukan gerakan. Itu bukan taat namanya tapi taksub.

Kadang-kadang mereka tertekan dengan sikap anak buah yang ikut bulat-bulat apa sahaja mereka kata tanpa komen dan istifsar. Seolah-olah membiarkan mereka sendirian memegang payung islam sedangkan yang lain hanya berlindung di balik payungannya. Letih.

Kata-kata seperti "sebelum ni buat macam ni" atau "ustaz tu suruh buat macam tu" atau "Orang dulu tak pernah buat macam ni" harus diminimakan dalam merencana sesuatu. Jika ingin nyatakan juga, datangkan illah dan sebab-sebabnya sekali bukan meniru buta. Belajar cara ulama mengkaji Tarikh Tasyrik sebelum meniru ijtihad terdahulu.

Kalau ianya hadis nabi sekalipun, ulama' tidak terus amalkan dengan zahir makna semata-mata. Asbab Wurudnya perlu dikaji, Nasikh Mansukhnya perlu dikaji, gaya bahasa arabnya perlu dikaji, dan waqi'nya juga perlu dikaji! Telusurilah disiplin Ulum Quran, Ulum Hadis dan Usul Fiqh sebelum berIstinbat.

Kata Imam Syatibi: Beramal dengan zahir nas secara terlampau mengikut sahaja adalah jauh dari maksud syariat. Sebaliknya tidak mempedulikannya juga adalah suatu kecuaian.

Revolusi dan inovasi adalah ajaran islam. Sabdanya:
Barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang baik, maka untuknya pahala dan untuknya juga pahala orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.
Dan barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang tidak baik, maka untuknya dosa dan untuknya juga dosa orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.

WALA'

Dalam menjunjung aspirasi baru, 7 perkara perlu diambil kira:

1. Ikhlaskan niat sebelum berbicara. Jangan mengharap dari lontaran pendapat dan kritikan selain redha Allah dan kebaikan jemaah semata-mata bukan kerana kemasyhuran, kerana dibayar pihak tertentu atau kerana benci/marah/tidak puashati terhadap pihak lain

2. Al-Quran dan Hadis perlu menjadi pegangan utama agar tidak terbabas. Jangan rasa kita lebih bijak dari pencipta kita sendiri dan nabiNya. Hadis larangan mengada-adakan sesuatu yang bukan dari islam (bidaah) harus diteladani sekemasnya.

3. Pengalaman dan pendapat orang dahulu perlu diteliti supaya kita tahu dari titik mana kita harus bermula. Jangan sampai mengulang-ulang kajian yang sudah diterokai dan ditemui jawapannya sejak lama dahulu. Membazir masa dan kurang faedahnya.

4. Beradab dengan ulama'-ulama' lain yang lebih senior. Masing-masing bersungguh berijtihad untuk terus memajukan islam. Cara yang mereka guna adalah yang terbaik untuk zaman mereka. Alimnya kita hari ini pun kerana kesungguhan mereka memelihara agama supaya sampai ke generasi kita.

5. Berani mengakui kesilapan. Sebagaimana kita berani mengkritik, harus juga berani untuk dikritik. Jangan taksub pada pendapat sendiri kerana semua manusia tidak sempurna. Tawadhu adalah sikap terbaik kerana kita berpendapat untuk mencari benar bukan mencari menang. Tazkiyah Nafs adalah ubat untuk membuang ego diri.

6. Mentaati pimpinan selama tidak bercanggah dengan nas. Walaupun ruang perbincangan sentiasa dibuka, itu bukan bermaksud kita boleh menangguh arahan yang dikeluarkan kerana mudaratnya besar melebihi mudarat sekiranya ijtihad pimpinan itu salah. Bahkan, kesilapan sesebuah jemaah adalah hikmah terbesar dari Allah yang menginginkan sesuatu yang terbaik disebaliknya.

Ambil contoh Saidina Ali yang mulanya mempersoal kewajaran tahaluf siyasi antara muslimin dan musyrikin, tetapi akur setelah mengetahui bahawa ia adalah sebuah arahan. Lihat juga contoh Hubaib bin Munzir yang berbincang dengan baik arahan Nabi dalam perang Badr sehingga Nabi mengubah strategi asal untuk menuruti cadangan beliau. Fiqh Siasah harus dihadam rapi.

7. Mengakui bahawa khilaf dalam berpendapat adalah lumrah hidup. Masing-masing ada pendapat dan bukan semua pendapat boleh disatukan. Jalan terbaik ialah menghormati pendapat masing-masing dan akur apabila pandangan kita belum diterima. Walaupun terbukti pandangan Saidina Umar lebih baik, beliau akur dengan keputusan nabi yang memilih pendapat Saidina Abu Bakar dalam beberapa peristiwa. Jika keputusan itu adalah keputusan kepimpinan jemaah, ia adalah yang paling tepat. Fiqh Harakah juga perlu terisi di ruang minda.

Sebagai konklusi, binalah akal dengan tapak akidah, syariat dan akhlak yang mantap terlebih dahulu sebelum membina idea yang mencakar langit.

Muhasabah bersama demi menuju ke arah kebaikan.